Teks Ucapan Sempena Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) 2022 kali ke-42

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PERSIDANGAN PERWAKILAN
KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA (MTUC) 2022 (KE-42)

2 JULAI 2022 (SABTU) | 10.00 PAGI
AUDITORIUM DEWAN UNGKU AZIZ, FAKULTI PERGIGIAN
UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini bagi menyempurnakan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) 2022 kali ke-42.

2. Tahniah kepada kepimpinan MTUC kerana menganjurkan persidangan perwakilannya bagi tahun ini. Semoga persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

3. Saya difahamkan persidangan ini akan menyaksikan pemilihan peneraju baharu kongres kesatuan sekerja bagi penggal 2023-2025.

4. Menjadi harapan saya supaya pemilihan kali ini kekal memberi keutamaan kepada mereka yang layak dan berwibawa untuk menjalankan tugas sebagai pemegang amanah golongan pekerja dan ahli MTUC.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. MTUC mewakili 16.5 juta pekerja Keluarga Malaysia dan dianggap sebagai rakan kongsi Kerajaan yang baik. Peranan MTUC sangat penting dalam membantu memulihkan ekonomi negara yang kini memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

6. Berslogankan ‘PEJUANG KAUM PEKERJA SEJAK 1949’, MTUC memperlihatkan peranan penting yang diterajui oleh golongan pekerja itu sendiri dan turut mendapat pengiktirafan Kerajaan.

7. Berikutan itu, pegawai-pegawai MTUC telah diberi penghormatan menganggotai pelbagai badan berkanun dan khas termasuk Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

8. Pengiktirafan ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan Kerajaan terhadap MTUC untuk bersama-sama menimbang serta menyuarakan masalah pekerja sekaligus membantu meningkatkan kebajikan mereka.

9. Pada masa yang sama, sikap dan pemikiran pekerja juga perlu dipupuk untuk bergerak seiring dengan kepentingan negara dan bukannya khusus bagi kepentingan satu pihak semata-mata.

10. Saya berpendapat, perkara paling penting dalam kesatuan sekerja adalah fungsinya selaras dengan Undang-undang Perburuhan sedia ada dan menjunjung prinsip Rukun Negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia telah menyaksikan berlaku perubahan mengejut yang ketara dalam semua aspek dunia pekerjaan.

12. Ini termasuklah peralihan kepada transformasi digital pada tahap kepesatan yang belum dilihat sebelumnya selain mewujudkan sumber pertumbuhan baharu iaitu ekonomi gig yang berada di luar definisi undang-undang buruh di Malaysia.

13. Pada perkembangan sama, kita juga perlu mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif apabila lenyapnya pekerjaan yang tradisional dan digantikan dengan yang baharu sesuai dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

14. Justeru itu, MTUC perlu melihat semula kepada usaha-usaha yang mampu memastikan tenaga kerja di negara ini memiliki kemahiran baharu yang sewajarnya dan bukan hanya memperjuangkan soal gaji dan imbuhan semata-mata.

15. Negara juga memerlukan tenaga kerja yang proaktif dan fleksibel bagi menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah dan kompetitif.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) merupakan kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing.

17. Sehubungan itu, saya menggesa MTUC mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja Keluarga Malaysia yang lain.

18. Justeru, Kerajaan bersetuju menyediakan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan.

19. Saya yakin melalui pelan-pelan pendidikan yang strategik, MTUC boleh terus memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pekerja yang dinamik.

20. Pada masa yang sama, sebagai badan induk yang memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli-ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar.

21. Pendekatan Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan tidak ada seorang pun ahli keluarga kita hidup melarat.

22. Saya memahami keadaan ini kerana asal usul saya dikelilingi dengan kemiskinan.

23. Oleh itu, saya dengan rendah hati mengajak semua pemimpin dan ahli kesatuan untuk turut bersama saya menjayakan visi Keluarga Malaysia dan sekaligus bersama-sama membangunkan negara tercinta ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Sebagai usaha menambah nilai kepada ketelusan, saya ingin mengumumkan bahawa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil MTUC sebagai Ahli Lembaga Pengarah mereka.

25. Langkah ini bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

26. Menjadi harapan Kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

27. Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga Kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara.

28. Kepentingan kaum pekerja dan negara perlu diselaraskan dan semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis kerana ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Golongan pekerja adalah tunjang kepada pembangunan negara dan keperluan mereka sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan.

30. Saya berterima kasih kepada anda semua selaku golongan pekerja yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

31. Saranan saya, kekalkanlah hubungan baik antara kesatuan sekerja, majikan dan Kerajaan agar dapat terus memacu kemajuan demi kemakmuran negara.

32. Dengan kata-kata tersebut, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan PERSIDANGAN PERWAKILAN MTUC 2022 KALI KE-42.

Selamat maju jaya.

Sekian,


Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.