Teks Ucapan Sempena Pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PELANCARAN PROGRAM PEMBIAYAAN INSURANS KENDERAAN KELUARGA MALAYSIA myezycover.com

1 JULAI 2022 (JUMAAT) | 10.00 PAGI
HOTEL MARRIOT,PUTRAJAYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada majlis pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM), di bawah kepemimpinan Menterinya, Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan kerana berjaya mencetuskan idea skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia ini.

3. Tahniah saya ucapkan kerana dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan ekonomi semasa, KSM berjaya merangka kerjasama strategik pihak awam dan swasta, yang dimeterai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA ) dan A Tech Insure Sdn Bhd.

4. Terima kasih kepada Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Haji Abdullah, Pengerusi A Tech Insure Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed kerana komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam menjayakan program ini.

5. Kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara Kerjasama Sektor Awam Swasta dalam semua bidang, terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia.

6. Jalinan kerjasama ini mampu meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, mencambahkan idea yang lebih kreatif, mewujudkan peluang pekerjaan, pertukaran kemahiran dan limpahan ekonomi.

7. Kerjasama strategik ini juga, merupakan contoh terbaik apabila dapat membangunkan satu penyelesaian kewangan digital bagi urusan memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan penjawat awam.

8. Menerusi kerjasama ini, ia membantu mengurangkan impak kewangan Kerajaan dan pada masa yang sama teknologi terkini yang dibangunkan oleh pihak swasta dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam akibat pandemik COVID-19.

10. Kini kita berada dalam Fasa Peralihan Ke Endemik dan ekonomi Malaysia menunjukkan ke arah pertumbuhan positif. Namun, Keluarga Malaysia sedang berhadapan cabaran kos sara hidup akibat ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.

11. Ini termasuk konflik Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan, bahan api serta gangguan rantaian bekalan.

12. Hakikat ini turut memberi kesan kepada penjawat awam khususnya dalam kumpulan perkhidmatan sokongan, yang selama ini menyokong cita-cita kerajaan, teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran negara dalam apa jua keadaan mahupun rintangan.

13. Menyedari hakikat Keluarga Malaysia khususnya penjawat awam berdepan dengan cabaran kelangsungan hidup dalam pasca pandemik, Kerajaan telah merangka dan merealisasikan pelbagai program serta inisiatif, bagi meringankan beban hidup mereka.

14. Pada 1 Mei lalu, saya telah mengumumkan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Pekerja 2022. Hari ini seperti yang dijanjikan, Kerajaan menjadikannya satu realiti.

15. Program seumpama ini, yang pertama kali dilaksanakan untuk penjawat awam secara digital dalam talian iaitu Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam. Ia bercirikan;

• Kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.

• Penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.

• Bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

• Melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan ‘Mudah, Jimat dan Pantas’. Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.

• Pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan, yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba.

16. Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing.

17. Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

18. Sukacita saya maklumkan bahawa, inisiatif yang dilancarkan pada hari ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh semua penjawat awam tetapi juga mereka yang bertaraf kontrak.

19. Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Program ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

21. Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.

22. Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan.

23. Saya juga telah berbincang dengan Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia agar Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com ini turut diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.

24. Akhir kata, sekali lagi syabas saya ucapkan kepada Kementerian Sumber Manusia yang mencetuskan program ini yang memberikan impak positif jangka panjang menerusi tanggungjawab bersama.

25. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, melancarkan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com – Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.