Teks Ucapan Sempena Pelancaran Malaysia Digital

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN MALAYSIA DIGITAL

4 JULAI 2022 (ISNIN) | 3.00 PETANG
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Syukur alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini dalam majlis pelancaran Malaysia Digital, inisiatif yang penting untuk memacu pembangunan ekosistem ekonomi digital negara.

2. Terima kasih dan tahniah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Tpr Annuar Musa dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau MDEC, atas usaha menganjurkan majlis ini dan mengundang saya untuk melancarkannya.

3. MDEC, selaku badan yang menerajui MSC Malaysia sejak 1996 telah berjaya mencorakkan ekosistem digital negara secara berterusan.

4. Sehingga Disember 2020, terdapat 2,700 buah syarikat berstatus MSC yang aktif dari dalam dan luar negara yang bertapak di negara kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi negara termasuk ekonomi digital negara yang semakin berkembang dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang semakin bertambah.

6. Kerajaan melalu K-KOMM dan MDEC telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif dengan objektif menyebarkan manfaat ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia.

7. Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun lalu dan ia dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.

8. Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai MSC Malaysia telah berjaya mentransformasi dan mempelbagaikan ekonominya daripada berasaskan pertanian, komoditi dan industri kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

9. Pandemik COVID-19 memberi impak kepada kehidupan manusia serta menjejaskan ekonomi negara, namun kerajaan amat fokus dalam melaksanakan pelbagai inisiatif memulihkan ekonomi dengan segera.

10. Antara sektor yang pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang sebanyak 11.5 peratus kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5 peratus pada 2019.

11. Nilai transaksi e-Dagang negara juga telah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lepas, meningkat sebanya 21.8 peratus berbanding 2020.

12. Selari dengan aspirasi inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, Kerajaan turut mewujudkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara yang dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar dan kemudahan infrastruktur digital.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Untuk terus memacu ekonomi digital negara, inisiatif MSC perlu diberikan nafas baharu bagi memastikan inisiatif ini terus relevan.

14. Bagi merancakkan ekonomi digital negara, rangka kerja inisiatif baharu yang dikenali sebagai Malaysia Digital atau MD telah dibangunkan dengan berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi.

15. MD menerusi projek mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik iaitu:

Pertama, Membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat;

Kedua, Menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia– ’ berjaya di peringkat antarabangsa; dan

Ketiga, Menarik pelaburan bernilai tinggi.

16. Saya yakin menerusi keutamaan berkenaan, MD akan memacu lebih banyak program berimpak tinggi dan memberi impak langsung serta segera, khususnya kepada Keluarga Malaysia.

17. PEMANGKIN dalam sektor pertanian telah melaksanakan 10 projek printis Digital AgTech untuk membantu para petani mengadaptasi teknologi digital bagi meningkatkan hasil dan dapat membantu mengurangkan kos operasi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Pada peringkat awal, dua PEMANGKIN akan diperkenalkan di bawah MD iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

19. Program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

20. Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik.

21. Malah ia akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat.

22. Program Digital Trade pula berperanan untuk memacu e- Dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan serta memudahkan perdagangan merentas sempadan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

23. Digital Trade juga bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri.

24. Menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP, program ini akan mempermudah jangkauan yang lebih luas ke pasaran global dan ini akan memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet telah bersetuju agar K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital, atau MD- CC, untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, seperti penganugerahan Status MD.

26. Menyedari bahawa peranan industri adalah sama penting untuk memastikan pelaksanaan yang berimpak tinggi, Kerajaan juga telah menekankan kepentingan penglibatan para pemain industri, pihak pemegang taruh dan juga masyarakat dalam pelaksanaan pelbagai dasar negara, iaitu melalui pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach.

27. Oleh itu, saya telah menyarankan agar pihak MDEC mewujudkan sebuah platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepanjang pelaksanaan MD.

28. Saya yakin, dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pihak Kerajaan juga akan memberi tumpuan sepenuhnya agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

29. Tadbir urus dan strategi pelaksanaannya akan diselaraskan di peringkat tertinggi Kerajaan dan pemantauan serta penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

30. Menerusi struktur tadbir urus baharu ini, MD berperanan untuk mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan-pelaburan berpotensi, sejajar dengan usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara.

31. Melalui rangka kerja MD yang baharu, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa pihak Kerajaan telah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama, iaitu:

1. Bytedance System Sdn. Bhd.
2. Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn. Bhd.
3. GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd.
4. Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn. Bhd.
5. Aceteam Connect Sdn. Bhd.
6. Peninsula Apex Technologies Sdn. Bhd.

Semoga inisiatif ini akan dapat berkembang dengan pesat, dari koridor ke seluruh dunia. Tahniah dan syabas saya ucapkan!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Negara perlu melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur yang serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara kita, kekal bertaraf dunia.

33. Ini penting supaya kita dapat memastikan generasi masa depan mempunyai asas dan kemudahan yang diperlukan untuk terus memacu negara menjadi sebuah negara digital yang serba maju.

34. Akhir kata, menjadi harapan saya agar usaha kerajaan dalam memperkenalkan inisiatif seperti MD dapat menggerakkan

Keluarga Malaysia ke arah ekonomi digital yang amat diperlukan.

35. Dengan kata-kata dan harapan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, melancarkan inisiatif Malaysia Digital ini.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.