Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN
JUBLI PERAK 25 TAHUN PTPTN

27 JULAI 2022 | RABU | 2.30 PETANG

ARAS 3, DEWAN MATRADE,
PUSAT PAMERAN DAN KONVENSYEN MATRADE, KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama – sama pada petang ini bagi meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

2. Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), serta Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, khususnya Pengerusi dan Ketua Eksekutif PTPTN kerana sudi mengundang saya hadir ke majlis yang penuh bermakna ini.

3. Tahniah juga kepada Yang Berusaha Encik Apli Yusoff yang dilantik sebagai Pengerusi PTPTN yang baharu berkuat kuasa 18 Julai lalu. Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, saya yakin beliau mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik di PTPTN.

4. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga PTPTN atas segala khidmat bakti, dan komitmen yang dicurahkan sejak 25 tahun penubuhan PTPTN untuk memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Pada usia yang menjangkau 25 tahun, PTPTN kini telah menjadi sebuah agensi tabung pendidikan tinggi utama negara yang komited dalam memikul mandatnya.

6. Saya dimaklumkan seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM 66.87 bilion sehingga kini.

7. Saya percaya, ramai yang telah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

8. Suka saya tekankan di sini bahawa tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar – pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara.

9. Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lepas, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.

10. Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik. Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada PTPTN kerana berjaya melancarkan mobile app yang dikenali sebagai my-PTPTN pada 29 Mac lalu.

12. Melalui my-PTPTN, pelanggan dapat menyemak penyata membayar balik pinjaman dan bayaran menerusi Debit Terus, membuka akaun dan membuat permohonan potongan gaji dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau Simpan SSPN , pada bila – bila masa dan di mana – mana sahaja dengan mudah, cepat dan selamat.

13. Saya dimaklumkan seramai 176,140 pengguna telah mendaftar aplikasi tersebut sehingga 30 Jun lepas.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Kerajaan, melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM 3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

15. Bagaimanapun, timbul pula kebimbangan tentang kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan setelah menamatkan pengajian.

16. Justeru, Kerajaan mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman semata – mata dan tidak terbeban di kemudian hari.

17. Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM 12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas.

18. Syabas juga kepada Keluarga Malaysia kerana memilih untuk menjadi pendeposit Simpan SSPN. Saya percaya, Simpan SSPN akan terus membantu golongan yang memerlukan, di samping membudayakan amalan menabung.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Pelancaran Kelab Simpanan Pendidikan pula adalah untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak – kanak dan memupuk kesedaran pentingnya menabung demi masa depan melalui Simpan SSPN.

20. Kelab Simpanan Pendidikan ini akan beroperasi di bawah aktiviti kokurikulum kelab dan persatuan sekolah, yang boleh dipilih murid untuk menyertainya dan kegiatannya tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

21. Difahamkan, terdapat 13 buah sekolah di lima buah negeri telah berdaftar untuk menjadikan Kelab Simpanan Pendidikan ini sebagai salah satu kelab atau persatuan dalam modul kokurikulum sekolah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Sempena Sambutan Jubli Perak ini, PTPTN menghargai jasa, sumbangan serta kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi awam serta individu sepanjang 25 tahun penubuhannya.

23. Ia termasuklah kerjasama PTPTN dengan Kerajaan- kerajaan Negeri untuk memberikan insentif berupa akaun Simpan SSPN kepada kanak-kanak yang baru dilahirkan.

24. Begitu juga dengan pihak kementerian dan agensi awam yang telah memberikan insentif atau hadiah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan masing- masing dalam bentuk akaun Simpan SSPN.

25. Selain itu, PTPTN juga turut memberikan penghargaan kepada peminjam PTPTN yang berjaya menamatkan pengajian dan seterusnya memberikan sumbangan kepada keluarga dan negara.

26. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada bakal – bakal penerima anugerah serta sijil penghargaan daripada PTPTN yang terdiri daripada Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi, Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi dan Penghargaan Kerajaan Negeri, Kementerian dan Agensi.

27. Pada petang ini, saya juga ingin mengumumkan Kerajaan akan memberikan semula keistimewaan kepada mana-mana pelajar yang membuat pinjaman PTPTN dan mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman mereka kepada pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019.

28. Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

29. Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.

30. Saya juga melihat PTPTN telah memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik. Justeru, PTPTN juga boleh melaksanakan inisiatif yang sama untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman.

31. Saya difahamkan kerjasama ini telah mula diadakan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih daripada RM 30 juta.

32. Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri. PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM 50 juta.

33. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan syabas kepada PTPTN atas Sambutan Jubli Perak 25 Tahun.

34. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN serta melancarkan Kelab Simpanan Pendidikan.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.