Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Keselamatan Negara 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN PERSIDANGAN KESELAMATAN NEGARA 2022
&
SAMBUTAN BULAN KESELAMATAN NEGARA 2022

19 JULAI 2022 | 10.00 PAGI GRAND BALLROOM, HOTEL MARRIOT
PUTRAJAYA



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam persidangan penting yang julung kali diadakan bersempena Bulan Keselamatan Negara yang disambut setiap Julai.

2. Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan Keluarga Malaysia sekalian pada hari ini, membuktikan kesungguhan semua untuk menyelami peri pentingnya keselamatan negara demi memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera.

3. Keselamatan negara bukan hanya merentas hierarki sosial dalam masyarakat, malah saling melangkau pelbagai sektor yang turut melibatkan aspek kedaulatan negara, sosial, ekonomi, politik, teknologi, tadbir urus serta hubungan antarabangsa.

4. Namun begitu, tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera Kerajaan semata- mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan sejak Ogos lalu membawa semangat yang amat relevan dan mempunyai sinergi dengan Falsafah Keselamatan Negara.

6. Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan keluarga besar kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam keadaan selamat dan harmoni dengan berpegang kepada tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’.

7. Ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutamakan seperti menjaga sebuah keluarga.

8. Konsep Keluarga Malaysia ini juga bukan sesuatu yang sukar untuk dihadam. Mengambil contoh, jika ada ahli keluarga kita yang terancam, kita akan sama-sama menghadapi dan mempertahankannya. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit.

9. Malah ada falsafah mengatakan, jika kita ingin mengubah negara menjadi lebih selamat dan sejahtera, kita juga mestilah bermula dari keluarga yang harmoni, utuh dan sejahtera.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Keselamatan Negara merupakan salah satu kepentingan nasional yang perlu difahami dan diselami oleh seluruh Keluarga Malaysia.

11. Sehubungan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membangunkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang strategik dan komprehensif bagi mendepani unjuran pelbagai potensi isu, cabaran dan ancaman.

12. Selaku Pengerusi MKN, saya melihat dasar ini menjadi pelengkap kepada perancangan Kerajaan, yang bermatlamatkan kemakmuran negara, termasuk Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

13. Justeru, amat penting bagi aspek keselamatan negara dititikberatkan, dalam segenap aspek kehidupan oleh Keluarga Malaysia, kerana tidak ada seorang pun yang inginkan keluarga berantakan apalagi keluarga yang tidak selamat dan tidak harmoni.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Cabaran pengurusan keselamatan negara turut merangkumi aspek kehidupan seharian. Contohnya, sekuriti makanan memberi impak terhadap keselamatan negara, sekiranya ia tidak diurus dengan baik.

15. Isu sekuriti makanan tidak boleh dilihat dari sudut pertanian, penternakan, dan bekalan makanan semata- mata kerana ia turut berkait rapat dengan situasi ketidakstabilan yang berlaku di peringkat antarabangsa.

16. Konflik Rusia-Ukraine, serta perubahan iklim yang ekstrem adalah contoh melibatkan kesan rantaian global, yang menyebabkan seluruh Keluarga Malaysia turut terkesan.

17. Jika tiada persediaan awal dibuat, negara pasti berdepan risiko yang akhirnya menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi, dan sekaligus mengakibatkan implikasi keselamatan yang serius.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Sejajar dengan dinamika dan evolusi pengurusan keselamatan negara, MKN telah memperkenalkan doktrin keselamatan supaya Malaysia boleh mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara masakini dan akan datang.

19. Doktrin KESELAM ATAN MENYELURUH atau C O M P R E H E N S I V E S E C U R I T Y ( C O M S E C ) membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama-sama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.

20. Tonggak kepada pelaksanaan strategi keselamatan menyeluruh adalah amanah yang perlu dijunjung oleh seluruh Keluarga Malaysia.

21. Saya menyeru kepada seluruh jentera Kerajaan, khususnya perkhidmatan awam memainkan peranan memastikan strategi KESELAMATAN MENYELURUH dapat diterap dan diamalkan dalam seluruh aspek tadbir urus negara.

22. Sehubungan itu, ingin saya tegaskan bahawa masanya sudah tiba untuk MKN, melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh pada kadar segera.

23. Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat, untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan.

24. Latih Amal ini perlu melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan persekutuan dengan kerjasama Kerajaan negeri serta penglibatan pihak swasta.

25. Malah, perlu diintegrasikan aspek sukarelawan dan badan-badan bukan Kerajaan khususnya melibatkan pelbagai segmen komuniti.

26. Setiap agensi Kerajaan harus bersedia melalui mekanisme sedia ada untuk memulakan perancangan pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini pada kadar segera.

27. Bagi tempoh tiga tahun akan datang, MKN harus memulakan suatu kerangka pelaksanaan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh untuk diuji di peringkat awal sebelum diperkemaskan secara berterusan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan-sukarelawan yang sentiasa memastikan seluruh Keluarga Malaysia dapat kembali pulih sewaktu ditimpa musibah.

29. Sebenarnya, budaya kesukarelawanan perlu terus disemai dan dipupuk sebagai satu pendekatan memastikan komuniti mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang.

30. Sementara itu, komuniti juga harus bersedia menjadi mata dan telinga agensi keselamatan, dalam usaha mencegah sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

31. Bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan ahli komuniti, Kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan konsep Pengurusan Keselamatan Berasaskan Komuniti (CBSM).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Saya percaya Persidangan Keselamatan Negara yang julung-julung kali diadakan bersempena Bulan Keselamatan Negara ini bakal menjadi wadah pemula untuk memacu usaha-usaha memelihara kepentingan negara.

33. Janganlah kita sesekali lalai dan leka daripada mempertahankannya dan seterusnya mewariskan kepada generasi akan datang dengan berdaulat, aman dan sejahtera.

34. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.