Teks Ucapan Sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 NCCIM

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM
ULANG TAHUN KE-60 NCCIM

28 JULAI 2022 | KHAMIS | 8.30 MALAM
HOTEL ONE WORLD,
PETALING JAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

2. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana sudi mengundang saya pada malam ini. Tahniah kepada NCCIM kerana berjaya menganjurkan majlis yang istimewa dan bersejarah ini sempena 60 tahun penubuhannya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Ekonomi kita kini terus mencatatkan pemulihan sepanjang negara berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik selepas dua tahun berdepan dengan ancaman COVID-19.

4. Di sebalik berlakunya pandemik, diikuti pula dengan kenaikan harga barangan dan inflasi akibat gangguan rantaian bekalan global dan krisis geopolitik serantau, alhamdulillah prestasi ekonomi dan perdagangan negara terus kekal utuh.

5. Bagi suku pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5 peratus, disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh.

6. Pertumbuhan ekonomi dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun ini dengan disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi termasuk:

Pertama: Jumlah dagangan Malaysia telah meningkat sebanyak 43.4 peratus pada Jun tahun ini, paras tertinggi baharu yang berjumlah RM270.4 bilion;

Kedua: Eksport meningkat 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion manakala import bertambah 49.3 peratus kepada RM124.2 bilion;

Ketiga: Pasaran buruh lebih baik, kadar pengangguran telah menurun kepada 3.9 peratus pada Mei tahun ini berbanding 5.0 peratus pada bulan yang sama tahun 2020;

Keempat: Jualan perdagangan borong dan runcit mencatat peningkatan sebanyak 19.9 peratus pada Mei tahun ini; dan

Kelima: Jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 15.7 peratus pada Mei tahun ini.

7. Prestasi ekonomi yang baik ini turut disokong oleh dasar Kerajaan yang konsisten terutamanya inisiatif di bawah Bajet 2022, pakej rangsangan dan bantuan-bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

8. Selain itu, Kerajaan juga mendapat kerjasama dan pandangan dewan-dewan perniagaan termasuk NCCIM dalam isu-isu berkaitan ekonomi agar dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Pada tahun lalu, prestasi pelaburan keseluruhan negara amat memberangsangkan dengan jumlah pelaburan bernilai RM306.5 bilion, meningkat 83 peratus berbanding nilai pelaburan tahun 2020.

10. Pelaburan ini terdiri daripada 4,564 projek yang dapat mencipta sebanyak 105,000 peluang pekerjaan baharu.

11. Manakala, untuk suku pertama tahun ini, sejumlah RM42.8 bilion pelaburan telah diluluskan, melibatkan 910 projek dan mewujudkan 24,906 peluang pekerjaan baharu buat Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), saya ingin menegaskan, bahawa keutamaan Kerajaan adalah mewujudkan proses kawal selia dan persekitaran pematuhan lebih mudah, serta mengurangkan kerenah birokrasi.

13. Oleh itu, Kerajaan bersetuju dengan cadangan penubuhan Unit #MyMUDAH di semua Kementerian dan Agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan agar memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.

14. Kerajaan juga prihatin terhadap keperluan untuk terus memperbaiki dan menambah baik dasar serta rangka kawal selia dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara.

15. Agensi penarafan antarabangsa global, S&P Global Ratings juga telah menaik taraf prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil, sekali gus memperlihatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kredit dan kemampuan Malaysia mengharungi cabaran fiskal selepas pandemik.

16. Selain mengukuhkan rangka kawal selia untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, Kerajaan akan menumpukan kepada tiga keutamaan iaitu:

Pertama: Daya Tahan Rantaian Bekalan;

Kedua: Teknologi dan Inovasi; dan

Ketiga: Perdagangan dan Pelaburan yang Mampan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Kerajaan sedang berusaha mengukuhkan kerangka Daya Tahan Rantaian Bekalan bagi produk-produk kritikal seperti semikonduktor, farmaseutikal, peranti perubatan, makanan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

18. Langkah pengukuhan ini dilakukan termasuklah dengan menjalinkan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara rakan dagang dalam membentuk rantaian bekalan yang mampan.

19. Malaysia pada 18 Mac lalu, telah menguatkuasakan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi tujuan meningkatkan akses perniagaan dan industri tempatan ke pasaran antarabangsa dan mengurangkan gangguan pada rantaian bekalan global.

20. Malaysia juga, bakal meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing industri tempatan, agar dapat bangkit semula dan menjana ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Fokus pembangunan sektor perindustrian dan perkhidmatan perlu juga berpaksikan kepada inovasi dan kejuruteraan semula teknologi digital.

22. Sebagai contoh, penyediaan Dana Intervensi Industry4WRD oleh MITI merupakan kemudahan geran padanan untuk PKS tempatan bagi menyokong peralihan ke arah automasi dan aplikasi teknologi Industri 4.0 dengan had peruntukan maksimum sehingga RM500,000.

23. Sehingga kini, sebanyak 1,190 PKS telah menyertai Industry4WRD Readiness Assessment Programme (RA) dan sebanyak 230 syarikat telah terpilih menyertai Industry4WRD Intervention Fund (IF).

24. Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) berperanan merancakkan lagi landskap pelaburan negara dan meningkatkan daya saing dalam tempoh jangka panjang.

25. Tumpuan utamanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berlandaskan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (Environment, Social and Governance – ESG) yang memastikan kelestarian pengeluaran dan operasi perniagaan termasuk mematuhi standard perburuhan antarabangsa.

26. Sehubungan itu, ahli-ahli NCCIM perlu sentiasa peka dan mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan-peraturan perburuhan supaya kekal berdaya saing di pasaran sedia ada dan meluaskan potensi di pasaran baharu.

27. Sebagai komuniti perniagaan yang berbilang kaum, saya percaya NCCIM menghayati prinsip dan aspirasi Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

28. Saya berharap NCCIM terus menyokong Kerajaan dalam pembangunan negara dengan sama-sama bergabung tenaga, menggalakkan kerjasama awam dan swasta, demi membina Malaysia yang progresif dan berdaya tahan.

29. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 NCCIM.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.