Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Ma’al Hijrah Tahun 1444H/2022M

PERUTUSAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MA’AL HIJRAH
TAHUN 1444H/2022M

29 JULAI 2022 | JUMAAT | 9.00 MALAM



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, Keluarga Malaysia beragama Islam dapat menghayati Ma’al Hijrah dalam suasana tenang dan aman damai.

2. Ma’al Hijrah tahun ini bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. Tema ini bersesuaian dengan latar kehidupan kita pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19.

3. Alhamdulillah, dengan semangat kebersamaan, kita berjaya berhijrah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, di mana fokus paling utama pada waktu ini adalah untuk kita sama-sama menjadi pemangkin kemakmuran kesihatan dan ekonomi demi Keluarga Malaysia.

4. Ma’al Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dari kota suci Mekah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar.

5. Cabaran pada hari ini sudah tentunya menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap daripada kita, sepertimana semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediaman.

6. Pada masa yang sama, semangat keterangkuman kaum Ansar juga perlu diteladani apabila berbesar hati menerima golongan Muhajirin yang berhijrah ke kota mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Hijrah – dalam konteks hari ini ialah berusaha untuk mengubah diri menjadi individu yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

8. Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita semua bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan, dan kesyukuran sepertimana yang ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia.

9. Nilai-nilai ini amat penting untuk kita semua berhadapan dengan cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan kita terpaksa bergelut untuk menanganinya.

10. Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis yang dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

11. Peristiwa Hijrah juga mengajar kita supaya bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Dalam meneruskan kesejahteraan hidup, marilah kita sama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia dengan mengamalkan konsep ‘Tasamuh’ atau toleransi yang dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal.

13. Semangat Tasamuh ini telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, semasa membangunkan kota suci Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.

14. Justeru, sikap toleransi atau berlapang dada, bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi ia juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

15. Semangat Tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pada 28 Julai 2022 yang lalu apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Terapkanlah nilai-nilai peristiwa Hijrah ini supaya ia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

17. Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1444 kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam, di mana jua anda berada.

18. Raikanlah tahun baharu ini dengan semangat dan kekuatan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran demi kemaslahatan ummah.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.