Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) Dan Karnival Jom Beli Rumah

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN
HOME OWNERSHIP PROGRAMME (HOPE) DAN
KARNIVAL JOM BELI RUMAH

15 JULAI 2022 | JUMAAT | 3.00 PETANG
ATRIUM MID VALLEY EXHIBITION CENTRE KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada MAJLIS PELANCARAN HOME OWNERSHIP PROGRAMME (HOPE) dan PELANCARAN KARNIVAL JOM BELI RUMAH petang ini.

2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta rakan penganjur bersama, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Media Prima Berhad kerana sudi mengundang saya ke majlis yang penuh bermakna ini.

3. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya mewujudkan kerjasama strategik ini, sekali gus memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh semua pihak demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Agenda perumahan dekat sekali dengan hati saya. Malah Kerajaan menjadikan agenda perumahan ini sebagai satu prioriti dan tiada kompromi.

5. Ini kerana rumah yang selesa akan melahirkan Keluarga Malaysia yang harmoni dan bahagia. Pendek kata, semua orang mahukan kediaman sebagai tempat berlindung ibarat sebuah syurga.

6. Salah satu program rasmi terawal saya sebagai Perdana Menteri adalah pelancaran RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSA di bawah KPKT.

7. Pelancaran itu merupakan inisiatif yang kita lakukan untuk membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 supaya mereka mampu memiliki tempat untuk berteduh dengan kadar sewaan yang minimum.

8. Gagasan “SATU KELUARGA, SATU RUMAH” turut selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia memperlihatkan komitmen Kerajaan menyediakan rumah yang mencukupi, mampu dimiliki, berkualiti dan berdaya huni, termasuk memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Orientad Developement (TOD) terutama untuk golongan muda.

9. Saya menyedari menduduki dan memiliki rumah merupakan satu daripada keperluan rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup, sehubungan itu, saya memutuskan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) diaktifkan semula.

10. Majlis Perumahan ini melihat keperluan rumah mampu milik di seluruh negara dengan turut melibatkan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pemaju swasta, Bank Negara Malaysia serta badan-badan berkepentingan seperti Khazanah, REHDA dan Persatuan Pembeli Rumah (HBA).

11. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita telah menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik, satu usaha yang boleh direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.

12. Untuk merealisasikan hasrat ini, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat MPMMN, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan Kerajaan Negeri pula menyediakan tanah, manakala pihak bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual atau dibeli dengan harga yang berpatutan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Saya mengucapkan tahniah kepada KPKT kerana memperkenalkan Program Pemilikan Kediaman atau lebih dikenali sebagai Home Ownership Program (HOPE) yang akan saya lancarkan hari ini yang selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

14. HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

15. Dalam hal ini, komitmen Kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

16. Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan.

17. Justeru itu, saya cukup gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA telah dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

18. Saya juga dimaklumkan bahawa satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia tentang harga rumah mampu milik di seluruh negara.

19. Oleh itu, saya berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

20. Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.

21. Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman.

23. Insentif berkenaan yang mula diperkenalkan sejak Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC) yang dimulakan pada tahun 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

24. Meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun saya ingin menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan komitmen kita kepada Keluarga Malaysia dan Kerajaan harus memperkukuhkannya.

25. Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta. Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah.

26. Bagi mendokong Program Pemilikan Kediaman atau HOPE ini, sukacita saya mengumumkan INISIATIF PEMILIKAN PERUMAHAN KELUARGA MALAYSIA atau i-MILIKI yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah iaitu:

Pertama: Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus; dan

Kedua: Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.

Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Alhamdullilah, pada hari ini, kita dapat saksikan satu lagi usaha kerjasama strategik KPKT dengan REHDA dan Media Prima Berhad bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan sasaran B40 dan M40, iaitu JELAJAH KARNIVAL JOM BELI RUMAH TAHUN 2022.

28. Saya bersetuju dengan pendekatan Karnival Jom Beli Rumah ini yang akan diadakan di seluruh negara dengan membawa mesej dan inisiatif-inisiatif Kerajaan termasuklah Kerajaan Negeri khususnya dalam soal perumahan.

29. Saya juga sedar kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi namun kita perlu terus membantu rakyat dengan memperkasakan agenda pemilikan kediaman melalui lebih inisiatif tersusun yang dirangka oleh KPKT.

30. Beberapa bulan lalu, saya pernah melancarkan skim memiliki kediaman Rent-to-Own (RTO) PR1MA bagi membantu Keluarga Malaysia. Saya harapkan kaedah RTO dapat diperluaskan khususnya dalam pasaran perumahan swasta.

31. Dalam pada itu, pembinaan rumah mampu milik untuk kumpulan B40 juga sedang giat dilaksanakan oleh agensi- agensi penyedia perumahan, baik di peringkat Pusat, mahupun di peringkat Negeri.

32. Program Perumahan Rakyat atau PPR akan terus diperkukuh dengan hala tuju baharu serta komponen yang akan dapat meningkatkan daya huninya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

33. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini dan juga memberi komitmen dalam pelaksanaan semua inisiatif yang dapat meningkatkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia.

34. Saya juga ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya dapat hadir untuk melihat sendiri peluang pemilikan kediaman yang ditawarkan di dalam Karnival Jom Beli Rumah ini.

35. Akhir kata, saya doakan semoga usaha-usaha kita ini bukan sahaja diberkati malah akan memberi manfaat yang melimpah-limpah kepada Keluarga Malaysia.

36. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan MAJLIS PELANCARAN HOME OWNERSHIP PROGRAMME DAN KARNIVAL JOM BELI RUMAH 2022.

Sekian,


Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.