Langkah-langkah yang diambil untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat.

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2022

PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
[PORT DICKSON ] TARIKH : 18 JULAI 2022 (ISNIN)

SOALAN

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM [PORT DICKSON] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat.

JAWAPAN
DIJAWAB OLEH YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI

Tan Sri Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, komitmen Kerajaan dalam membantu rakyat Keluarga Malaysia untuk menangani kenaikan kos sara hidup, pertama sekali dibuktikan dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2022.

2. Daripada jumlah ini, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur. Tindakan Kerajaan untuk memberi subsidi ayam ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk membantu rakyat kerana inilah pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih. Sekarang kita melihat hasilnya di mana harga telah mula stabil. Melalui cerapan data harga mingguan Kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia. Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95.

3. Hasilnya, kini pengguna telah mula mendapat manfaat manakala penternak dan peniaga ayam juga berpuas hati kerana mereka sudah boleh berniaga seperti biasa.

Tan Sri Yang di-Pertua,

4. Kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak polibeg 1 kg dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini. Jumlah ini naik secara mendadak berbanding keperluan pada tahun 2020 iaitu RM500juta dan 2021 sebanyak RM2.1bilion.

5. Berkenaan subsidi minyak botol yang dihentikan, sebenarnya, subsidi ini diberikan bermula pada Ogos 2021 bertujuan untuk mengurangkan bebanan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada perancangan Kerajaan, subsidi ini hanya sehingga Disember 2021 kerana kita telah berjanji untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat dalam Pelan Pemulihan Negara. Namun, Kerajaan amat prihatin dengan perkembangan trend minyak sawit mentah atau CPO yang naik secara konsisten disebabkan permintaan dunia yang telah mula membuka aktiviti ekonomi.

6. Atas sebab ini, Kerajaan telah melanjutkan pelaksanaannya sehingga Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM382 juta bagi melaksanakan program subsidi minyak botol ini. Isu Kerajaan tidak membantu rakyat tidak seharusnya timbul kerana subsidi minyak masak polibeg 1 kg masih lagi diberikan malahan telah ditambah seperti yang saya sebutkan tadi.

Tan Sri Yang di-Pertua,

7. Kerajaan juga telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Program ini mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga daripada semua Ahli Parlimen dan pihak Kerajaan Negeri. Justeru, Kerajaan sedang memperinci pelaksanaan PJKM untuk diperhebat dan diperluaskan kepada lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri. Jualan PJKM melibatkan penurunan sehingga 15% namun ada kalanya penurunan tersebut lebih daripada itu.

8. Selain daripada itu, bagi terus membantu rakyat Keluarga Malaysia, Kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia kepada lebih kurang 9 juta penerima sebanyak RM100 bagi isi rumah serta RM50 bagi individu bujang.

9. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai lagi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi membantu rakyat Keluarga Malaysia. Meskipun kita tidak dapat menghalang kenaikan harga barangan sepenuhnya kerana ia adalah disebabkan faktor inflasi global, namun, impaknya dapat dikurangkan dengan pelaksanaan strategi-strategi yang telah dirangka oleh Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

MAKLUMAT TAMBAHAN

1. Indeks Harga Pengeluar (IHPG) dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia

1.1 Jurang di antara Indeks Harga Pengeluar (IHPG) dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia adalah yang terbesar. IHPG terkini pada bulan Mei 2022 adalah pada kadar 11.2% manakala IHP pada kadar 2.8%. Dalam bahasa mudahnya, sepatutnya dengan kenaikan IHPG sebanyak dua (2) angka, kenaikan IHP juga seharusnya hampir kepada dua (2) angka. Itu mengikut pandangan sesetengah ahli ekonomi. Namun, ianya tidak berlaku kerana langkah- langkah yang telah diambil oleh Kerajaan.

1.2 Ini menunjukkan bahawa dengan kadar IHPG dan IHP sahaja kita sudah melihat kejayaan Kerajaan untuk mengawal kesan negatif daripada inflasi. Kesan ini dapat dilihat dengan nyata disebabkan oleh faktor pemberian bantuan dan subsidi sama ada secara langsung atau tidak langsung yang manfaatnya dinikmati oleh pengguna dan rakyat Keluarga Malaysia secara amnya.

2. Isu keberadaan minyak masak polibeg 1 kg.

2.1 Kuota 60,000 metrik tan bagi keperluan isi rumah sebenarnya mencukupi malahan berlebihan. Isu semasa minyak masak polibeg adalah disebabkan ketamakan segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri dan mendapat keuntungan singkat dalam kepayahan orang lain. Kejadian penyeludupan serta salah guna minyak masak subsidi ini oleh pihak industri akan dibanteras. KPDNHEP hanya mempunyai 2,200 penguatkuasa. Dengan jumlah kekuatan anggota yang terhad adalah sukar untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Malaysia terutamanya di kawasan sempadan.

2.2 Sumber Kerajaan telah digembleng melalui agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM, Kastam, MAQIS, RELA dan beberapa agensi lain untuk membantu penguatkuasa KPDNHEP seperti model pelaksanaan penguatkuasaan COVID-19. Malahan Kementerian Belia dan Sukan turut bekerjasama dengan KPDNHEP dalam mengembleng tenaga anak muda belia sebagai pemantau dan mata-mata Kerajaan dalam memerangi penyelewengan ini.

3. Survei Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA)

3.1 Berdasarkan Survei Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) dan Indeks Harga Pengguna oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), secara purata perbelanjaan isi rumah pada tahun 2021 adalah sebanyak RM3,587 sebulan. Dengan keadaan inflasi sekarang, perbelanjaan tambahan yang diperlukan adalah sebanyak RM115.

3.2 Jika kita lihat golongan B40, mereka membelanjakan RM1,789 sebulan pada tahun 2021. Mengambil kira kadar inflasi semasa mereka memerlukan tambahan sebanyak RM58 menjadikan keperluan bulanan adalah sebanyak RM1,847.

4. Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

4.1 Kerajaan juga telah menubuhkan satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dan diurus setia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia;

4.2 Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah untuk membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup dab menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan. Tiada elaun diperuntukkan kepada ahli mesyuarat kerana mereka berkhidmat sepenuhnya demi negara;

4.3 Pasukan ini amat aktif dan telah bersidang sebanyak 3 kali semenjak penubuhannya pada 29 Jun 2022.

5. Stokpail ayam

Pelbagai langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan sekali gus memastikan bekalan ayam kekal terjamin, termasuk pelaksanaan stokpail ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan Pertubuhan Peladang secara gabungan.

6. Kecekapan tuntutan subsidi ayam

Kerajaan juga mempermudah proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan khususnya penternak kecil dan sederhana.

7. Prosedur Import

7.1 Memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat (4) komoditi merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan priority lane bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil;

7.2 Mempercepatkan proses keperluan lesen pengimportan di bawah DVS melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai 2022 dengan proses kelulusan dalam masa tujuh (7) hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan; dan

7.3 Penambahan abattoir dan loji pemprosesan luar negara bagi meningkatkan dan mempelbagaikan sumber import bekalan ayam dan daging.

8. Harga siling ayam

Kerajaan telah membuat keputusan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram, bagi Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai 2022. Manakala, harga ayam di ladang ditetapkan pada RM6.00/kg dan harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10/kg. Penetapan harga pada kadar RM9.40 sekilogram adalah harga yang telah disubsidi iaitu rakyat akan membeli pada harga yang lebih mahal jika tindakan ini tidak diambil oleh Kerajaan.

9. Ops Bersepadu

9.1 Strategi seterusnya adalah memperhebatkan OPS BERSEPADU yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras ketirisan barang subsidi terutama minyak masak dari diseludup ke negara asing;

9.2 Operasi bersepadu yang membabitkan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memantau sempadan negara melibatkan empat negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan;

9.3 Sehingga kini rampasan bernilai RM1.5 juta telah dibuat dengan 61 kes membabitkan individu dan peniaga di empat negeri tersebut;

9.4 Ketirisan minyak masak bersubsidi berlaku kerana julat perbezaan harga antara minyak masak bersubsidi dengan yang tidak bersubsidi amat besar di samping harga komoditi itu di negara jiran jauh lebih tinggi dari di negara kita;

9.5 Di samping penyeludupan, ketirisan berlaku dengan cara menjual minyak masak kepada industri sebagai minyak masak terpakai untuk dijadikan bahan bio-diesel pada harga yang lebih tinggi daripada harga minyak masak subsidi;

9.6 Satu lagi ketirisan ialah memindahkan minyak masak polybag ke botol 5kg dan dijual pada harga pasaran sekarang iaitu sekitar RM40.00 sebotol;

9.7 Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau dan melakukan perisikan sama ada melalui OPS Bersepadu di sempadan, mahupun OPS ATM dan OPS SAMAR di dalam negeri. Pasukan JIHAD mengalu-alukan kerjasama rakyat untuk bersama-sama melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada aktiviti yang mencurigakan supaya kita dapat membanteras aktiviti ketirisan yang berleluasa kini;

9.8 Untuk tahun 2022 sahaja, 486,686 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Malaysia yang melibatkan 77,633 pemeriksaan di luar bandar dan 409,054 di bandar-bandar.

10. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)

Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah bersidang sebanyak 4 kali semenjak 9 Disember 2021. Antara keputusan-keputusan mesyuarat NACCOL pada mesyuarat bertarikh 4 Julai 2022 adalah seperti berikut:

10.1 Operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif

Melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu;

Kerajaan telah mengerahkan pihak penguatkuasa yang terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal

Ehwal Pengguna, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan;

Langkah ini demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna;

Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi; dan

Perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

10.2 Sekuriti Makanan

Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

10.3 Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM)

Dalam masa sama, Kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah;

PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi di seluruh negara; dan

Program yang akan diterajui bersama oleh KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan ini turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

10.4 Menu Keluarga Malaysia

Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran- restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di institusi-institusi pengajian tinggi sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

11. Inisiatif-inisiatif semasa KPDNHEP

(i) Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan;
(ii) Segar @ Mesra (Program Peladang Kepada Pengguna) melibatkan sebanyak 51 lokasi PETRONAS; dan
(iii) Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming.

12. Inisiatif-inisiatif kementerian lain

Kementerian-kementerian lain juga melaksanakan strategi-strategi bagi menangani isu kos sara hidup ini. Sebanyak 40 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM14 bilion telah diperuntukkan di bawah Bajet 2022. Antaranya adalah Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan yang melibatkan pelaksanaan Program Ikan Segar Beku QFISH dan Program Kebuniti 2.0 serta Rancangan Makanan Tambahan bagi sekolah kerajaan.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.