Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN)

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT KEEMPAT MAJLIS AIR NEGARA (MAN)


1. Hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan serta Agensi yang berkaitan.

2. Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun. Daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030.

3. Saya juga telah mengarahkan Kementerian dan agensi terbabit meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

4. Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

5. Penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain, walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

6. Kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

7. Struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan, sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat. Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat.

8. Mesyuarat pada hari ini juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu:

i. Transformasi Sektor Air 2040 (Water Sector Transformation 2040 – WST 2040)

Pelan transformasi ini akan dilaksanakan di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040. Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara.

ii. Pengiktirafan Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air;

Makmal Kualiti Air (MKA) di NAHRIM akan berfungsi sebagai pusat rujukan dalam menyelidik kejadian pencemaran badan air. Makmal ini yang telah mendapat akreditasi MS ISO: IEC 17025 boleh menjadi alternatif kepada makmal Jabatan Kimia bagi forensik penyelidikan pencemaran air. MKA dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dengan kepakaran yang kompeten dan diiktiraf Institut Kimia Malaysia serta Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia. Ia juga berkemampuan membuat analisa berkaitan pencemaran air merangkumi lebih 200 parameter kimia dan mikrobiologi.

iii. Perkongsian Peta Hazard Banjir (Flood Hazard Map) kepada Awam

Maklumat peta hazard banjir menunjukkan kawasan kebarangkalian yang boleh dinaiki air berdasarkan peta guna tanah semasa dan akan datang. Amalan perkongsian peta hazard banjir turut dilaksanakan oleh negara lain seperti Amerika

Syarikat dan United Kingdom. Perkongsian peta ini membantu pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan seperti Rancangan Tempatan Daerah atau Rancangan Struktur Negeri serta perancangan pengurusan bencana banjir.

9. MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

10. Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu pengurusan air negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat
DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
21 JULAI 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.