Kenyataan Media Berkaitan Kerajaan Komited Selesaikan Masalah Pengambilan Pekerja Asing, Mengurangkan Birokrasi Dan Sekuriti Makanan

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERAJAAN KOMITED SELESAIKAN MASALAH PENGAMBILAN PEKERJA ASING, MENGURANGKAN BIROKRASI DAN SEKURITI MAKANAN


Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan tiga perkara utama, iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Kerajaan mendengar keluhan dan pandangan dari pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal. Kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan.

Mesyuarat telah menetapkan beberapa keputusan seperti berikut:

1. Kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan berikut:

Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.

Kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri.

2. Mesyuarat mengambil maklum akan prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi. Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.

Sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan. Sehubungan itu, Kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga.

Justeru, mesyuarat bersetuju supaya MPCmenyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya. Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambahbaik.

3. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui Kerajaan dengan segera.


Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
19 Julai 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.