Teks Ucapan Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Negeri Kelantan

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA

JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA 2022 NEGERI KELANTAN
23 JULAI 2022 | SABTU | 10.00 PAGI
STADIUM SULTAN MUHAMMAD KE IV, KOTA BHARU, KELANTAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.

2. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan, khususnya Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Datuk Ahmad Yaakob di atas penganjuran JAKM ke-6 di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

3. Apa khabar warga Kelantan? Semoga seluruh Keluarga Malaysia di negeri ini sentiasa sihat sejahtera hendaknya.

4. JAKM sebelum ini telah menjelajah ke Johor, Perlis, Sabah, Terengganu dan Perak bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh Keluarga Malaysia.

5. Ia membuktikan bahawa idea Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan pada 22 Ogos tahun lepas bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kesejahteraan dan kepentingan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Konsep Keluarga Malaysia bermatlamat supaya rakyat berbilang kaum dan merentasi agama di negara ini dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu dalam satu keluarga besar berasaskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

7. Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga.

8. Jika ada anggota keluarga yang kesusahan, anggota yang lain turut merasakannya ibarat tercubit paha kiri, paha kanan pun berasa sakit.

9. Justeru, kita bawa konsep ini menjelajah ke seluruh negara supaya rakyat dapat menghayati dan memahami aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih jelas, sekaligus diserap dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia.

10. Amalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lalu perlu dikekalkan, dipertahankan dan diperkukuhkan walau apa jua cabaran mendatang.

11. Kerajaan hari ini juga bekerja dalam semangat Keluarga Malaysia, terus konsisten memberikan tumpuan kepada program dan inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ia dilakukan bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang tertinggal.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Sebagai negeri yang bergelar Serambi Mekah, Keluarga Malaysia Kelantan pastinya sudah serasi dengan konsep ‘Tasamuh’ yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan yang menjadikan tunggak kepada konsep Keluarga Malaysia itu sendiri.

13. Nilai toleransi ini bukan hanya dalam hidup bermasyarakat tetapi juga beragama dengan menghormati hak dan kewajipan antara agama Keluarga Malaysia, sekaligus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

14. Dengan tasamuh juga, Keluarga Malaysia akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

15. Sebagai Kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan dan mencari titik persamaan dalam kepelbagaian melalui konsep Keluarga Malaysia dan tasamuh.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Kerajaan akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan dengan RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.

17. Kerajaan juga telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40. BKM merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

18. Sementara itu, kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baru secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.

19. Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025. Insya-Allah.

20. Bagi memastikan ekonomi di negeri ini digerakkan sepenuhnya, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali.

21. Usaha ini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion dan dijangka menjana sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk penduduk tempatan.

22. Kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, melibatkan kos RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi

23. Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer dengan kos RM7.7 bilion, antara Gua Musang hingga Kuala Krai, dijangka siap pada tahun 2026 akan memudahkan perjalanan rakyat serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

24. Dalam bidang kesihatan pula, sebanyak 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini, manakala dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil, dijangka siap tahun hadapan.

25. Pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu pula dijangka siap pada tahun 2025.

26. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion melibatkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di negeri ini.

27. Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Baharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jaringan kawasan 43.86km dan mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu.

28. Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sedang dinaik taraf mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta setahun dan dijangka siap tahun 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia memberi kesan dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.

30. Kenaikan harga jagung bijiran dan baja serta kenaikan kos logistik telah menyebabkan peningkatan harga barangan yang menyaksikan kadar inflasi juga meningkat tinggi.

31. Namun begitu, Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara hasil usaha berterusan Kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.

32. Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak paket.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

33. Terima kasih diucapkan kepada semua atas sambutan yang memberangsangkan serta komitmen padu yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri dalam menjayakan JAKM ini.

34. Saya berharap agar semangat Keluarga Malaysia dapat terus dihayati dan diterapkan dalam kehidupan semua lapisan masyarakat di negeri ini.

35. Dengan hasrat tersebut, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kelantan.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.