Kenyataan Media Berkaitan Sinergi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Bagi Memperkasakan Sekuriti Makanan Negara

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


SINERGI KERAJAAN PERSEKUTUAN, KERAJAAN NEGERI BAGI MEMPERKASAKAN SEKURITI MAKANAN NEGARA


Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

Mesyuarat pada kali ini memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

Cabaran-cabaran ini dipengaruhi oleh faktor, antaranya peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan berlakunya banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan.

Untuk itu, Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Dalam mesyuarat hari ini Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan inisiatif- inisiatif berikut:

i. Meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan:

a. Mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang- kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

b. Memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat Kerajaan Negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

c. Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

ii. Mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi.

iii. Pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

iv. Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

v. Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

vi. Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

vii. Menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan.

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan. Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut.

Sementara itu, mesyuarat ini juga telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.

Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

Ini disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
28 JUN 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.