Kenyataan Media Berkaitan NAFAS dan ANGKASA Usahakan Tanaman Bijirin Dalam Skala Besar Atasi Pergantungan Import

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


NAFAS DAN ANGKASA USAHAKAN TANAMAN JAGUNG BIJIRIN DALAM SKALA BESAR ATASI PERGANTUNGAN IMPORT


Pada pagi ini, saya telah bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

Kerajaan menyambut baik inisiatif NAFAS dan ANGKASA untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

NAFAS dan ANGKASA akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala ANGKASA sebanyak 30 juta ekor setahun.

NAFAS dan ANGKASA akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam. Bagi tujuan itu;

a. NAFAS telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

b. ANGKASA telah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.

Usaha NAFAS dan ANGKASA yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam.

Saya yakin NAFAS dan ANGKASA berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan. Ini kerana NAFAS mempunyai seramai 1 juta ahli, manakala 7 juta ahli bernaung di bawah ANGKASA melalui 14,835 koperasi.

ANGKASA juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Pada masa yang sama, langkah proaktif NAFAS dan ANGKASA ini juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
14 Jun 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.