High-Level Dialogue On Global Development

HIGH-LEVEL DIALOGUE ON GLOBAL DEVELOPMENT

KENYATAAN NEGARA OLEH YAB PERDANA MENTERI

24 JUN 2022

PROGRAM

HIGH-LEVEL DIALOGUE ON GLOBAL DEVELOPMENT

Tarikh : 24 Jun 2022 (Jumaat)
Masa : 2000 – 2200 jam
Pengerusi : TYT Xi Jinping, Presiden China

Negara Peserta

a) Negara anggota BRICS (5 Negara)

1. Xi Jinping, Presiden China;
2. Vladimir Putin, Presiden Rusia;
3. Narendra Modi, Perdana Menteri India;
4. Cyril Ramaphosa, Presiden Afrika Selatan; dan
5. Hamilton Mourao, Timbalan Presiden Brazil

b) Ketua-Ketua Negara (8 Negara)

1. Abdelmajib Tebbaoune, Presiden Algeria;
2. Alberto Fernandez, Presiden Argentina;
3. Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Egypt;
4. Joko Widodo, Presiden Indonesia;
5. Ebrahim Raisi, Presiden Iran;
6. Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kazakhstan;
7. Macky Sall, Presiden Senegal; dan
8. Shavkat Mirziyoyev, Presiden Uzbekistan

c) Ketua-Ketua Kerajaan (5 Negara)

1. Hun Sen, Perdana Menteri Cambodia;
2. Abiy Ahmed Ali, Perdana Menteri Ethiopia;
3. Josaia Voreqe Bainimarama, Perdana Menteri Fiji;
4. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia; dan
5. Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Thailand

Topik
• Memperkukuh Kerjasama Praktikal dalam Pelbagai Bidang Keutamaan bagi Memacu Pelaksanaan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

Dokumen Hasil

• Kenyataan Pengerusi bagi High-Level Dialogue on Global Development

MEMPERKUKUH KERJASAMA PRAKTIKAL DALAM PELBAGAI BIDANG KEUTAMAAN BAGI MEMACU PELAKSANAAN AGENDA 2030 UNTUK PEMBANGUNAN MAMPAN

Tuan Yang Terutama Presiden Xi Jinping, Pengerusi;

Ketua-ketua Negara dan Kerajaan.

1. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Xi Jinping kerana memperkenalkan format baharu bagi Forum Khas BRICS Plus yang memperluaskan penyertaan negara-negara lain dalam persidangan ini.

2. Ketika dunia berdepan cabaran getir dalam mencapai pembangunan mampan, penting sekali dialog dan kerjasama digiatkan supaya masyarakat antarabangsa boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama.

3. Tiada penyelesaian yang boleh dicapai sekiranya kita melakukannya secara bersendirian.

4. Realitinya, keadaan dunia kini jauh berbeza berbanding semasa Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) diperakukan pada tahun 2015.

Tuan-tuan Yang Terutama,

5. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan kadar inflasi tahun ini akan melonjak ke paras purata 5.7 peratus bagi negara maju dan 8.7 peratus bagi negara membangun, malah ada juga negara-negara mengalami kadar inflasi yang tertinggi dalam tempoh 50 tahun.

6. Laporan kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan terdapat pertambahan sebanyak 95 juta penduduk dunia berada dalam kemiskinan tegar tahun ini, berbanding sebelum pandemik COVID-19.

7. Di Malaysia, gangguan yang berlaku dalam ekosistem rantaian bekalan telah menyebabkan peningkatan kos dan harga makanan.

8. Bagi mengekang kesan terhadap Keluarga Malaysia, kami akan terus mengurus inflasi dengan sebaik mungkin.

Tuan-tuan Yang Terutama,

9. Selain kenaikan harga makanan, Malaysia turut berdepan dengan cabaran krisis iklim seperti negara- negara lain.

10. Pada penghujung tahun lalu hingga awal tahun ini, Malaysia telah dilanda banjir antara yang terburuk dalam sejarah negara apabila mengalami kerugian terkumpul sekitar $1.4 bilion Dollar Amerika (RM6.1 bilion).

11. Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia kekal komited dalam usahanya untuk memacu kemajuan dalam SDG seperti mana termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

12. Malaysia sedang merangka Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan (2021-2025) Fasa Kedua bagi mengenal pasti bidang keutamaan yang berkaitan.

13. Usaha melaksanakan SDG di peringkat tempatan sedang dijalankan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.

14. Ini adalah model inovatif yang mengumpulkan ahli Parlimen dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama mencari penyelesaian kepada cabaran di peringkat akar umbi.

Tuan-tuan Yang Terutama,

15. Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia atau Yayasan MySDG telah ditubuhkan untuk mengumpul dan menyalurkan dana kepada projek-projek berkaitan pembangunan mampan.

16. Malaysia berhasrat mempromosikan lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan pasaran baharu.

17. Namun begitu, Malaysia tidak boleh melakukan usaha ini secara bersendirian. Negara-negara yang terlibat dalam sidang kemuncak ini mempunyai kelebihan tersendiri.

18. Oleh itu, penting sekali untuk kita bekerjasama dalam usaha mencapai Agenda 2030.

19. Pada masa yang sama, izinkan saya mengutarakan beberapa cadangan dalam membantu mencapai matlamat tersebut:

Pertama: Pengukuhan Arkitektur Pembangunan Antarabangsa

– Terdapat banyak negara membangun yang memiliki program dan agensi yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan.

– Bagi membangunkan semula ekonomi supaya menjadi lebih baik, kita perlu mengukuhkan arkitektur pembangunan antarabangsa.

– Sebagai contoh, China mempunyai Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA), manakala Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu, telah memberi manfaat kepada lebih 34,000 peserta daripada 140 buah negara.

– Program dan agensi ini perlu memupuk kerjasama untuk membantu negara membangun yang lain berdasarkan konsep Kerjasama Trilateral.

Kedua: Pengukuhan Sistem Pelbagai Hala

– Masyarakat Antarabangsa perlu mengukuhkan sistem pelbagai hala, termasuklah dana yang disalurkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNDP) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.

– Tumpuan badan-badan tersebut mestilah diberikan mengikut keperluan negara-negara membangun dan bukannya agenda negara penyumbang.

Ketiga: Negara Maju Perlu Memenuhi Komitmen Dalam Menangani Krisis Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

– Usaha perlu dipergiatkan dalam menghadapi cabaran yang saling berkait melalui peningkatan dan pembiayaan yang inovatif, perkongsian teknologi, dan pembangunan keupayaan yang menyokong peralihan ke arah ekonomi global yang lebih hijau.

– Sebagai contoh, negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang merupakan antara negara terkaya di dunia memperuntukkan hanya 0.33 peratus daripada KDNK mereka sebagai Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) berdasarkan laporannya yang bertarikh 12 April tahun lalu.

– Selain itu, negara-negara maju juga belum mencapai komitmen $100 bilion Dollar Amerika setahun bagi tujuan pembiayaan iklim.

– Oleh demikian, Malaysia menyeru agar komitmen-komitmen yang sudah dipersetujui ini dicapai dengan segera.

20. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan terhadap usaha memupuk kerjasama global dalam keadaan dunia yang penuh mencabar ini.

21. Sebagai Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Malaysia ingin menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha memacu pembangunan global ke arah dunia yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum WarahmatullahWabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.