Teks Ucapan Sempena Karnival Kerjaya (BN Youth Job Fair)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

KARNIVAL KERJAYA PEMUDA BARISAN NASIONAL TAHUN 2022 (BN YOUTH JOB FAIR)

26 JUN 2022 | 3.00 PETANG D

DEWAN TUN RAZAK, WORLD TRADE CENTRE, KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul bersama- sama di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada petang ini, sempena perasmian penutup Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) Tahun 2022.

2. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pemuda Barisan Nasional (BN) di atas penganjuran Karnival Kerjaya ini yang memanifestasikan kesungguhan dalam meningkatkan sosioekonomi Keluarga Malaysia melalui penyediaan peluang pekerjaan.

3. Saya berharap Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Keluarga Malaysia yang sedang mencari pekerjaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pekerjaan negara dengan kadar pengangguran pada tahun 2020 dan 2021 berada di tahap yang tertinggi iaitu pada kadar 4.5 peratus dan 4.6 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

5. Penutupan beberapa sektor ekonomi menjadikan kadar pengangguran negara meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020 iaitu kadar pengangguran bulanan yang tertinggi pernah kita catatkan.

6. Bermula 1 April yang lalu, negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan ini telah menjadi titik tolak kepada pemulihan ekonomi negara yang kini berada pada momentum yang baik.

7. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sehingga April 2022, kadar pengangguran negara telah menurun kepada 3.9 peratus, berbanding 4.6 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2021.

8. Ini merupakan kali pertama kadar pengangguran menurun di bawah empat peratus sejak pandemik COVID-19 dengan bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Pada tahun ini, Kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

10. Di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) juga, saya telah membentangkan pelan jangka sederhana bagi sektor pekerjaan negara menerusi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang akan diperkenalkan bagi menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

11. Justeru, Kerajaan mengalu-alukan penganjuran Karnival Kerjaya ini, yang merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran sebelum ini, supaya dapat membantu mengurangkan penggangguran melalui Polisi Pasaran Buruh Aktif.

12. Karnival Kerjaya ini dilaksanakan sejak Oktober 2021 sebagai sokongan kepada komitmen Kerajaan bagi menjamin kelangsungan Keluarga Malaysia memiliki kehidupan yang baik selepas pandemik Covid-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Mengikut Laporan Tenaga Buruh Malaysia, DOSM juga dimaklumkan seramai 2,750 graduan telah berjaya ditempatkan melalui Program Peningkatan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP).

14. Selain itu, seramai 2,479 belia juga berjaya ditempatkan melalui Insentif Pekerjaan JaminKerja khusus untuk perantis melalui Skim Perantisan Nasional (SPN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan, dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi-agensi di bawah tiga kementerian ini.

15. Sehingga 8 Mei lepas, MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) berjaya menempatkan seramai 649 peserta daripada 3,596 pemohon termasuk belia dalam pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital.

16. Selain itu, sehingga 30 April lalu, seramai 2,060 graduan telah ditempatkan di bawah inisiatif Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bagi pelaksanaan program peningkatan kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Bagi memperkasakan perniagaan dalam kalangan belia pula, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan sebanyak RM3.09 juta kepada seramai 350 usahawan baharu sehingga 30 April 2022 di bawah Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan Belia/MARA (PUTRA), yang bertujuan menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan mikro bagi usahawan memulakan perniagaan.

18. Selain itu, sebanyak RM1.8 juta telah disalurkan kepada seramai 25 usahawan teknikal MARA di bawah Program Pembangunan Usahawan Teknikal (PUTEK) untuk membolehkan generasi muda memulakan perniagaan dalam bidang teknikal berdasarkan kebolehan yang diperolehi menerusi MARA.

19. Saya juga mempelawa pencari kerja untuk memanfaatkan 48 buah Pusat Sehenti MYFutureJobs di seluruh negara yang merupakan inisiatif PERKESO dengan institusi dan agensi memperkasa dan meningkatkan peluang pekerjaan bagi komuniti bandar dan luar bandar.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

20. Di bawah Bajet 2022, Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) diperuntukan RM60 juta untuk pelaksanaan aktivitinya termasuk kerjasama industri dalam pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

21. Program Latihan Industri Berstruktur Nasional ataupun MySIP juga telah memanfaatkan lebih 100,000 bakal graduan dalam penempatan latihan industri berkualiti dan Program Young Employable Students ataupun YES! yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 bakal graduan.

22. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Kebangsaan (NIOSH) turut menyediakan program-program latihan seperti pakej khas kursus Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (SHO) kepada ‘future workers’ dan

Program Kompetensi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk masyarakat India B40.

23. Terdapat juga platform strategik pekerjaan iaitu myBelia di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk golongan belia mendapatkan informasi mengenai pencarian pekerjaan, latihan kemahiran dan permohonan dana melalui laman ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Karnival Kerjaya Pemuda BN ini adalah kesinambungan usaha murni dalam membantu Keluarga Malaysia, khususnya golongan muda di kawasan sekitar untuk mendapatkan kerja.

25. Pelbagai usaha dan tindakan oleh Kerajaan bagi mempastikan rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan.

26. Saya berjarap usaha pihak Kerajaan ini akan mendapat sokongan Pemuda BN untuk menguar-guarkan usaha ini dan membantu Kerajaan untuk menangkis kritikan daripada pembangkang.

27. Saya difahamkan, lebih 20,000 kekosongan jawatan dari lebih 200 majikan mengambil bahagian dalam program temuduga terbuka hari ini.

28. Nasihat saya kepada pihak majikan, berilah peluang kepada pencari kerja jika mereka didapati sesuai dan menepati syarat yang ditetapkan organisasi.

29. Kepada pencari kerja pula, buat yang terbaik semasa sesi temuduga dan sentiasa berfikiran positif dan cepat bertindak agar kita tidak terlepas peluang kerja di depan mata.

30. Saya difahamakan tawaran pekerjaan akan dikeluarkan pada hari ini juga.

31. Saya juga ingin respons kepada perkara yang dibangkitkan Ketua Pemuda BN mengenai kebankrapan melibatkan golongan muda.

32. Syaa juga bimbang melihat kepada jumlah yang ada ketika ini dan bimbang jika jumlah itu melonjak naik.

33. Kerajaan pernah menaikkan threshold sewaktu pandemik dulu untuk menangguhkan undang-undang yang melibatkan kebankrapan dan threshold telah dikaji semula dan Insha Allah saya akan berbincang dengan Menteri Undang-Undang untuk melihat akta serta undang-undang tersebut dan saya juga akan berjumpa Gabenor Bank Negara untuk melihat dari segi undang-undang jika boleh ditangguhkan lagi.

34. Percayalah agenda anak-anak muda menjadi keutamaan Kerajaan.

35. Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Pemuda Barisan Nasional di atas penganjuran Karnival Kerjaya yang amat bermakna kepada Keluarga Malaysia.

36. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismilahhirrahmannirrahim, merasmikan penutup KARNIVAL KERJAYA PEMUDA BARISAN NASIONAL TAHUN 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.