Ucaptama Sempena Persidangan Antarabangsa Ke-27 Mengenai “Masa Depan Asia” (Persidangan Nikkei)

UCAPTAMA
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA

PADA PERSIDANGAN ANTARABANGSA KE-27
MENGENAI “MASA DEPAN ASIA”
(PERSIDANGAN NIKKEI)

26 MEI, 2022, 10.30 PAGI
HOTEL IMPERIAL, TOKYO, JEPUN

“MENTAKRIF SEMULA PERANAN ASIA DALAM DUNIA YANG BERBELAH PENDIRIAN”

Assalamualaikum dan Selamat Pagi,
Ohayou Gozaimas,

Perdana Menteri Singapura,

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nikkei Incorporated;

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nikkei Incorporated;

Hadirin yang dihormati sekalian.

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nikkei Incorporated dan juga barisan penganjur Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa depan Asia, kerana sudi menjemput saya menyampaikan ucaptama pada majlis yang penting ini.

2. Majlis yang menghimpunkan pakar dan bijak pandai yang berpengalaman ini diadakan tepat pada masanya ketika rantau Asia khasnya dan juga dunia amnya berusaha untuk bangkit semula daripada impak pandemik COVID-19.

3. Suasana yang melanda dunia tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Seusai sahaja dibadai gelombang ganas pandemik, ia berdepan pula dengan konflik politik sejagat yang menyaksikan berlakunya peningkatan mendadak harga makanan dan juga komoditi akibat terjejasnya rantaian bekalan makanan dunia.

4. Kebanyakan negara sejagat berada dalam tempoh yang paling mencabar dan tidak menentu dalam sejarah baharu tamadun dunia. Perbezaan yang sudah lama berlaku dan semakin mendalam, kini menjadi parah pula.

Hadirin yang dihormati,

5. Saya berpendapat, sekarang bukannya masa untuk kita terus berbelah pendirian. Dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman termasuklah perubahan iklim yang memerlukan komitmen dan kerjasama serantau dan juga antarabangsa dalam usaha untuk menanganinya.

6. Suka saya berkongsi, di Malaysia, kami mempunyai peribahasa yang mengatakan: “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat” mencerminkan betapa pentingnya kita mewujudkan komitmen yang teguh terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa.

7. Sebenarnya, kemelut yang melanda kita membawa hikmah supaya kita sama-sama belajar daripada pengalaman tersebut untuk mencari penyelesaian yang tuntas agar terus maju ke hadapan.

8. Walaupun begitu, sebarang penyelesaian yang mahu dicari tidak seharusnya hanya menguntungkan satu pihak semata-mata tetapi melibatkan semua.

9. Oleh itu, izinkan saya untuk berkongsi pendapat dengan anda tentang tema pada tahun ini: “Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian”.

Asia dalam Era Persaingan

Hadirin yang dihormati,

10. Krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik, dan kini konflik di Ukraine mengingatkan kita bahawa rantau Asia seperti mana-mana juga rantau lain di dunia, tidak terkecuali daripada mendapat bahananya. Namun apa yang membezakan adalah sejauh mana kesan yang dirasai masing-masing.

11. Negara-negara maju tentunya lebih berupaya untuk mendepani krisis berbanding negara-negara kurang maju.

12. Lihat sahaja isu pengagihan vaksin yang tidak adil atau sama rata sehingga menyebabkan ia menjadi ancaman kepada pemulihan ekonomi dunia. Sehingga bulan Mei 2022, laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan 72 peratus penduduk negara maju telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sedangkan negara miskin hanya 17 peratus.

13. Seperti mana yang saya sebutkan tadi, ini merupakan contoh satu bentuk perbezaan yang berlaku dan dihadapi dunia pada hari ini. Keadaan ini tidak mungkin dapat ditangani tanpa adanya kerjasama dan muafakat semua negara.

14. Di Malaysia misalnya, kami bangga kerana 98 peratus daripada penduduk dewasa telah menerima vaksinasi yang lengkap.

15. Namun begitu, pencapaian ini tetap menjadikan kami tidak mudah berasa selesa kerana pandemik akan terus menjejaskan pemulihan ekonomi selagi semua warga dunia tidak mendapat vaksinasi.

16. Kejayaan ini hanyalah bersifat setempat dan tidak mampu memberikan kesan positif kepada rantau ini apatah lagi di peringkat global.

17. Konflik yang melanda Ukraine juga menunjukkan negara-negara yang tidak sama sekali terlibat dengannya tetap terkesan.

18. Sebagai sebuah negara yang merupakan antara 25 pedagang utama dunia, Malaysia juga mudah terdedah dengan sebarang perkembangan yang boleh mengganggu dan memberikan kesan yang buruk kepada keupayaan pengeluaran dan lojistik sejagat.

19. Malah ketika negara kuasa dunia dan syarikat multinasional kalut akibat kekurangan semikonduktor dan mikrocip yang menjejaskan industri mereka, isu gangguan bekalan terutamanya makanan memberikan kesan buruk lebih besar kepada rakyat biasa terutamanya dengan meningkatnya kadar inflasi sehingga mencapai paras rekod tertinggi.

20. Tanpa banyak pilihan, banyak negara dunia mula giat mengatur strategi bagi memastikan jaminan keselamatan makanan masing-masing untuk jangka masa pendek.

21. Namun begitu, tiada siapa yang boleh berjaya jika bertindak bersendirian dalam jangka masa yang panjang. Kita haruslah memikirkan secara strategik bersama-sama bagi memperkukuh jalinan perdagangan dan kerjasama ekonomi antarabangsa untuk mendepaninya.

22. Kerjasama ekonomi dan integrasi yang ingin kita bangunkan ini seharusnya perlu menepati keperluan dan terma-terma serantau. Inisiatif-inisiatif ini perlulah lebih inklusif dan tidak lagi bersifat berpihak-pihak mengikut kepentingan geopolitik seperti dilakukan kuasa-kuasa besar sepanjang lebih sedekad lalu.

23. Dasar sehala atau unilateral yang diperkenalkan kuasa besar dunia hanya meningkatkan daya saing satu pihak dan memberikan tekanan kepada pihak lain termasuk pihak ketiga yang tidak terlibat langsung. Keadaan ini boleh mengakibatkan berlakunya perbezaan mendalam dan kita perlu mengelak daripada menjadi mangsanya.

24. Lihat sahaja perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dengan China. Pengenalan tarif secara diskriminasi dan juga renjatan terhadap pelbagai rantaian bekalan telah memberikan kesan negatif di seluruh dunia. Inilah masalah yang dihadapi di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi kedua-dua negara.

25. Kebanyakan yang saya katakan tadi sekadar beberapa contoh perkembangan terkini yang menjadi cabaran kepada para pembuat dasar di Asia. Seperti mana negara-negara membangun lain, Malaysia juga bergantung kepada keadaan serantau yang stabil, inklusif dan makmur.

26. Berikutan itu, saya ingin menyentuh tiga perkara utama yang membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

Pertama : Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau;

Kedua : Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan; dan

Ketiga : Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim.

27. Bagi saya, ini adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia.

Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau

Hadirin yang dihormati,

28. Perkara utama dalam memperkasakan integrasi ekonomi serantau adalah menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.

29. Transformasi ekonomi Asia sejak lebih dua dekad lalu telah menyaksikan rantau ini menjadi pemain utama dalam ekonomi global. Keberhasilan ini dapat dilihat daripada peningkatan usaha kerajaan dan sektor swasta untuk mengukuhkan integrasi ekonomi rantau ini dalam aliran dagangan dunia, pelaburan, bakat dan teknologi.

30. Berikutan itu, bagi tempoh antara tahun 2000 hingga 2017, penguasaan Asia dalam keluaran dalam negara kasar dunia, daripada segi kesetaraan kuasa beli, meningkat daripada 32 peratus kepada 42 peratus.

31. Keadaan ini ternyata berbeza dengan Eropah yang menyaksikan berlaku penurunan daripada 26 peratus kepada 22 peratus, manakala Amerika Utara daripada 25 peratus kepada 18 peratus dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan Asia berada dalam kedudukan penting dalam landskap perdagangan dunia untuk menentukan fasa globalisasi berikutnya.

32. Namun begitu, segala-galanya berubah apabila krisis pandemik COVID-19 memuncak. Kegiatan perdagangan serantau meningkat apabila kebanyakan perniagaan lebih menjurus di Asia kerana rantaian bekalannya lebih pendek dan berdaya tahan tinggi.

33. Berdasarkan pola perdagangan, jumlah perdagangan dalam kalangan negara Asia adalah besar; eksport barangannya berada pada purata 59 peratus bagi tahun 2016 hingga 2020. Ini menunjukkan Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia jika pendekatan diambil lebih bersifat serantau.

34. Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, saya berpendapat penting sekali bagi para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

35. Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan.

36. Selain itu, para pembuat dasar di Asia seharusnya menggandakan usaha bagi meningkatkan kemampuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan ekonomi rantau ini.

37. Transformasi digital secara besar-besaran dan menyeluruh melibatkan PMKS membolehkan mereka menyertai aktiviti e-perniagaan rentas sempadan secara lebih aktif. Pandemik telah menyedarkan usahawan supaya menerima pakai penyelesaian digital dan teknologi dalam usaha kekal relevan.

38. Berikutan itu, Asia sememangnya berada pada kedudukan yang baik kerana menguasai pasaran e-perdagangan terbesar di dunia. Ia mewakili 57 peratus atau AS$1.1 trilion daripada nilai jualan e-perdagangan dunia pada tahun 2019. Angka peratusan itu dijangka mencecah 61%, atau AS$1.9 trilion menjelang tahun 2024.

39. Prospek pertumbuhan ini memberikan peluang besar kepada PMKS untuk mendapat akses kepada pasaran baharu dan mengeksploitasi pelbagai cara baharu bagi memastikan produk mereka terus berdaya saing dalam pasaran.

40. Bagi menjayakannya, pembuat dasar sama ada dalam sektor swasta atau awam perlu bekerjasama membina jaringan logistik yang mantap, membina infrastruktur pasaran digital berkaitan kewangan dalam rantaian bekalan, dan mempromosikan pembangunan teknologi digital inovatif yang dapat memberi kelebihan kepada PMKS dalam meningkatkan penyertaan mereka melalui aktiviti e-perdagangan rentas sempadan.

Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan

Hadirin yang dihormati,

41. Perkara teras yang kedua menjurus kepada kepentingan mengukuhkan kerjasama dan mekanisme perundingan apabila Asia bertindak melakarkan strateginya dalam dunia penuh persaingan dan berbelah pendirian.

42. Di tengah-tengah perbezaan yang berlaku di dunia ini, saya berpendapat adalah sangat penting rantau ini menjadikan kerjasama dan perundingan serantau sebagai nilai dan prinsip asas mereka.
43. Berlakunya pandemik di seluruh dunia mengingatkan kita bagaimana institusi negara (national) dan serantau begitu juga struktur dan rekaaannya yang disangkakan kuat dan kental sebenarnya adalah rapuh jika prinsip dan nilai gagal dipatuhi.

44. Kami mengiktiraf perundingan sebagai penting sama ada di peringkat Asia Tenggara atau pun Malaysia bagi mencari penyelesaian kepada cabaran bersama atau pertikaian.

45. Ini dilakukan melalui mekanisme ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN Plus three, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus.

46. Platform-platform ini yang kekal aktif membuktikan konsep musyawarah boleh dilakukan antara pemimpin dan pemegang taruh bagi keselamatan dan keamanan serantau.

47. Pertikaian diredakan secara diplomasi, pragmatisme dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa yang menjadi pegangan negara-negara anggota ASEAN.

48. ASEAN kekal komited dengan peranannya yang inklusif terutama ketika persaingan dan perbezaan pendapat semakin meningkat. Melalui ASEAN, negara-negara anggota mengadakan dialog yang membina, menggalakkan penyelesaian secara damai bagi setiap pertikaian dan memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran global bersama dengan berteraskan kepada kepaksian kepada ASEAN (ASEAN Centrality).

49. Justeru, ASEAN sangat menghargai sokongan Rakan-Rakan Dialognya, yang kebanyakannya juga menjadi peserta Persidangan Nikkei.

50. Melihat di luar daripada ruang lingkup ASEAN, saya percaya kita perlu juga memberikan perhatian dan sumber lebih besar dalam proses Kerjasama Ekonomi seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

51. APEC merupakan forum perdana bagi integrasi ekonomi serantau yang membentuk kesatuan yang mampu memacu potensi globalisasi negara anggotanya.

52. Tiga pemacu ekonomi yang dikenali pasti dalam Wawasan APEC 2040 atau lebih tepat dikenali sebagai Wawasan Putrajaya 2040 telah membolehkan rantau Asia Pasifik menjadi lebih kukuh dalam norma baharu pasca pandemik. Tiga pemacu ekonomi ini adalah;

Pertama : perdagangan dan pelaburan;

Kedua : inovasi dan digitalisasi; dan

Ketiga : Pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, selamat, mampan dan inklusif.

53. Dengan meneruskan kerjasama yang disandarkan kepada tiga pemacu ekonomi ini, pastinya kita boleh merealisasikan masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040.

54. Bagi usaha memperkasakan peranan Asia melalui mekanisme kerjasama serantau, kita perlu juga berhati-hati dalam tindak balas terhadap isu-isu sedia ada dan juga yang baru muncul. Tidak perlu diadakan rangka kerja baharu sebaliknya platform sedia ada boleh digunakan untuk tujuan tersebut.

55. Di peringkat sejagat, Asia harus percaya dan berpegang teguh kepada proses yang terbina sejak berdekad lamanya dan menggunakan kaedah yang terbukti berkesan selama ini untuk menyelesaikan isu-isu semasa.

Bersatu Menangani Cabaran Perubahan Iklim

Hadirin yang dihormati,

56. Perkara teras yang ketiga merupakan gesaan kepada Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

57. Asia, terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Pada tahun 2021, lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik.

58. Keadaan ini dijangka bertambah buruk seiringan dengan masa. Menjelang tahun 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau, sekali gus akan menyebabkan berlaku kemusnahan yang dahsyat kepada ekonomi dan masyarakat.

59. Prospek berlakunya perubahan persekitaran fizikal, dan juga kesan daripada perpindahan manusia secara paksa bakal memberikan impak ketara kepada alam sekitar. Malah, ia turut menimbulkan kerumitan yang besar kepada tahap keselamatan antara negara.

60. Oleh itu, sudah tiba masanya, para pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui bahawa perubahan iklim akan mengubah semula usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau.

61. Sejak lebih dua tahun lalu, dianggarkan enam juta orang di Asia Tenggara telah hilang tempat tinggal akibat banjir, ribut dan taufan. Peningkatan paras air laut menyebabkan ramai lagi akan kehilangan tempat tinggal selain menyebabkan kos memperbaiki infrastruktur melonjak.

62. Malaysia telah mengambil langkah aktif bagi menangani isu ini dengan mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim. Pendekatan yang diambil melibatkan “whole of nation” yang menyaksikan wujudnya kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta, kumpulan persatuan sivil, masyarakat setempat – terutama mereka yang paling berisiko.

63. Bagi tempoh jangka panjang, Malaysia juga komited memenuhi visi negara untuk mencapai tahap karbon neutral menjelang tahun 2050 dan bertindak menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim.

64. Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai visi yang sama. Untuk tujuan ini, idea “Asia Zero Emission Community” yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida adalah titik permulaan yang baik.

65. Krisis perubahan iklim merupakan isu sejagat dan tiada negara yang mampu mengendalikannya secara bersendirian. Bagi negara-negara membangun, ia sangat membimbangkan kerana kos dan juga kapasiti yang diperlukan untuk mendepaninya akan menghakis sumber untuk mencipta peluang ekonomi kepada rakyat.

66. Laporan Perubahan Iklim Negara ASEAN pertama yang diterbitkan pada bulan Oktober 2021 memberikan penilaian menyeluruh terhadap kesan perubahan iklim di Asia Tenggara selain mengenal pasti peluang kerjasama ke arah mencapai sasaran iklim 2050.

67. Rangka kerjanya menyediakan pelan tindakan yang telus dan transformatif supaya negara-negara anggota boleh menangani krisis perubahan iklim dengan lebih baik.

Kesimpulan

Hadirin yang dihormati,

68. Sebagai mengakhiri ucapan saya, sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa tema persidangan amat relevan sekali dengan dunia yang kita saksikan perubahannya. Perubahan yang berlaku sangat hebat.

69. Bersandarkan kekuatan ekonomi dan pengaruh kita di peringkat global, rantau Asia berada di tempat yang terbaik untuk mengemudi perubahan ini, sekali gus membentuk status quo baharu berlandaskan kepada kesedaran sejagat dan keazaman yang jitu.

70. Kebanyakan isu yang saya utarakan tadi, dan prinsip-prinsip yang kita pegang kuat telahpun terjemahkan dalam Rangka Kerja Dasar Luar Negara Malaysia.

71. Antara lain, ia memberikan penekanan kepada tumpuan serta komitmen Malaysia dalam mencapai pembangunan mampan (SDG), kewujudan bersama secara aman dan menegakkan multilateralisme.

72. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam, Malaysia akan terus memperjuangkan toleransi dan kesederhanaan selain mengamalkan perdagangan yang bebas dan terbuka bagi mencapai masa depan yang makmur, inklusif dan mampan.

73. Malaysia kekal komited untuk terus maju ke hadapan bersama-sama negara-negara jirannya di Asia, dalam mencari kaedah terbaik dalam menangani cabaran terkini secara lebih bermakna.

74. Perubahan dan perbezaan pendapat bukanlah baharu di Asia. Malah, jika ditoleh kembali ke belakang, ia juga menjadikan rantau Asia lebih berdaya tahan terhadap setiap cabaran yang mendatang. Kita perlu perkukuhkan daya tahan ini, ketika ketidaktentuan semakin melebar.

Terima kasih,
Thank You,
Arigato Gozaimas.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.