Teks Ucapan Sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA AIDILFITRI 2022

20 MEI 2022 | 8.30 MALAM DATARAN DRAWBRIDGE
KUALA TERENGGANU, TERENGGANU



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dapat bersama-sama berkumpul bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022. Syabas dan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Terengganu atas penganjuran majlis yang sungguh meriah ini.

2. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang beragama Islam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan buat seluruh umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Sesungguhnya, sambutan ini hanya akan menjadi lebih bermakna apabila dirayakan dalam suasana negara yang aman dan sejahtera.

4. Sebenarnya suasana aman atau keamanan ini hanya dapat dikecapi jika kita mengamalkan sikap saling hormat- menghormati antara satu sama lain untuk hidup bersama ibarat sebuah keluarga besar meskipun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

5. Justeru, saya ingin mengajak seluruh Keluarga Malaysia supaya berpegang kepada konsep Tasamuh yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

6. Sesungguhnya, Islam sebagai agama yang syumul tidak hanya melibatkan urusan ibadah semata-mata, tetapi juga kepentingan dalam menjaga hubungan antara manusia dalam kehidupan bermasyarakat.

7. Tasamuh atau sifat toleransi dalam bermasyarakat akan menjadikan seseorang itu lebih menghargai perbezaan di antara kita. Ia sewajarnya dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Kita bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia, meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius; antaranya membabitkan konflik Rusia-Ukraine serta kekejaman tentera rejim Israel di Palestin misalnya.

9. Isu Palestin turut saya bangkitkan dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini. Dalam persidangan yang dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat dan lapan pemimpin negara-negara ASEAN itu, Malaysia merupakan satu- satunya negara yang menegaskan agar pencerobohan di Palestin dapat ditangani dengan segera.

10. Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

11. Tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, terdapat saudara- saudara kita di negara-negara yang bergolak seperti Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, yang menyambutnya dengan linangan air mata.

12. Inilah peri pentingnya keamanan yang hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan.

Keluarga Malaysia yang dikasihi

13. Alhamdulillah, kemeriahan Aidilfitri dapat kembali dirasai setelah hampir 2 tahun kita tidak dapat menyambutnya. Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia dapat pulang ke kampung halaman meraikan hari raya tahun ini dengan ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan.

14. Teruskan amalan ziarah menziarahi sepanjang Syawal ini bagi mengeratkan silaturahim di antara kita. Namun, dalam kemeriahan sambutan ini, pastikan kita terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun kelonggaran diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

15. Sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan positif, ia memberi kelegaan kepada semua sektor termasuk pelancongan yang merupakan antara sektor penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

16. Berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Malaysia pada 12 Mei 2022, Malaysia telah menerima kemasukan 604 , 457 warga asing sejak pintu sempadan antarabangsa dibuka semula pada 1 April lalu, di mana 93.8 peratus atau 567,025 orang daripada jumlah itu adalah pelancong.

17. Di awal pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, MOTAC telah menyasarkan kemasukan kira-kira dua (2) juta pelancong asing pada tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.

18. Sehubungan itu, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberikan manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan di bawah sektor pelancongan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Saya juga amat berbangga dengan pembangunan sektor pelancongan di negeri Terengganu yang terkenal dengan keunikan makanan serta kaya dengan budaya yang pastinya menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara.

20. Dengan pelbagai tarikan pelancongan yang unik, termasuk Jambatan Angkat yang pernah dinobatkan sebagai ikon pelancongan terbaik pada tahun 2019, saya yakin Kerajaan Negeri Terengganu mampu mencapai sasarannya untuk menarik seramai 3 juta pelancong dari dalam dan luar pada tahun ini.

21. Sepertimana kempen “Beautiful Terengganu” yang giat dipromosi Kerajaan Negeri, kita dapat lihat sendiri cantik- cantik belaka semuanya di negeri ini. Jadi mari lah kita pakat mari ke Terengganu – negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Saya pasti kita dapat bangkit semula untuk hidup aman dan harmoni dengan bekerja keras dalam meningkatkan ekonomi negara.

23. Usaha-usaha ini sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia.

24. Terima kasih diucapkan kepada MOTAC, Kerajaan negeri dan semua yang menjayakan MRTM pada malam ini, termasuklah rakan-rakan media yang membuat liputan bagi program yang gilang-gemilang ini.

25. Saya yakin tahun 2022 akan membawa sinar baharu kepada kita semua dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang demi melakar Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.

26. Sebelum saya akhiri ucapan ini, izinkan saya memberi serangkap pantun.

Mari Ganu makang ICT (Ikan Celup Tepung)
Di rumah terbuka aidilfitri
Bersame kite tingkatkan ekonomi
Agar hidup kembali berseghi

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.