Teks Ucapan Sempena Majlis Perhimpunan Dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERHIMPUNAN DAN PENYAMPAIAN IJAZAH PERINGKAT KEBANGSAAN KE-36 PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA
29 MEI 2022 | 10.00 PAGI
KOMPLEKS LINCAH MAHAGURU OMARDIN (KLMO)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

SALUTASI

1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama di Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia pada pagi ini.

2. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang dipimpin Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, selaku Mahaguru Muda bersama-sama ribuan guru silat yang gah berada pada hari ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Silat bukan sahaja mengajar ahli-ahlinya mengenai mempertahankan diri, tetapi lebih utama adalah untuk membina satu masyarakat yang memiliki ketahanan dalaman, jati diri, disiplin, pembentukan sahsiah tinggi dan melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air.

4. Sesungguhnya elemen-elemen ini adalah penting di dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi mencapai hasrat Keluarga Malaysia seperti yang digariskan.

5. Bagi merealisasikan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli silat di dalam memastikan kedaulatan dan kemakmuran negara dipertahankan, pertemuan seperti ini dapat memberi manfaat secara keseluruhannya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Silat memainkan peranan besar membantu Kerajaan menghindar belia dan beliawanis negara daripada gejala tidak sihat dengan melatih mereka dengan keperibadian yang baik, mulia, berikeyakinan diri, berdisplin dan patuh kepada pemimpin melalui latihan silat.

7. Justeru, Pertubuhan Silat berhasrat memperluaskan budaya silat menerusi pelbagai saluran untuk kakitangan awam dan swasta, institusi pengajian tinggi yang diyakini mampu membentuk remaja lebih berperibadi dan mempunyai nilai-nilai murni.

8. Silat juga menjadi jambatan budaya Melayu dengan dunia luar dengan ratusan ribu ahlinya di benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

9. Oleh itu silat perlu dipertahankan supaya satu daripada budaya persilatan yang telah bertapak sekian lama ini akan dapat dikekalkan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Program silat ini perlu diteruskan kerana ia simbolik kepada penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat bak kata perpatah Melayu “bersatu teguh bercerai roboh”, maka ia bakal mencipta satu sejarah gemilang masyarakat silat dan seni mempertahankan diri dalam menempuh cabaran dari dalam dan luar.

11. Kejayaan dan pengiktirafan yang diperoleh ini selama ini akan membuka laluan kepada kejayaan yang lebih besar kepada Seni Silat Lincah Malaysia pada masa akan datang. Oleh itu, ahlinya harus berada dalam keadaan bersedia bagi mengurus segala perjalanan persilatan di Malaysia.

12. Keharmonian dan keamanan negara harus dipertahankan kerana kejayaan kita ini juga bergantung kepada keadaan negara yang aman dan damai serta diurus tadbir dengan baik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Pesilat, sebagai benteng ketiga pertahanan negara boleh membantu kerajaan untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara yang sedang Keluarga Malaysia kecapi pada masa ini.

14. Bagaimanapun, semua kejayaan dan pencapaian negara tidak berlaku sekelip mata kerana ia hasil daya usaha generasi Keluarga Malaysia yang terdahulu yang seharusnya disambung oleh generai yang ada.

15. Kerajaan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk aktiviti silat yang merupakan entiti yang menjana modal insan dan intelektual serta bertindak sebagai agen perancang strategik masyarakat, di samping menjadi agen pelaksana kepada program-program berimpak positif.

16. Ilmu silat harus diinstitusikan sebagai wadah dan wacana perkembangan ilmu melalui strategi berlandaskan agenda pendidikan, warisan budaya dan kesukanan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Peranan yang dimainkan oleh silat begitu besar dan meluas. Daripada sudut budaya dan sukan, silat berupaya memperkenalkan identiti Malaysia ke serata dunia.

18. Kerajaan pula sudah memberinya pengiktirafan sebagai satu warisan kebangsaan pada tahun 2015. Pengiktirafan ini merupakan langkah awal Kerajaan dalam memastikan budaya ini tidak pupus, sebaliknya terus dipraktik dan diwarisi.

19. Bagaimanapun, meletakkan silat sebagai warisan sahaja tidak mecukupi tanpa ada usaha lain untuk mengekalkannya. Saya yakin Seni Silat Lincah Malaysia telah banyak menjalankan usaha bagi memastikan silat terus terpelihara.

20. Selain pengiktirafan silat sebagai salah satu seni bela diri rasmi negara, pengiktirafan terhadap perjuangan pesilat turut diberikan, contohnya perjuangan Allahyarham Mahaguru Tan Sri Omardin Mauju dalam seni silat negara.

21. Gelaran “Pendekar Negara” yang dianugerahkan kepada Allahyarham telah menaikkan imej silat itu sendiri. Sumbangan Allahyarham begitu besar dalam sejarah persilatan moden negara.

22. Diharapkan selepas beliau, akan lahir insan-insan yang akan diiktiraf oleh Kerajaan di dalam dunia persilatan.

23. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang hadir dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada saudara-saudara semua.

24. Saya mendoakan agar perhimpunan dan penganugerahan kali ini berjalan dengan baik dan lancar serta mencapai matlamatnya.

25. Saya juga berharap apa sahaja perbincangan yang dibincang dan keputusan yang diambil akan terus membawa Seni Silat Lincah Malaysia ke persada yang lebih tinggi dan mulia.

26. Demi masa depan silat negara juga, saya meneruskan cadangan Dato’ Sri Najib Razak dan Mahaguru Muda Datuk Wira Haji Megat Zulkarnain, iaitu pembinaan Kompleks Silat Negara. Saya percaya silat akan terus maju dan diperkenalkan di seluruh dunia.

27. Dengan hasrat tersebut dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah Peringkat Kebangsaan Ke-36 Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.