Teks Ucapan Sempena Hari Wartawan Nasional 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI WARTAWAN NASIONAL 2022
29 MEI 2022 (AHAD) | 2.30 PETANG

HOTEL HATTEN
DATARAN PAHLAWAN MELAKA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada petang ini bagi meraikan wartawan Malaysia yang menyambut Hari Wartawan Nasional 2022 atau HAWANA 2022.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang mengundang saya untuk bersama-sama wartawan dari pelbagai organisasi media di dalam dan luar negara bertujuan meraikan hari yang amat istimewa buat mereka.

3. Saya dimaklumkan majlis HAWANA 2022 ini turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan editor dari Negara ASEAN termasuk 15 pemimpin media utama dari Indonesia yang terdiri daripada Pemimpin Redaksi atau Ketua Pengarang serta pimpinan Ikatan Setiakawan

Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Indonesia. Selamat Datang saya ucapkan.

4. Kehadiran begitu ramai rakan media dari Indonesia membuktikan keakraban hubungan kedua-dua buah negara yang berperanan dalam mengharmonikan hubungan Malaysia dan Indonesia termasuk melibatkan isu-isu berkepentingan bersama.

5. Namun begitu, konsep Iswami ini perlu juga diperkembangkan merentasi negara anggota ASEAN lain kerana selain dapat mengeratkan hubungan wartawan Malaysia dengan wartawan negara-negara berkenaan, ia dapat membantu menggalakkan promosi mengenai Malaysia secara meluas dan dapat menarik lebih ramai pelancong serta pelabur luar ke Malaysia menerusi laporan berita dan penulisan rencana.

Warga Media Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Di Malaysia, bidang kewartawanan berkembang dengan luas sejajar dengan evolusi media di seluruh dunia. Kewartawanan bertapak di negara ini sejak 205 tahun lalu dengan kewartawanan sebelum merdeka mendukung dan menyebar luas aspirasi nasionalisme kepada seluruh masyarakat menerusi penulisan.

7. Kewartawanan pasca kemerdekaan pula menyaksikan lebih banyak akhbar diterbitkan seperti Berita Harian pada tahun 1957 dan akhbar berbahasa Inggeris The Star (1971).

8. Kemunculan kewartawanan penyiaran menerusi Radio, Televisyen Malaysia – RTM pada tahun 1963 dan stesen televisyen swasta pertama TV3 pada tahun 1984 menyemarakkan lagi dunia kewartawanan negara.

9. Kelahiran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia – BERNAMA pada tahun 1967 juga melakar sejarah sebagai agensi berita tunggal yang menyalurkan berita kepada organisasi media tempatan dan antarabangsa. Terkini, bidang kewartawanan berkembang pula melalui pelbagai portal secara dalam talian.

10. Saya berasa gembira dan berbesar hati kerana pengumuman saya pada tahun lepas berhubung persetujuan Kerajaan mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional, telah mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan wartawan dan organisasi media di Malaysia.

11. Syabas kepada BERNAMA , selaku agensi di bawah K- KOMM, kerana meneruskan inisiatif menggerakkan usaha penganjuran HAWANA 2022 dengan sokongan organisasi-organisasi media di negara ini.

12. Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka kerana sudi menjadi tuan rumah HAWANA 2022. Selain dapat memperkenalkan Melaka, sebuah bandar raya bersejarah berstatus Tapak Warisan Dunia UNESCO, tempat berlangsungnya HAWANA 2022 ini juga bertepatan dengan sejarah kewartawanan negara yang bermula di Melaka.

Warga Media Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Sebentar tadi kita diperdengarkan Deklarasi Melaka HAWANA 2022, Ia mencerminkan komitmen dan keseriusan golongan wartawan dalam membantu memperkukuhkan hubungan Keluarga Malaysia serta menjaga keharmonian negara menerusi profesionalisme kewartawanan itu sendiri.

14. Saya menyambut baik Deklarasi Melaka dan berharap semua wartawan dapat terus mendukung prinsip dan tanggungjawab yang berkaitan dengan etika dan profesionalisme bidang kewartawanan.

15. Saya akui bahawa profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.

16. Kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita yang adakala dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti bertindak menyalurkan bantuan untuk kesejahteraan keluarga Malaysia.

Warga Media Keluarga Malaysia yang dikasihi,

17. Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua kementerian dan agensi Kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia.

18. Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara.

19. Menjadi harapan Kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

20. Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media.

Warga Media Keluarga Malaysia yang dikasihi

21. Bertepatan dengan tema ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara”, HAWANA 2022 turut menonjolkan peranan wartawan sebagai penyebar suara Keluarga Malaysia dalam pembangunan negara bangsa. Kita sedar golongan wartawan melaksanakan fungsi mediasebagai estet keempat bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan agenda pembangunan negara.

22. Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk Keluarga Malaysia. Ini termasuklah teguran bernas dan berasas merekasupaya Kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat dan konsep Keluarga Malaysia.

23. Wartawan dianggap golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi yang segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea yang bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi.

Warga Media Keluarga Malaysia yang dikasihi,

24. Industri kewartawanan tidak terkecuali daripada terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga ada organisasi media yang terpaksa memberhentikan pekerja, mengecilkan operasi atau ditutup.

25. Kerajaan tampil menawarkan bantuan untuk mengurangkan beban mereka menerusi Pelan Pemulihan Media di bawah inisiatif PEMULIH yang digerakkan Kementerian Kewangan dan K KOMM.

26. Semua kementerian dan agensi Kerajaan, juga mempunyai pelan masing-masing untuk sama-sama membantu pihak media yang banyak berjasa menyalurkan maklumat mengenai program-programdan bahan promosi yang diatur untuk sebaran umum.

Warga Media Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Bidang kewartawanan tidak terkecuali dilanda cabaran lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi semasa apabila ledakan teknologi digital turut ‘melahirkan’ ramai ‘wartawan segera’, menyebabkan berleluasanya berita palsu atau berita tidak benar dalam talian sehingga mengganggu-gugat proses pembangunan negara.

28. Saya berharap organisasi media dan wartawan dapat membantu menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan ‘wartawan segera’ supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian. Wartawan di Malaysia perlu bersatu dan memainkan peranan ke arah penyaluran maklumat yang benar dan sahih sebagai cara menangani isu berita palsu yang berleluasa.

29. Bagi mengangkat kewartawanan sebagai profesion yang mulia dan dihormati, bakal wartawan perlu mendapat secukupnya latihan formal dalam membentukkepakaran, tanggungjawab dan integriti. Wartawan yangdilatih akan mempunyai integriti, mendukung etika sertaberobjektif dalam menghasilkan laporan mereka untuk masyarakat.

30. Sebab itulah, saya melihat pentingnya wartawan mendukung etika kewartawanan kerana sebagai golongan yang berpengaruh, wartawan perlu mempunyai etika profesion yang dijadikan peraturan dan panduan dalam menjalankan tugas dengan berdisiplin dan bertanggungjawab ke arah memartabatkan profesionalisme kewartawanan negara.

31. Justeru, tiba masa golongan wartawan perlu bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang mewakili media cetak, media elektronik dan media Internet di Malaysia bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara, profesion kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan dijamin. Bolehlah persatuan ini dinamakan Persatuan Wartawan Malaysia.

Warga Media Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara, saya suka menyarankan supaya satu inisiatif dimulakan ke arah menubuhkan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia.

33. Pusat kajian ini boleh mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia. Ia juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.

34. Saya berharap pusat tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan di Malaysia dan juga di Nusantara.

35. Bagi tujuan ini, amat sesuai jika Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia itu diwujudkan di Melaka, dengan mengambil kira sejarah tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan.

Warga Media Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

36. Pada hari ini, sukacita saya umumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM 1 juta kepada ISWAMI untuk melaksanakan aktiviti-aktivitinya bagi mengukuhkan hubungan media Malaysia-Indonesia serta negara-negara jiran lain yang sudah terjalin sekian lama.

37. Media Malaysia dan Indonesia perlu berperanan lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

38. Diharapkan, dengan peruntukan ini, ISWAMI dapat merancang program kerjasama media kedua-dua negara seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar yang berupaya meningkatkan ilmu para pengamal media, selain menjadi jambatan dalam isu-isu berkepentingan bersama.

39. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua wartawan dan terima kasih atas peranan dan sumbangan anda dalam bidang kewartawanan ke arah pembentukan negara bangsa.

40. Akhir kata, tahniah kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran sambutan HAWANA 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.