Kenyataan Media – Kerajaan Tegas Tangani Isu Bekalan Dan Harga Ayam

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERAJAAN TEGAS TANGANI ISU BEKALAN DAN HARGA AYAM


Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.

Pihak Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilo dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, pihak Kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan Kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini seperti:

i. Menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil (Keutamaan Kerajaan adalah Rakyat sendiri)

ii. Mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi

iii. Memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan

iv. Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam

v. Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam

Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Pada masa yang sama, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga. Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini.

Mesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam. Mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan Negeri, agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang. MAFI dan KPDNHEP telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya.

Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi Kerajaan, Pertubuhan Peladang, dan Koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam. Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP.

Peguam Negara juga dipanggil pada Mesyuarat Kabinet pada hari ini dan telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam. Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

Kerajaan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) yang memperuntukkan penalti bagi:-

i. individu – didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun (atau kedua-dua sekali)

ii. perbadanan/syarikat – didenda tidak melebihi RM2 juta ringgit

Sementara itu, susulan daripada pengumuman saya sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, Kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan. Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia.

Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
23 Mei 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.