Kenyataan Media Berkaitan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan (Cloud) Pemacu Tranformasi Digital Sektor Awam

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


PERKHIDMATAN PENGKOMPUTERAN AWAN (CLOUD) PEMACU TRANFORMASI DIGITAL SEKTOR AWAM


Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) telah dinaikkan taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD) khusus untuk kegunaan seluruh agensi Kerajaan.

Sehubungan itu, Kerajaan memperkenalkan perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud yang menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Inisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima (5) di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak.

Hasil penilaian ini, Kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.

Bagi memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework Agreement (CFA) telah dimeterai antara Kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).

Kontrak CFA bersama-sama Kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd.

Penglibatan CSP dan MSP ini dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

Pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP. Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

Melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

Secara keseluruhan, perjanjian CFA ini merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan.

Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia.


#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
9 MEI 2022

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.