Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran ePemula

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN ePEMULA

15 APRIL 2022 | 3.00 PETANG UNIVERSITI MULTIMEDIA, CYBERJAYA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita semua dapat bersama-sama di Universiti Multimedia, Cyberjaya pada Majlis Pelancaran inisiatif ePemula bagi manfaat saudara dan saudari; anak- anak muda Keluarga Malaysia.

2. Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah mengubah sepenuhnya kehidupan harian kita. Namun begitu, walaupun kita ditimpa musibah, di sebaliknya juga ada banyak hikmah buat semua.

3. Mereka yang sebelum ini kehilangan pekerjaan, kini mencari alternatif, tidak kurang juga rancak menambah pendapatan melalui perniagaan secara dalam talian. Ini secara langsung meningkatkan kadar transaksi tanpa tunai dan tanpa sentuh (cashless & contactless).

4. Pada masa ini, semakin ramai usahawan dan para peniaga, termasuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana atau PMKS bertransaksi secara e-tunai. Pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e- dompet.

5. Ini jelas terbukti apabila transaksi e-tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2021, berbanding RM29.6 bilion pada tahun 2020.

6. Kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

7. Bagi merealisasikan “Kewangan Untuk Semua” seperti mana dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, pelbagai inisiatif utama di bawah Bajet 2022 bakal menyemarakkan usaha digitalisasi dalam kalangan Keluarga Malaysia.

8. Saya menyarankan kesemua usahawan, khasnya PMKS supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke Endemik untuk membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

9. Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Peranan belia amat penting kepada negara. Jatuh bangunnya negara ini terletak pada tangan-tangan anak muda. Sehubungan itu, semua dasar Kerajaan turut mengambil kira pembangunan belia yang bakal menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan.

11. Belia perlu diberi peluang untuk sama-sama mencorak masa depan Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara.

12. Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkatkan bagi melahirkan pekerja mahir. Semangat patriotik dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk.

13. Sehubungan itu, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi program dan aktiviti belia.

14. Buat masa ini, melalui Bajet 2022, secara keseluruhan, sekurang-kurangnya RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan golongan belia, termasuk:

a. Pertama, inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi melibatkan kos RM450 juta. Ia akan diagih mulai Jun ini dan dijamin berkualiti tinggi dari jenama terkenal, bakal memanfaatkan kira-kira 350,000 mahasiswa yang mengikuti pengajian seperti diploma dan Ijazah Sarjana Muda, bagi membantu mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya.

b. Kedua, majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun, diberikan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan; iaitu meningkat berbanding RM800 sebelum ini. Ini membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan.

c. Ketiga, bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, Kerajaan menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta khusus untuk belia melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

15. Pada masa yang sama, Kerajaan sedar, generasi muda dan teknologi digital juga sememangnya saling berkait rapat. Hampir semua golongan belia hari ini menggunakan teknologi digital sebagai gaya hidup.

16. Ini termasuk untuk berinteraksi sesama rakan, menimba ilmu pengetahuan, atau melakukan transaksi kewangan tanpa tunai. Dikenali sebagai “digital natives”, golongan belia memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda digitalisasi di Malaysia.

17. Sehubungan itu, program ePemula di bawah Bajet 2022 yang dilancarkan hari ini juga merupakan salah satu insentif untuk golongan belia. Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini dan dijangka memanfaatkan seramai 2 juta orang belia seluruh negara.

18. Tujuan utama program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan saudara-saudari Keluarga Malaysia.

19. Proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit ini telah pun dibuka beberapa hari lalu, iaitu pada 11 April. Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam e- dompet pilihan mereka, iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.

20. Saya difahamkan keempat-empat penyedia e-dompet ini juga memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, mata terkumpul, diskaun dan banyak lagi manfaat menarik sepanjang tempoh program ini.

21. Kerajaan berharap melalui ePemula, golongan belia yang layak akan berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 tersebut untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara offline agar mereka dapat pulih sepenuhnya.

22. Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat, terutamanya golongan B40, yang boleh dibantu.

23. Secara keseluruhan, Kerajaan yakin bahawa program seperti ePemula ini akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan, InsyaAllah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini. Saya dimaklumkan ada yang datang dari universiti awam dan swasta, juga politeknik dan kolej komuniti. Ada yang dari Pantai Timur, utara dan selatan, malah ada juga pelajar dari Sarawak. Tidak dilupakan juga pelajar dari Lembah Klang, termasuk tuan rumah Universiti Multimedia.

25. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang turut sama-sama menjayakan inisiatif ePemula.

26. Saya berharap, kerjasama awam-swasta seperti ini dapat diteruskan bagi membolehkan segala program yang direncana benar-benar mencapai matlamat dan memberi manfaat optimum kepada seluruh Keluarga Malaysia.

27. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, melancarkan Program ePemula.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.