Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN RANGKA TINDAKAN KEUSAHAWANAN SOSIAL 2030 (SEMy2030)

23 APRIL 2022 | 11.00 PAGI LALAPORT BUKIT BINTANG CITY CENTER,
KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan kurnia- Nya dapat saya menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 (disebut ‘semai 2030’) pada hari ini.

2. Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri, Tan Sri Noh bin Haji Omar dan seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kerana menyediakan rangka tindakan dasar yang penting ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Keusahawanan sosial berperanan meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan Kerajaan.

4. Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak.

5. Keusahawanan sosial mula bertapak di Malaysia sejak 1922 apabila Enakmen Syarikat Bekerjasama-sama 1922 diwartakan sebelum digantikan dengan Akta Koperasi 1948.

6. Berbeza dengan sektor koperasi dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), perkembangan keusahawanan sosial di Malaysia masih di peringkat awal, dan banyak elemen penting termasuk kerangka kawal selia, infrastruktur kewangan dan jaringan keselamatan kewangan masih belum tersedia.

7. Konsep penjanaan impak melalui aktiviti keusahawanan sosial kini mendapat perhatian dan diiktiraf sebagai elemen penting dalam menangani permasalahan sosioekonomi semasa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Di sebalik pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi keusahawanan sosial negara, Malaysia berpotensi besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan.

9. Dengan bantuan dan sokongan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di Malaysia telah mencapai kejayaan sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan sosioekonomi negara.

10. Contohnya, “Helping Hands Penan Shop”, telah berjaya memperkasakan kaum wanita Penan dengan memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui penghasilan pelbagai produk kraftangan.

11. MyMedikal Healthcare pula menawarkan perkhidmatan kepada golongan kurang bernasib baik yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan termasuk di Sabah.

12. Kerajaan menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara. Sehubungan itu, sebuah dasar dan objektif nasional jangka panjang perlu diwujudkan.

13. Perusahaan sosial hendaklah terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 (disebut ‘semai 2030’) yang dibangunkan oleh KUSKOP menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.

15. SEMy2030 (disebut ‘semai 2030’) menggariskan lima objektif yang sejajar dengan aspirasi, strategi dan inisiatif yang ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

16. Bagi memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 (disebut ‘semai 2030’) telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif.

17. Tumpuan Rangka Tindakan termasuklah membangunkan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial di Malaysia mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta.

18. Selain itu, usaha bersepadu akan diambil untuk memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyelarasan serta pemantauan dan pengukuran impak program pembangunan keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

19. Ini merupakan asas untuk membangunkan sebuah ekosistem yang komprehensif dan kondusif dalam menyokong pertumbuhan keusahawanan sosial di Malaysia.

20. Pelan ini turut menggariskan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran, jangkauan dan pembudayaan konsep keusahawanan sosial yang berdaya maju dan memberi impak positif kepada peningkatan kehidupan masyarakat.

21. Bagi memastikan perusahaan sosial mampu berkembang dan lebih berdaya saing, SEMy 2030 (disebut ‘semai 2030’) turut menggariskan strategi bersasar untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial.

22. Ini termasuklah penyediaan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

23. SEMy2030 (disebut ‘semai 2030’) turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri-ciri perusahaan sosial di peringkat global.

24. Di samping itu, Kerajaan melalui KUSKOP akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada supaya mendapatkan akses lebih luas terhadap bantuan dan peluang berkembang maju ke hadapan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Saya yakin bahawa keusahawanan sosial adalah pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan sosioekonomi dalam kalangan Keluarga Malaysia serta menjamin kemapanan alam sekitar.

26. Sehubungan itu, semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial terutamanya agensi awam dan swasta, para pelabur impak sosial serta badan-badan korporat diseru agar memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan.

27. Saya juga mengharapkan lebih ramai generasi muda terutamanya golongan belia serta graduan sebagai golongan pelapis, turut menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan keusahawanan sosial di Malaysia.

28. Harapan saya, menjelang 2030, perusahaan sosial akan diiktiraf sebagai penyumbang penting dalam membangunkan Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

29. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada KUSKOP serta seluruh jawatankuasa atas kejayaan menganjurkan majlis ini.

30. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, melancarkan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy 2030 (disebut sebagai ‘semai 2030’).

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.