Kenyataan Media Berkaitan Tol Percuma Dan Diskaun Tol Sehingga 50 Peratus Sempena Perayaan Aidilfitri

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


TOL PERCUMA DAN DISKAUN TOL SEHINGGA 50 PERATUS SEMPENA PERAYAAN AIDILFITRI


Selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April 2022 dan sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei 2022, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.

Langkah ini dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya. Secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun ini melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta. Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.

Pemberian tol percuma melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara – selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan lebuh raya pantai timur (LPT).

Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara – Selatan dan LPT juga akan diberikan juga untuk pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11:59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

Maklumat lanjut mengenai lebuh raya yang terlibat serta kadar diskaun tol yang ditawarkan adalah seperti di LAMPIRAN 1.

Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama- sama orang tersayang.

Keputusan Kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini.

Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
25 April 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.