Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Majlis Sains Negara 2022

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MERAKYATKAN SAINS, MENGINSANKAN TEKNOLOGI


Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun 2022 pada 8 April 2022 telah membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Mesyuarat tersebut antaranya membincangkan tentang Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri. Ini adalah selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.

Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, pranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara.

Dalam tempoh lima tahun, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara akan memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968), separuh mahir (24,755), dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang. Industri ini dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, mesyuarat juga telah membincangkan penawaran (modal insan) dan permintaan (pasaran pekerjaan) dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.

Kerajaan memandang serius jumlah pelajar-pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus, dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Minat para pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM.

Mesyuarat turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).

Usaha MOSTI ini adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi. Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi.

Kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju menambah baik struktur tadbir urus inisiatif NTIS menerusi :

i. Jawatankuasa Task Force NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS.
ii. Majlis NTIS dimansuhkan dan digantikan pelaporan kepada NSC. Pelaporan NTIS dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada memandangkan NSC turut dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.
iii. Jawatankuasa Task Force NTIS yang baharu diwujudkan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI.

Mesyuarat juga mengambil maklum akan hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim.

Pandemik COVID-19 yang merupakan salah satu penyakit zoonotik telah mengakibatkan 6.11 juta kematian di dunia dan terdapat penyakit-penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam.

Bagi memastikan Malaysia selangkah di hadapan dalam menangani isu ini secara holistik, mesyuarat juga bersetuju agar MOSTI menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN).

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
9 APRIL 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.