Kenyataan Media Berkaitan Majlis Kewangan Negara 2022 : Menambahbaik Pemberian Negeri

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MAJLIS KEWANGAN NEGARA 2022: MENAMBAHBAIK PEMBERIAN NEGERI


Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri oleh Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri.

Melalui Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini, Kerajaan Persekutuan telah menambahbaik Pemberian dan sokongan kepada negeri untuk tahun 2022, di antaranya seperti berikut:

i. Kerajaan Negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.

Ia bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lepas.

ii. Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS.

iii. Meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (Ecological Fiscal Transfer – EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Insentif kewangan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, Kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan.

iv. Caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

v. Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP.

Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

Langkah ini bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada Kerajaan Negeri pada setiap tahun.

Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian- pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
26 April 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.