Usaha Kerajaan Dalam Memperkasa dan Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Urusan Diplomatik Luar Negara dan Hubungan Antarabangsa

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA 2022, PENGGAL KELIMA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : SENATOR DATO’ ISA BIN AB. HAMID

TARIKH : 23 MAC 2022 (RABU)

SOALAN :

Dato’ Isa bin Ab. Hamid minta PERDANA MENTERI menyatakan usaha Kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

JAWAPAN:

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,

1. Izinkan saya menjawab pertanyaan ini bersekali dengan pertanyaan yang dikemukakan oleh YB Senator Dato’ Sri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu bertarikh 24 Mac 2022, kerana pertanyaan-pertanyaan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu mengenai usaha Kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik negara.

2. Bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN. Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

3. Pada masa ini, hanya 4 daripada 10 buah negara ASEAN yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa. Manakala, 6 buah negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan. Justeru, saya berkeyakinan bahawa suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN. Perkara ini mungkin boleh dibincangkan dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan.

4. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, saya telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu untuk rujukan saya apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara. Sebagai langkah awal dalam memartabatkan bahasa Melayu, saya sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa Lawatan Rasmi saya ke Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini. Terkini, semasa lawatan ke Vietnam pada 2 hari lepas, saya juga turut menggunakan bahasa Melayu.

5. Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

6. Oleh yang demikian, usaha ini akan diteruskan dalam mana- mana pertemuan/mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, ingin saya maklumkan juga bahawa Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) sebagai langkah memartabatkan Bahasa Melayu, sekaligus menjadikan ia sebagai bahasa ilmu. Pindaan ini akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada Daerah, Negeri mahupun Persekutuan. Saya dapati, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

8. Dari aspek pendidikan tinggi pula, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah bersetuju supaya pelajar asing akan diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila mereka mendaftar di universiti di negara ini. Secara tidak langsung, mereka ini akan ‘membawa balik’ Bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing setelah tamat pengajian kelak.

Sekian, terima kasih.

MAKLUMAT TAMBAHAN OLEH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)

1. Malaysia akan mengambil langkah yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa. Begitu juga, untuk acara antarabangsa yang dianjurkan di dalam negara, bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa utama. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah yang akan dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), agensi di bawah KPM.

2. Pindaan Akta DBP akan dilaksanakan segera dan untuk tujuan ini KPM akan memulakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

MAKLUMAT TAMBAHAN DARIPADA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

1. Kerajaan dan negara kita telah mempunyai asas dan dasar yang jelas tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996, Akta DBP 1959 dan beberapa peraturan lain. Penegasan saya tentang peningkatan penggunaan bahasa Melayu bukan penetspan dasar baharu, sebaliknya untuk “peningkatan”, “peluasan”, “penguatkuasaan” dan “kesinambungan” daripada kejayaan yang telah kita capai sejak kemerdekaan.

2. Di peringkat negara, aspek penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran dapat ditingkatkan dengan pindaan Akta DBP, khasnya untuk membolehkan DBP mempunyai suara dan kuasa undang-undang. Berkaitan dengan itu, program Audit Bahasa Melayu yang mula dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2013 telah menunjukkan kesan yang baik dan perlu diluaskan dalam sektor pihak berkuasa awam atau agensi, GLC, IPT dan kemudian swasta.

3. Untuk sektor pendidikan, rancangan perlu dibuat untuk memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai sistem arus perdana yang berdasarkan penggunaan bahasa kebangsaan. Program yang mengurangkan peranan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan sweetie Dual Language Programme perlu disemak semula.

4. Di IPT, dasar pengutamaan bahasa Melayu dalam perkuliahan perlu ditingkatkan semula.

(a) Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi yang digerakkan oleh oleh KPT perlu dipastikan keberkesanannya agar bahasa Melayu mampu menjadi ilmu segala bidang dan penghayaan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan dapat dicapai; dan
(b) Bahasa Melayu dijadikan kursus wajib bagi pelajar antarabangsa dan perlu dirancang pelaksanaan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) yang pada satu masa menyamai TOEFL, IELTS dll. Saya difahamkan, DBP, UPSI dan Majlis Peperiksaan Malaysia telah mula mengerakkannya tetapi perlu langkah itu dilaksanakan dengan meluas oleh semua IPT.

5. Program Diplomasi Kebudayaan Kementerian Luar Negara yang turut mengembangkan bahasa Melayu perlu:

(a) melaksanakan Pekeliling JPA Bil.9, 2911 dan Pekeliling Bil.1, 2020 yang menganjurkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kerajaan ke luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran;
(b) meluaskan kursus bahasa,budaya dan warisan negara di kedutaan untuk keluarga kakitangan dan juga masyarakat setempat seperti yang telah dimulakan di beberapa kedutaan;
(c) KLN perlu menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara;
(d) Kursus intensif terjemahan dan interpretasi diperbanyak untuk melahirkan ahli terjemah dan jurubahasa yang diperlukan di forum antarabangsa, khasnya bahasa Melayu ke bahasa- bahasa utama Dunia; dan
(e) Kerjasama diperlukan daripada MOTAC, MITI dan agensi- agensi lain.

MKLUMAT TAMBAHAN DARIPADA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA)

1. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) juga memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

2. Dalam usaha memastikan penggunaan bahasa kebangsaan sewajarnya dalam perkhidmatan awam, Kerajaan telah memperkenalkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam dengan tujuan untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi urusan rasmi dalam perkhidmatan awam.

3. Dalam hal ini, semua urusan dan perjalanan pentadbiran perlulah dijalankan dalam bahasa kebangsaan, termasuklah perkhidmatan kaunter, pengiklanan kekosongan jawatan Perkhidmatan Awam, maklum balas aduan dan isu dalam media massa, surat dalam negara, dokumen perjanjian dalam negara, urusan melibatkan kehadiran warganegara, dan penganjuran majlis rasmi melibatkan kehadiran warganegara Malaysia. Namun, dokumen terjemahan Bahasa Inggeris boleh disediakan dengan dokumen rasmi yang disediakan dalam Bahasa Kebangsaan, manakala penggunaan Bahasa Inggeris adalah dibenarkan bersekali dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan apabila terdapat majlis rasmi yang melibatkan kehadiran bukan warganegara Malaysia. Pegawai Khidmat Pelanggan boleh menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan yang difahami oleh pelanggan berkenaan.

4. Ini bermakna urusan Kerajaan dalam urusan luar negara, urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa, dan juga urusan diplomatik negara terutamanya dalam kalangan negara- negara ASEAN dan Asia, boleh menggunakan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris.

5. Dalam penganjuran acara melibatkan Kementerian dan agensi Kerajaan di dalam negara pada waktu ini, Ketua Jabatan dan pegawai awam perlulah mematuhi pekeliling ini dan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi ke arah memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

6. Antara usaha memartabatkan bahasa kebangsaan yang boleh dilaksanakan termasuklah pembangunan modal Insan Berteraskan Bahasa Kebangsaan seperti pentauliahan dan pelantikan Munsyi Muda Bahasa, pengauditan Bahasa Kebangsaan dan pengiktirafan dan penghargaan kepada pegawai dan agensi kerajaan yang komited memperkasakan bahasa kebangsaan.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.