Teks Ucapan Sempena Sambutan Hari Wanita 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI WANITA 2022

TARIKH:
08 MAC 2022 (SELASA)

MASA
8.30 MALAM

TEMPAT:
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.


1. Alhamdullilah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita berhimpun di Kuala Lumpur Convention Centre pada malam ini untuk meraikan Majlis Sambutan Hari Wanita 2022.

2. Pertama sekali, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, khususnya Jabatan Pembangunan Wanita kerana berjaya menganjurkan sambutan ini.

3. Sesungguhnya peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.

4. Malah, tiada siapa dapat menyangkal betapa pentingnya peranan golongan wanita dalam mengait dan menyulam kisah kejayaan sesebuah keluarga mahupun negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Komitmen, kesabaran dan kecekalan wanita – sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak dan sebagai seorang warga Malaysia yang berjiwa besar – memberikan inspirasi buat semua.

6. Justeru, mewakili Keluarga Malaysia, marilah kita memberikan satu tepukan gemuruh sebagai penghargaan kepada semua wanita dalam hidup kita, atas jasa-jasa dan pengorbanan mereka!

7. Saya amat berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia yang semakin hari semakin ramai bilangannya yang mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

8. Berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan. Namun begitu, kita tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana keterlibatan wanita dalam bidang ekonomi dan politik masih lagi rendah.

9. Dalam bidang ekonomi dan pekerjaan misalnya, kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan masih rendah iaitu 55.6 peratus berbanding lelaki iaitu 80.8 peratus. Di Australia dan Singapura misalnya, lebih ramai wanita terlibat dalam pasaran buruh, iaitu masing-masing 73.8 peratus dan 69.7 peratus.

10. Selain itu, daripada setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM94.07. Jurang ini semakin meningkat terutama dalam kalangan wanita B40, kesan daripada pandemik COVID-19.

11. Kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu sebanyak 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang pada tempoh yang sama tahun 2020.

12. Situasi ini begitu membimbangkan serta memberi tekanan amat besar kepada kehidupan wanita terutama mereka yang mengetuai isi rumah, apabila terpaksa mengimbangi dwiperanan mengurus rumah tangga dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk seisi keluarga.

13. Seterusnya, jurang gender yang ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh. Ini kerana ramai wanita di Malaysia yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

14. Saya percaya penglibatan wanita dalam organisasi-organisasi pentadbiran di pelbagai peringkat, boleh membawa perubahan yang besar kepada dasar-dasar dan undang- undang serta menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara,

15. Menyedari hakikat itu, kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan yang secara langsung dan tidak langsung, memberi manfaat kepada golongan wanita.

17. Bagi membantu usahawan wanita, sebanyak RM230 juta dana pembiayaan telah disediakan melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN. Selain itu, Program MyKasih Kapital yang dilaksanakan oleh kerajaan turut memperuntukkan insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan bagi menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

18. Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawan.

19. Dalam usaha mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

20. Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

21. Menyedari kepentingan aspek keselamatan dan perlindungan sosial terhadap wanita, terutama yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan, kerajaan mengambil inisiatif menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat, serta memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku jenayah terhadap wanita diambil tindakan yang tegas dan pantas.

22. Selain itu, program kesedaran komuniti bagi menangani isu keganasan terhadap wanita turut dilaksanakan melalui Skuad Waja.

23. Bagi memastikan kesihatan wanita terus terpelihara, kerajaan juga memperuntukkan lebih RM11 juta sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko t inggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.

24. Tidak dilupakan juga remaja wanita turut mendapat perhatian daripada kerajaan yang mana kit asas kebersihan diri diedarkan secara percuma kepada 130 ribu remaja wanita golongan B40 setiap bulan sepanjang tahun 2022.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Saya percaya bahawa agenda memperkasa wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja.

26. Dalam hal ini, saya ingin memuji peranan serta inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam membantu membangun, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

27. Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, sukacita saya mengumumkan inisiatif-inisiatif seperti berikut:

Pertama: Penubuhan Majlis Wanita Negara 

Kedua: Pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual 

Ketiga: Bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam
di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi.

Hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian di kalangan pasangan Islam. Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai.

Keempat: Berhubung dengan perceraian juga, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di Mahkamah. Kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Kelima: Memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh Wanita yang kematian suami, Ketua Jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan Wanita tersebut untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Keenam: Sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Pemerkasaan wanita akan terus menjadi salah satu agenda penting negara. Hal ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemegang taruh bagi menjayakannya.

29. Justeru, saya menyeru agar perspektif wanita sentiasa diambil kira dalam penggubalan dasar dan perancangan program bagi memastikan wanita mendapat ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara.

30. Sebelum mengakhiri ucapan, terimalah balasan pantun daripada saya yang berbunyi seperti berikut:

Seri permata tinta sulaman,
Warna ceria mengikut tema,
Hari Wanita kita raikan,
Keluarga Malaysia Saksama Bersama.

31. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya merasmikan Sambutan Hari Wanita 2022.

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.