Teks Ucapan Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia – Perlis

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI
SEMPENA
JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA
25 MAC 2022 | 3.00 PETANG
KOMPLEKS SUKAN TUANKU SYED PUTRA ,
KANGAR, PERLIS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya bersama-sama dengan Keluarga Malaysia di Perlis bagi meneruskan Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada hari ini.

2. Aspirasi Keluarga Malaysia telah dirasmikan di ibu negara akhir tahun lepas dan Kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan siri jelajah di peringkat negeri bermula dengan Johor awal bulan ini dan Perlis hari ini.

3. Seperti siri jelajah pertama, pelbagai program telah disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘ K e b e r s a m a a n ’ ( C o m m o n G r o u n d ) d a n ‘Kesyukuran’ (Contentment).

4. Saya yakin setiap lapisan masyarakat sudah sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya ialah menyatu-padukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis ini bertujuan untuk meningkatkan usaha penyebar-luasan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati oleh semua.

6. Sejak Oktober 2021, Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia dengan kekuatan 10 , 000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

7. Di sini saya menyeru agar lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri sebagai ahli Skuad Keluarga Malaysia melalui laman web Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Kerajaan komited dalam memperkasakan pendapatan Kumpulan Sasar melalui Program Meningkatkan Taraf Hidup Golongan B40 dalam kalangan Masyarakat Pertanian Agro- makanan.

9. Menerusi program ini pelbagai jenis bantuan telah diagihkan kepada 39,171 orang penerima dengan peruntukan RM 109.7 juta.

10. Manakala 1,300 pesawah telah mendapat manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi tujuan meningkatkan produktiviti penanaman padi.

11. Kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan dan permintaan Keluarga Malaysia dan keputusan terkini yang dilaksanakan atas kehendak ramai ialah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Pada hari yang berbahagia ini suka saya umumkan tiga perkara penting dan khabar gembira untuk Keluarga Malaysia.

13. Pertama, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar.

14. Di bawah skim ini, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM 50 setahun. Ini melibatkan kos sebanyak RM 13.4 juta.

15. Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM 10,000, keilatan kekal RM 10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM 20,000.

16. Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM 30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih.

17. Kedua , mulai 1 April, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, dan keputusan Kerajaan ini amat tepat pada masanya , lebih – lebih lagi menjelang Ramadan.

18. Ini membolehkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal.

19. Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai – gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh.

20. Walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka atau mask di samping penjagaan kebersihan diri.

21. Justeru, Bagi memastikan SOP dan Garis Panduan (GP) masih terjaga, saya melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawan. Matlamatnya ialah membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.

22. Duta Komuniti ini akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup.

23. Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan
bersopan – santun apabila membuat teguran.

24. Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

25. Ketiga, berita gembira untuk penduduk utara di Perlis dan Kedah. Mulai 1 April ini Thailand bersetuju membuka pintu sempadan darat di Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah). Saya juga sudah meminta Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin untuk berbincang dengan Kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan di Padang Besar dan kawasan-kawasan lain di utara.

26. Semalam, saya telah mengumumkan pembukaan sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura melalui udara, darat dan air. Laluan untuk pekerja yang berulang alik secara harian juga telah dibuka dan dipermudahkan dengan pemansuhan kuarantin dan tidak perlu menjalani ujian PCR atau RTK pada pra pelepasan dan ketibaan.

27. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemuilihan negara yang memberi impak positif ke atas kelestarian ekonomi dan kesejahteraan kehidupan Keluarga Malaysia.

28. Saya turut dimaklumkan oleh Menteri Besar Perlis bahawa keadaan di Jeti Kuala Perlis sekarang semakin cetek air, Kerajaan Perlis ingin membuat kajian kemungkinan bagi pembinaan jeti baharu Kuala Perlis. Untuk kajian kemungkinan tersebut, kerajaan perlis memerlukan RM5 juta dan pada hari ini saya meluluskan RM5 juta untuk tujuan tersebut. InnsyaAllah, saya harap selepas kajian ini selesai warga Perlis akan mendapat jeti baharu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Akhir kata, setinggi -tinggi ucapan terima kasih kepada warga Perlis atas kerjasama dan sambutan yang menggalakkan ini.

29. Saya juga mendoakan agar YAB Dato’ Seri Azlan Man dan kerajaan negeri beroleh kejayaan dalam mentadbir negeri yang terkenal dengan buah mangga Harumanis.

30. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.