Teks Ucapan Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Johor

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

5 MAC 2022 (SABTU)
MASA: 2.30 PETANG TEMPAT: DATARAN ANGSANA
JOHOR BAHRU MALL


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu program kembara ke seluruh negara dan Johor ialah negeri pertama untuk mengadakannya program di luar Kuala Lumpur.

2. Menerusi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, kementerian- kementerian melalui agensi disaran melakukan penglibatan (engagement) seperti menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di peringkat negeri sebulan sebelum hari jelajah yang dirancang. Hasil atau pencapaiannya kemudian dinyatakan semasa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang dijadualkan di negeri berkenaan.

3. Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi Kerajaan Persekutuan menerusi perkhidmatan kaunter bergerak yang disediakan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Kejayaan pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial yang sedang kita kecapi adalah hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sentiasa berganding bahu menyalurkan keperluan Keluarga Malaysia supaya tiada sesiapapun yang tertinggal, seterusnya menangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

5. Pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia dan Kerajaan tidak pernah alpa dalam menyediakan bantuan daripada segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan.

6. Kerajaan telah melancarkan program Baucar Perlindungan Tenang bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli atau memperbaharui pelan perlindungan daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen. Kementerian Kewangan menyasarkan seramai 500,000 penerima akan mendapat manfaat ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Kerajaan menyedari Keluarga Malaysia memerlukan rumah mampu milik, dan melalui inisiatif Satu Keluarga Satu Rumah, kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan swasta menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah yang berkualiti sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12).

8. Subsidi akan diberikan oleh kerajaan Persekutuan sementara kerajaan negeri menyediakan tanah dan institusi kewangan membantu memudahkan pembiayaan bagi membolehkan Keluarga Malaysia memiliki rumah dengan harga berpatutan.

9. Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meyiapkan 4,348 buah Rumah Mampu Milik (RMM) tahun lepas dan menyasarkan pembinaan 1,563 buah rumah di Johor sahaja untuk tahun ini.

10. Kerajaan juga komited meningkatkan kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar dengan melaksanakan inisiatif penyediaan 5G runcit bagi memudahkan akses yang lebih pantas dan berkualiti serta dapat mempertingkat kualiti perkhidmatan Internet dalam bangunan bagi membantu komunikasi secara dalam talian.

11. Bagi memperhebatkan kualiti perkhidmatan internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengambil inisiatif memantau kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara dalam tempoh enam bulan dan projek rintis ini akan dimulakan di Johor melibatkan 3,000 lokasi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat, terjamin dan berkesan serta menjadikan perkhidmatan bas sebagai mode pengangkutan pilihan, Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang melaksanakan program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun.

13. Di bawah program SBST, Kerajaan telah memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS. Sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai bulan ini melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian dengan jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.

14. Bagi kenderaan persendirian pula, Kerajaan menawarkan subsidi rebat 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk golongan B40.

15. Kementerian Pengangkutan juga telah melancarkan inisiatif Pembangunan dan Pelancaran Garis Panduan Pengujian Kenderaan Berautonomi (AV) di Medini, Iskandar Malaysia bagi meningkatkan penciptaan dan penerima gunaan teknologi Revolusi Perindustrian Ke-Empat (4IR) yang berkaitan pengangkutan dan logistik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, Kerajaan Persekutuan melaksanakan skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Januari lalu bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik COVID-19.

17. Saya difahamkan seramai 200,000 Keluarga Malaysia berulang alik antara Singapura dan Johor dan mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua (2) kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia.

18. Selain Singapura dan Indonesia, kerajaan dalam proses melaksanakan VTL darat dengan Brunei dan Thailand dan dengan pembukaan semula sempadan, ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tak bersua muka dapat pulang terutama semasa Hari Raya pada Mei nanti. Insha Allah sempadan akan dibuka secepat mungkin.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Berdasarkan penarafan tahunan Bank Dunia, kedudukan Malaysia telah meningkat kepada tangga 12 pada tahun 2019 berbanding tangga 15 pada tahun 2018 dalam Ease of Doing Business.

20. Kerajaan akan memastikan agensi-agensi berkaitan Foreign Direct Investment (FDI) melaksanakan program-program bagi memudahkan operasi perniagaan di negara ini, termasuk menyediakan khidmat penterjemahan dan menghantar pegawai yang berkaitan untuk mendapatkan latihan dan pengetahuan di pelbagai bidang seperti 4IR, pendigitalan dan sebagainya.

21. Kerajaan sedar akan kepentingan pendigitalan dalam memudahkan urusan seharian Keluarga Malaysia dan manfaat teknologi dalam merealisasikan agenda Kerajaan Digital yang membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat adalah cepat dan berkesan.

22. Oleh itu, beberapa strategi dan inisiatif telah dirangka dan sedang dilaksanakan di beberapa kementerian. Pembangunan Sistem Janji Temu Klinik (SJTK) di klinik-klinik kesihatan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih slot janji temu yang bersesuaian tanpa perlu hadir ke premis kesihatan.

23. Pada tahun ini, kerajaan menyasarkan tambahan 100 klinik kesihatan yang menggunakan SJTK dan sistem ini juga membolehkan janji temu dibuat bukan sahaja untuk individu itu sendiri malah juga ahli keluarga terdekat terutama mereka yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Banjir mengejut yang melanda sesetengah tempat di Malaysia termasuk Johor awal tahun ini mengakibatkan Keluarga Malaysia kerugian harta benda serta terganggu urusan harian.

25. Melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.4 bilion untuk meringankan beban mangsa banjir dengan mengekalkan bantuan sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah.

26. Kerajaan juga amat berterima kasih dengan langkah proaktif YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor kerana memberikan bantuan tambahan RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini. Saya percaya, sinergi sebegini menunjukkan betapa pentingnya kesejahteraan Keluarga Malaysia.

27. Dalam meningkatkan bantuan kepada Keluarga Malaysia, Kerajaan menyediakan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu bantuan tunai yang mula diagih bulan ini bagi manfaat 9.6 juta penerima terdiri daripada isi rumah dan bujang B40, warga emas dan ibu bapa tunggal.

28. Kerajaan juga sedar masih ada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 seperti pengangguran dan bagi menjamin kelangsungan hidup, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk:

a. Program Subsidi Upah (PSU) dengan perbelanjaan RM20.34 bilion untuk disalurkan kepada 350 ribu majikan di seluruh negara;

b. Insentif Pengambilan Kerja atau PenjanaKerjaya yang dapat membantu mewujudkan lebih 320,000 peluang pekerjaan baharu;

c. Portal MYFutureJobs yang dijadikan platform setempat pencarian pekerjaan menawarkan sebanyak 63,990 jawatan kosong di Johor.

d. Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang diilhamkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi membantu ahli keluarga golongan B40 melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti turut menawarkan biasiswa dan persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan;

e. Program Young Employable Student (YES!) digerakkan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi meningkatkan kemahiran kebolehpasaran graduan melalui pembangunan kemahiran insaniah, pendedahan kepada kerjaya dan industri, penjenamaan kendiri dan pembinaan rangkaian perhubungan profesional serta kepemimpinan.

29. Saya dimaklumkan bahawa seramai 11,500 graduan berjaya diterima untuk menyertai program ini dan mereka akan diberikan khidmat sokongan dan maklumat berterusan melalui aplikasi Telegram #KisahSiswa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan Kerajaan baru-baru ini bermatlamat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke paras bawah 4.2 peratus melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion, selaras dengan “Penciptaan Peluang Pekerjaan” sebagai salah satu teras utama Bajet 2022.

31. Kerajaan turut melancarkan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Inisiatif ini akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutama untuk pengusaha PMKS dan sektor informal dan limpahannya akan turut dirasai oleh Keluarga Malaysia di Johor.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Keputusan Kerajaan untuk mewujudkan 1,800 komuniti Keluarga Malaysia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen membolehkan komuniti itu sendiri memberi fokus kepada penyampaian maklumat kerajaan yang berkesan serta memastikan pihak kerajaan sentiasa cakna dengan permasalahan Keluarga Malaysia.

33. Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini sangat penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan Kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

34. Alhamdulillah suka saya berkongsi kejayaan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Johor Bharu yang bermula sejak Khamis, 3 Mac 2022, yang telah merekodkan hasil jualan usahawan-usahawan tempatan dengan nilai jualan sebanyak RM186,191.00 secara keseluruhan.

35. Jualan tersebut dihasilkan melalui enam booth jualan Keluarga Malaysia yang mengambil bahagian bernilai RM49,110.00. Bagi segmen Jualan Usahawan yang melibatkan 150 booth turut merekodkan jualan sebanyak RM130,447.40, segmen jualan Citarasa Keluarga Malaysia yang membabitkan sembilan booth mencatatkan jualan sebanyak RM27,811.00, manakala bagi jualan Food Truck pula memperoleh jualan RM22,346.00.

36. Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang julung kali ini turut mencatatkan kejayaan apabila sasaran sebanyak RM3 juta untuk padanan perniagaan (Business Matching) merekodkan pencapaian RM5.26 juta. Jumlah ini melepasi sasaran yang diunjurkan. Tahniah buat usahawan Keluarga Malaysia di Johor.

37. Semoga Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini akan memberi nilai tambah baru yang akan mendasari setiap usaha ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan ke arah yang lebih baik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian,

38. Apa pun yang kita rancangkan dan apa pun perancangan kita pastinya tidak akan berjaya di dalam keadaan politik yang tidak stabil. Saya bersetuju dengan YAB Menteri Besar Johor, bahawa kestabilan politik merupakan syarat utama untuk kita merealisasikan segala perancangan kita.

39. Di peringkat persekutuan Insha Allah dengan kerjasama semua pihak termasuk pembangkang, maka kita telah berjaya mewujudkan kerajaan persekutuan yang stabil seketika ini seperti yang dititahkan oleh Maha Duli YAM Yang Dipertuan Agung sewaktu titah diraja sewaktu pembukaan parlimen baru-baru ini.

40. Saya percaya di Johor juga, kita memerlukan kerajaan Negeri yang stabil supaya setiap perancangan YAB Menteri Besar Johor direalisasikan demi kepentingan Keluarga Malaysia di Johor ini. Saya doakan kejayaan kepada YAB Dato’ Haji Hasni Mohammad selaku Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor ini.

41. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Sekian,

WABILLAHITAUFIQ WALHIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.