Teks Ucapan Sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERBARISAN SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-215

TAHUN 2022

25 MAC 2022 | 8.00 PAGI
DATARAN KAWAD PULAPOL KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, dapatlah kita meraikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 bagi tahun 2022.

2. Terima kasih diucapkan kepada Ketua Polis Negara atas kesudian menjemput saya untuk bersama-sama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam majlis yang penuh bermakna ini.

3. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat bakti, keringat dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan dan menjaga keamanan negara ini.

4. Bagi wira-wira negara yang telah gugur, marilah sama- sama kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

5. Sesungguhnya, dedikasi dan khidmat bakti warga Sang Saka Biru akan terus dihargai dan dikenang oleh negara dan seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

6. Dalam usia menjangkau 215 tahun, segala pengalaman yang diharungi telah menjadikan PDRM sebuah agensi penguat kuasa utama negara yang matang dan amat komited dalam memikul mandat dan tanggungjawab.

7. Saya dimaklumkan bahawa jenayah indeks bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020.

8. Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jenayah indeks turut menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

9. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada PDRM kerana berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara, membuktikan kredibiliti PDRM dalam menjaga keamanan negara amat tinggi.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

10. Sepanjang dua tahun ini, Keluarga Malaysia terpaksa melalui kehidupan yang amat mencabar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan beban akibat pandemik COVID-19.

11. Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh anggota PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.

12. Lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan jentera pasukan telah dikerahkan untuk penugasan OP COVID-19, PDRM tetap komited dalam mengimbangi keutamaan perkhidmatan memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara.

13. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada anggota PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dan bencana.

14. Negara akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali hidup dalam keadaan normal.

15. Walaupun banyak kelonggaran diberi, seperti tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih perlu mematuhi SOP yang kekal seperti pemakaian pelitup muka atau mask disamping penjagaan kebersihan diri

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Kerajaan sedar bahawa tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan pengwujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalahgunakan untuk perbuatan jenayah.

17. Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.

18. Kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh anggota PDRM dalam memikul amanah, termasuk dalam menangani ancaman militan.

19. Dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan ini tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

20. Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

21. Marilah kita sama-sama menghayati konsep Keluarga Malaysia yang fokus kepada ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment).

22. Konsep ini memberi banyak manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek selain membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan ramai.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah kerana soal keselamatan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.

24. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan selamat menyambut Peringatan Hari Polis Ke-215, semoga anggota PDRM terus meningkatkan semangat serta iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.