Pendirian Kerajaan Berkenaan Penurunan Kedudukan Malaysia Dalam Penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM [ PORT DICKSON ]
TARIKH : 1 MAC 2022 (SELASA)

SOALAN NO. 2:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan pendirian Kerajaan berkenaan penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 keluaran Transparency International ke tangga 62 daripada 180 negara dan adakah ini bermaksud pelaksanaan inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sejak 2019 tidak berkesan.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Saya memohon agar pertanyaan ini dijawab bersekali dengan 14 pertanyaan lain yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat berkaitan isu Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pertanyaan-pertanyaan yang akan dijawab bersekali adalah:

1. Pertanyaan No. 24 oleh Yang Berhormat Ipoh Timur, bertarikh 1 Mac 2022 berkenaan pendirian dan tindakan Kerajaan berhubung CPI Tahun 2021;

2. Pertanyaan No. 70 oleh Yang Berhormat Tenom, bertarikh 1 Mac 2022 berkenaan langkah-langkah meningkatkan kedudukan CPI;

3. Pertanyaan No. 76 oleh Yang Berhormat Puchong, bertarikh 1 Mac 2022 juga berkenaan langkah-langkah memperbaiki kedudukan CPI;

4. Pertanyaan No. 83 oleh Yang Berhormat Iskandar Puteri, bertarikh 1 Mac 2022 berkenaan reaksi Kerajaan terhadap CPI 2021;

5. Pertanyaan No. 32 oleh Yang Berhormat Merbok, bertarikh 7 Mac 2022 berkenaan penurunan kedudukan CPI;

6. Pertanyaan No. 85 oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor, bertarikh 7 Mac 2022 berkenaan langkah-langkah memulihkan atau menambah baik kedudukan Malaysia dalam CPI;

7. Pertanyaan No. 20 oleh Yang Berhormat Tumpat, bertarikh 10 Mac 2022 berkenaan langkah menangani isu kemerosotan CPI Malaysia;

8. Pertanyaan No. 75 oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor, bertarikh 10 Mac 2022 berkenaan sebab-sebab utama penurunan CPI;

9. Pertanyaan No. 44 oleh Yang Berhormat Bukit Bendera, bertarikh 16 Mac 2022 berkenaan ikhtiar baru Kerajaan untuk memerangi rasuah memandangkan kejatuhan kedudukan CPI;

10. Pertanyaan No. 69 oleh Yang Berhormat Julau, bertarikh 16 Mac 2022 berkenaan faktor-faktor penyebab penurunan skor dan kedudukan CPI;

11. Pertanyaan No. 70 oleh Yang Berhormat Johor Bahru, bertarikh 16 Mac 2022 berkenaan komitmen Kerajaan memelihara integriti dan tata kelola yang baik selepas kejatuhan CPI;

12. Pertanyaan No. 4 oleh Yang Berhormat Jerlun, bertarikh 22 Mac 2022 berkenaan strategi dan tindakan membendung rasuah memandangkan kejatuhan CPI;

13. Pertanyaan No. 57 oleh Yang Berhormat Kota Raja, bertarikh 22 Mac 2022 berkenaan usaha-usaha Kerajaan memulihkan kembali imej negara susulan kejatuhan CPI; dan

14. Pertanyaan No. 68 oleh Yang Berhormat Kuala Kedah, bertarikh 22 Mac 2022 berkenaan sebab-sebab merosotnya CPI dan tindakan Kerajaan untuk mengatasinya.

Tuan Yang di-Pertua,

1. CPI merupakan barometer antarabangsa yang diterbitkan oleh Transparency International (TI) yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam badan awam termasuk pegawai dan Anggota Pentadbiran bagi negara-negara di seluruh dunia.

2. Walau bagaimanapun, pengukuran CPI dilaksanakan berdasarkan persepsi melalui kajian oleh institusi-institusi antarabangsa. Indeks ini adalah untuk memberi gambaran kepada Kerajaan supaya usaha penambahbaikan tadbir urus, integriti dan antirasuah terus dilaksanakan merentasi pelbagai sektor awam, swasta termasuk politik bagi memberi kesan kepada daya saing serta ekonomi negara.

3. CPI Malaysia untuk tahun 2021 dikira berdasarkan 9 daripada 13 kajian yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi antarabangsa. Laporan tersebut menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-2 terbaik selepas Singapura di antara 9 negara ASEAN yang terlibat.

4. Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza yang digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun. Sebagai contoh, kajian CPI tahun 2021 tidak melibatkan negara Brunei.

5. Kerajaan melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan agar laporan CPI tersebut lebih adil dan dapat memberi gambaran yang sebenar.

6. Kesediaan Malaysia untuk dinilai dalam CPI 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen Malaysia dalam penambahbaikan tadbir urus. Sehubungan itu, Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang telah digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Walau bagaimanapun, harus kita ingat bahawa usaha-usaha penambahbaikan adalah bersifat jangka panjang dan hasilnya juga akan hanya dapat dilihat dalam jangka masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

SOALAN TAMBAHAN PERTAMA (PORT DICKSON)
S: Persepsi rasuah meningkat kerana tidak ada gambaran dan tekanan politik menangani masalah besar umpananya soalan 1MDB yang belum selesai. Orang yang terlibat masih bergentanyangan seolah-olah tiada permasalahan.

J: sebenarnya dari segi kemerosotan skor atau kedudukan bukan sahaja kes rasuah, tetapi juga disumbang oleh perkara lain seperti hak asasi yang mungkin pandangan badan antarabangsa berbeza daripada nilai yang ada di negara kita. Tetapi mereka melihat human right berdasarkan nilai mereka.

Yang kedua dari segi keperluan pembaharuan institusi dan akta yang perlu dipinda sebagai contoh akta atau RUU sumbangan dana politik. Yang ini juga merupakan salah satu tuntutan daripada badan antarabangsa supaya dilaksanakan di negara kita. Begitu juga dari segi akta rahsia rasmi akta kesalahan pilihanraya.

Jadi dari segi keseluruhannya, ada sembilan perkara yang dijadikan sebagai alasan untuk berikan kita dari segi ranking dan sebagainya. Dari segi tindakan yang dilaksanakan apabila berkaitan isu rasuah saya percaya YB tau banyak kes masih sedang berjalan di mahkamah, tidak melibatkan sesiapa sahaja, tidak kira pembangkang atau sesiapa sahaja. Itu menunjukkan kerajaan serius dari segi mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang amalkan rasuah.

Begitu juga perkara lain yang dibangkitkan oleh YB. Jadi pihak erjaan tidak melindungi sesiapa. Dalam isu rasuah kerajaan tidak melindungi sesiapa. Sesiapa sahaja bertanggungjawab akan dihadapkan mahkamah dan mahkamah yang akan menentukan orang itu bersalah atau tidak.

Jadi tidak boleh menganggap kerajaan hari ini meindungi individu tertentu dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu hanya untuk memuaskan hati sesetengah pihak. Kita tidak tahu dulu sama kerajaan dahulu ada pendakwaan terpilih, tetapi hari ini tidak ada pendakwaan terpilih. Itu janji kerajaan.

SOALAN TAMBAHAN KEDUA (SIK):
Dilihat dalam gejala rasuah, personaliti seseorang juga memain peranan termasuk gaya hidup rakyat kita yang suka bermewah- mewah, bermegah-megah dan hidup dalam keadaan elit. Tidakkah kerajaan melihat aspek pendidikan juga penting dengan mendidik rakyat untuk hidup lebih sederhana dan mementingkan halal dan haram.

JAWAPAN (PM): Dari segi untuk memberi pendidkan kepada rakyat mengenai cara hidup itu, saya percaya memang sentiasa dilakukan, malah daripada pihak kerajaan sendiri apabila kita mengarahkan supaya perisytiharan harta oleh ahli parlimen dan anggota pentadbiran dan sebagainya, tujuannya supaya dapat kita ketahui tentang apa yang dimiliki oleh seseorang individu. Mereka tidak akan menunjuk apa yang mereka ada kerana apa yang mereka ada, telah diserahkan secara detail kepada pihak tertentu. Jadi dari segi isu pendidikan tadi, ia memang sentiasa dilakukan oeh pihak SPRM.

SOALAN TAMBAHAN KETIGA (TANGGA BATU): Adakah kajian dibuat untuk mengenalpasti jabatan, sektor atau Kementerian mana paling bersih atau paling teruk terlibat dalam soal rasuah supaya tindakan pembasmian lebih berfokus, serius dan bersasar.

J (PM): Memang dilakukan kementerian dan jabatan. Memang sentiasa dilakukan

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.