Kenyataan Media Berkaitan Tuntutan Daripada Pihak Yang Mengaku Sebagai Waris Sultan Jamalul Kiram II (“Sultan Sulu”) Terhadap Kerajaan Malaysia

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


BERKAITAN TUNTUTAN DARIPADA PIHAK YANG MENGAKU SEBAGAI WARIS SULTAN JAMALUL KIRAM II (“SULTAN SULU”) TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA


Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian bahawa Negeri Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963. Oleh itu, Kerajaan Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan Negeri Sabah. Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Negeri Sabah dalam Malaysia.

Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang- undang. Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022. Walaupun pelantikan Dr. Stampa telah dibatalkan tetapi Dr. Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut.

Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, Kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis. Ini bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh Penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad. Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama- lamanya.

DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
18 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.