Kenyataan Media Berkaitan Pengecualian Bayaran Tol Di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar Dan Tanjung Kupang Sempena Pembukaan Semula Sempadan

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


PENGECUALIAN BAYARAN TOL DI PLAZA TOL BANGUNAN SULTAN ISKANDAR DAN TANJUNG KUPANG SEMPENA PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN


Bermula 1 April 2022, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Sempena pembukaan semula sempadan laluan darat ini, Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol di plaza-plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua).

Pengecualian bayaran tol ini melibatkan semua jenis kenderaan selama 7 hari, bermula 1 April sehingga 7 April 2022. Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’.

Pemberian pengecualian bayaran tol ini melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza tol yang terlibat sepanjang tempoh tersebut. Keputusan ini turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol tersebut dengan pembukaan sempadan laluan darat ini.

Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.

PLUS menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari. Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia- Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan.

Oleh itu, pihak PLUS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor serta kementerian dan agensi yang berkaitan juga sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan yang lancar di lebuh raya bersempena dengan pembukaan semula ini.

Ia juga termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan-kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS.

Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
30 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.