Kenyataan Media Berkaitan Pelaksanaan Projek Infrastruktur Untuk Pemulihan dan Pertumbuhan Ekonomi Keluarga Malaysia

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


PELAKSANAAN PROJEK INFRASTRUKTUR UNTUK PEMULIHAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI KELUARGA MALAYSIA


1. Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah bersetuju untuk melaksanakan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah- Sarawak dan projek tebatan banjir.

2. Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif Kerajaan untuk terus memperkasakan sektor perniagaan, serta mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

3. Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

4. Berhubung Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024. Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun.

5. Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786km dan telah mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini. Bagi melengkapi LPB Sarawak, Kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).

6. Berhubung dengan projek tebatan banjir, Kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.

7. Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.

8. Keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
4 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.