Kenyataan Media Berkaitan Modenisasi Sektor Tani Dan Agro Makanan Sebagai Mekanisme Pemulihan Ekonomi Negara

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MODENISASI SEKTOR TANI DAN AGRO MAKANAN SEBAGAI MEKANISME PEMULIHAN EKONOMI NEGARA


Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang telah digariskan di bawah RMKe-12 dan bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar.

Perbincangan adalah melibatkan pembentangan-pembentangan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

Kerajaan pada prinsipnya bersetuju supaya MAFI berbincang dengan Kerajaan-kerajaan Negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani untuk pertanian agar dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju.

Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022- 2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara.

Mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.

Melangkah kehadapan, kita berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
24 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.