Kenyataan Media Berkaitan Fasa Peralihan Ke Endemik

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


FASA PERALIHAN KE ENDEMIK


A. FASA ‘PERALIHAN KE ENDEMIK’

1. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jumlah kes harian COVID-19 meningkat secara mendadak akibat gelombang Omicron. Walaubagaimanapun, jumlah yang dikategorikan sebagai pesakit Kategori 3, 4 dan 5 amat rendah iaitu 0.7 peratus. Jumlah pesakit COVID-19 yang perlu mendapatkan rawatan serta pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga terkawal buat masa ini iaitu pada kadar 42 peratus penggunaan.

2. Pada masa yang sama, sebahagian besar ahli Keluarga Malaysia telah menerima vaksinasi lengkap serta dos penggalak menerusi program-program vaksinasi khususnya Program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan (PICK), PICK Remaja dan PICKids. Sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus; manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus.

3. Secara keseluruhannya, perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat atau ReopeningSafely yang sedang diusahakan Kerajaan terutama menerusi Menteri Kuartet iaitu Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, YB Tengku Zafrul; serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa masih berjalan dengan lancar.

4. Sehubungan dengan itu, setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet, hari ini saya ingin mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April 2022.

5. Penting untuk saya maklumkan, Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19. Fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

6. Bermula 1 April 2022:

i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan. Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis. Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar.

iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai. Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/pengunjung.

iv. Aktiviti solat Jemaah di masjid/surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Walaubagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

v. Keperluan vaksinasi:
• Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.
• Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

7. Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh.Tiada lagi had kapasiti 50 peratus. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

B. PEMBUKAAN SEMPADAN NEGARA

8. Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ialah pembukaan sempadan negara. Justeru, selari dengan perancangan memasuki Fasa berkenaan pada 1 April 2022, Kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada 1 April ini.

9. Saya percaya, ini antara pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat. Pengumuman ini juga akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

10. Keputusan ini dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu:

a. Pertama, ia berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19
b. Kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain
c. Ketiga, memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka. Paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

11. Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana- mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar. Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera.

12. Walaubagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara kita dan kebanyakkan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

13. Bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

14. Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

15. Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.

16. Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

17. Seperti ramai sedia maklum, buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia.

18. Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya.

19. Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif Kerajaan dalam memerangi COVID-19. Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’.

20. Saya juga berterima kasih kepada semua Menteri Kuartet COVID-19 yang diketuai YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein atas usaha keras mereka demi memastikan usaha negara untuk Reopening Safely khususnya untuk melangkah ke Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan. Perincian fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan akan dimaklumkan oleh menteri-menteri kuartet dalam masa terdekat ini.

21. Tidak lupa juga kepada semua Menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-ketua Menteri, dan setiap kementerian yang telah memainkan peranan dengan sangat baik dalam usaha menjayakan setiap strategi Kerajaan demi memerangi COVID-19.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
8 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.