Kelemahan Di Dalam Sistem Pelaksanaan Dan Penyampaian (Delivery System) Kerajaan Dan Apakah Langkah-Langkah Yang Diambil Untuk Mengatasinya

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA,
PARLIMEN KEEMPAT BELAS


PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : DATO’ SRI HAJI TAJUDDIN BIN ABDUL RAHMAN [ PASIR SALAK ]
TARIKH : 1 MAC 2022 (SELASA)

SOALAN 1 :

Minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapa masih berlakunya kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian (delivery system) Kerajaan dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan sentiasa menambah baik sistem Penyampaian Kerajaan dari semasa ke semasa melalui maklum balas dari semua pihak baik dari rakyat, pihak swasta, NGO, Ahli Akademik dan termasuk juga Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Menyedari masih berlakunya kelemahan, Kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini sentiasa ditambah baik.

2. Bagi mengatasi kelemahan yang timbul, pertama sekali Kerajaan akan memberi fokus dalam memberi wajah baharu kepada penjawat awam dan juga lanskap baharu dalam organisasi awam. Pembaharuan ini bertujuan untuk menjadikan sistem Penyampaian Kerajaan lebih bersifat people-centric dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi.

3. Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi. Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021. Buat pertama kali, Kerajaan menyediakan tiga (3) kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran atas talian.

4. Semestinya, langkah yang diambil oleh Kerajaan ini dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat facilitative. Dalam hubungan ini, saya akan memastikan supaya organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi. Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang. Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Kerajaan juga telah menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, Kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif. Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan (future proof).

6. Sehubungan itu, Kerajaan akan memastikan perkhidmatan awam sentiasa mengadaptasi semangat ‘Keluarga Malaysia – Keluarga Perkhidmatan Awam’ di mana setiap Kementerian dan Agensi akan saling bantu membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara.

7. Kerajaan memahami bahawa penyampaian melalui tekonologi digital amat kritikal dalam mengurangkan karenah birokrasi terutama melibatkan perkhidmatan kaunter. Bagi tujuan tersebut, melalui inisiatif Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia ataupun MyDigital telah mensasarkan perkhidmatan Kerajaan secara End to End (E2E) sebanyak 80% menjelang tahun 2025. Perkara ini akan dapat memacu transformasi sektor awam untuk menjadi kerajaan digital dengan memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, meningkatkan set kemahiran digital penjawat awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian. Ini juga akan meningkatkan kedudukan negara dalam penarafan World Digital Competitiveness Ranking.

Tuan Yang di-Pertua,

8. Kita masih lagi berhadapan dengan penularan Covid-19 dan lonjakan kes melalui varian Omircron yang perlu ditangani dengan segera. Dalam masa yang sama, agenda pemulihan yang dirancang akan tetap diteruskan terutama dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan dan memudahkan aspek perniagaan.

9. Namun begitu, Kerajaan akui masih ada lagi ruang penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang boleh dilaksanakan. Kita sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan penambahbaikan, kritikan yang membina dan profesional sepertimana komitmen Kerajaan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

Sekian, terima kasih.

MAKLUMAT TAMBAHAN

1. Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negara telah diwujudkan sebagai tadbir urus pendigitalan tertinggi negara. Majlis yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ini telah mengenal pasti enam (6) kluster sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR iaitu:

i. Kluster Bakat Digital (Dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia dan diurussetiakan oleh Kementerian Sumber Manusia);

ii. Kluster Infrastruktur Digital dan Data (Dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, dan diurussetiakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia);

iii. Kluster Teknologi Baru Muncul (Dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan diurussetiakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi);

iv. Kluster Ekonomi (Dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan diurussetiakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri);

v. Kluster Masyarakat (Dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Keluarga dan diurussetiakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); dan

vi. Kluster Kerajaan (Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan diurussetiakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia).

2. Tumpuan utama Kluster Kerajaan adalah memacu transformasi digital sektor awam untuk menjadi kerajaan digital dengan memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, meningkatkan set kemahiran digital penjawat awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian. Transformasi ini membolehkan kerajaan menerima guna teknologi digital dan menggunakan data untuk memodenkan sektor awam, seterusnya menerima pakai pendekatan berpaksikan rakyat.

3. Terdapat dua belas (12) inisiatif digariskan di bawah Kluster Kerajaan bagi mencapai aspirasi MyDigital yang antaranya adalah untuk meningkatkan keupayaan dalam memacu pendigitalan, membangunkan kemahiran digital penjawat awam untuk semua gred dan skim, mewujudkan mekanisme penggubalan dasar yang dipacu data dan mempercepat pelaksanaan tandatangan digital bagi keseluruhan perkhidmatan dalam talian sektor awam.

4. Blueprint Ekonomi Digital menyasarkan sebanyak 80% perkhidmatan Kerajaan disediakan secara E2E menjelang tahun 2025. Selain sasaran dalam MyDigital, perkhidmatan E2E juga telah dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama Penjawat Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam (PPTPA) Generik Tier 1 bagi tahun 2021 dan akan diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.