Teks Ucapan Sempena Hari Usahawan Negara (HUN) 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI USAHAWAN NEGARA (HUN) 2022

26 MAC 2022 | 8.30 MALAM
WORLD TRADE CENTRE KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin Nya kita dapat bertemu dalam majlis yang menghimpunkan usahawan-usahawan dari seluruh negara.

2. Tahniah kepada Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) kerana berjaya menganjurkan Hari Usahawan Negara (HUN) 2022.

3. Program ini memberi manfaat yang besar kepada para usahawan untuk membina dan meluaskan rangkaian perniagaan mereka.

4. Saya difahamkan DPUKM akan membantu usahawan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa khususnya melibatkan produk halal.

5. Justeru, peluang ini harus digunakan sepenuhnya oleh para usahawan untuk meneroka pasaran baharu bagi memasarkan produk serta perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) amat penting kepada pembangunan negara kerana ia menyediakan lebih 8 juta peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

7. Sektor ini amat penting dan Kerajaan memberikan perhatian yang serius bagi memastikan ia dapat terus berkembang bukan sahaja di Malaysia malah ke pasaran serantau.

8. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan telah meletakkan sasaran sebanyak 45 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar ( KDNK) tahun 2025 yang disumbangkan oleh PKS.

9. Sasaran ini adalah realistik kerana sebanyak 39 peratus KDNK negara pada 2019 disumbangkan oleh PKS sebelum ia terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu dan terbaru, akibat banjir pada penghujung tahun lalu.

10. Bagaimanapun Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan PKS termasuk usahawan mikro dan informal dapat meneruskan perniagaan mereka.

11. Sebagai contoh, Kerajaan telah melancarkan program Semarak Niaga dengan dana sebanyak RM22 bilion untuk membantu usahawan mendapatkan pembiayaan bagi meluaskan perniagaan.

12. Selain itu, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

13. Agrobank pula menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 tanpa faedah berserta kemudahan moratorium selama enam bulan.

14. Manakala SME Bank menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0. Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta.

15. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memastikan para usahawan Keluarga Malaysia dapat terus mengembangkan perniagaan dan perusahaan.

16. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), yang merupakan nadi kepada golongan usahawan, memainkan peranan besar untuk memastikan semua inisiatif Kerajaan dapat membantu golongan ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Kita sedang menghadapi Revolusi Industri Ke-4 atau IR4.0 yang membawa pelbagai teknologi baharu terutamanya pendigitalan.

18. Kerajaan menyedari perkembangan ini dan persediaan rapi telah dibuat.

19. MyDIGITAL merupakan satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi Kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

20. Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

21. Justeru, saya berharap para usahawan menguasai teknologi baharu ini khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus yang sedang berkembang pesat. Pendigitalan juga dapat membantu produk-produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas.

22. Bagi mencapai hasrat ini, kerjasama strategik antara usahawan dengan agensi Kerajaan perlu dieratkan supaya setiap inisiatif yang dilaksana dapat diterjemahkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Saya berharap agar para usahawan di bawah naungan DPUKM terus berusaha dan memberi komitmen dalam bidang perniagaan untuk terus maju.

20. Golongan usahawan mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan negara kita terus makmur dengan ekonomi berkembang dengan lebih pantas.

21. Oleh itu, semua usaha yang dilaksanakan oleh DPUKM termasuk Hari Usahawan Negara ini wajar diteruskan.

23. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada DPUKM atas usaha yang telah dilakukan ini.

24. Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan akan terus membantu golongan usahawan untuk meluaskan perniagaan mereka melalui pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan.

24. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. dengan ini saya merasmikan HARI USAHAWAN NEGARA 2022 (HUN) BERTEMAKAN ‘USAHAWAN NADI NEGARA’ ‘KELUARGA MALAYSIA’.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.