Teks Ucapan Sempena Program Usahawan & Koperasi Keluarga Malaysia

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

PROGRAM USAHAWAN & KOPERASI KELUARGA MALAYSIA (PUKKM)

TARIKH: 18 FEBRUARI 2022 (JUMAAT)

TEMPAT: DEWAN SERBAGUNA MBIP TAMAN NUSANTARA, GELANG PATAH, JOHOR DARUL TAKZIM

MASA: 3.30 PETANG

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada petang ini dalam Program Usahawan & Koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC).

2. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor Darul Takzim dan Yang Berhormat Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi atas penganjuran program PUKKM serta turut mengadakan sesi dialog, Santai Namun Sampai bagi.

3. Program-program ini bagi memberi maklumat berkaitan dengan program-program di bawah MEDAC serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh golongan usahawan dan koperasi.

4. Saya turut ingin menzahirkan penghargaan kepada semua keluarga MEDAC dan agensinya termasuk PUNB, AIM, Co- opbank Pertama dan ANGKASA atas komitmen dalam menjayakan program ini.

5. Tidak dilupakan semua yang hadir terutamanya para usahawan dan peneraju koperasi yang turut memeriahkan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Iskandar Puteri, Johor.

6. Selaras dengan teras kebersamaan di bawah konsep Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa komited sentiasa komited memastikan rakyat mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk usahawan-usahawan dan ahli-ahli koperasi di negeri Johor.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Penularan pandemik COVID-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada seluruh Keluarga Malaysia. Terdapat usahawan yang terpaksa gulung tikar, tidak kurang juga terpaksa mencari alternatif perniagaan yang lain untuk bangkit kembali semasa penularan pandemik COVID-19.

8. Di bawah Bajet 2022, Kerajaan melalui jalinan dengan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) memperuntukkan dana keseluruhan sebanyak RM5 bilion untuk golongan usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS). Ini tidak termasuk program-program yang dilaksanakan melalui agensi-agensi Kerajaan seperti TEKUN dan BSN.

9. Dalam masa yang sama, gerakan koperasi amat penting bagi mengerakkan semula sektor PMKS. Koperasi adalah salah satu growth engine yang menyumbang kepada KDNK negara yang dapat mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat setempat.

10. Penekanan terhadap pembangunan gerakan koperasi juga turut digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang mana telah menyarankan PMKS untuk beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global dan memanfaatkan gerakan koperasi dalam pembangunan usahawan.

11. Langkah ini adalah penting untuk meningkatkan daya saing dan ekosistem perniagaan sekali gus meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi.

12. Sehubungan dengan itu, Kerajaan melalui MEDAC telah memperuntukkan sebanyak RM35 juta untuk pelaksanaan program-program utama iaitu Pembangunan Perniagaan Koperasi 2.0 dan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE).

MAKLUMAT TAMBAHAN

13. Pada majlis petang ini, MEDAC dan Agensi kendaliannya akan menyampaikan bantuan dan pembiayaan kepada usahawan dan koperasi di Johor yang merupakan:

I. Pinjaman dibawah Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) oleh TEKUN berjumlah RM50 ribu kepada 5 usahawan;

II. Geran permulaan perniagaan dibawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp berjumlah RM495 ribu kepada 33 peserta TUBE;

III. iBantuan kewangan di bawah Program Bumiputera Enterprise Enhancement Programme (BEEP) oleh SME Corp berjumlah RM1.28 juta kepada 18 PKS;

IV. Bantuan Pembiayaan dan Pinjaman Tabung Modal Pusingan SKM berjumlah RM3.34 juta kepada 4 buah koperasi;

V. Pembiayaan Bank Rakyat berjumlah RM2.83 juta kepada 10 usahawan;

VI. Bantuan kewangan di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Wanita INSKEN berjumlah RM3,000 kepada seorang usahawan wanita;

VII. Pembiayaan SME Bank berjumlah RM2.55 juta kepada 6 PKS; dan

VIII. Pembiayaan PERNAS berjumlah RM1.31 juta kepada 4 usahawan francais.

14. Keseluruhan geran, pembiayaan dan bantuan kewangan untuk usahawan di Johor tidak terhad di Iskandar Puteri dan Pulai, tetapi ia juga akan memanfaatkan 106 penerima dengan dana bernilai RM26.7 juta.

15. Manakala bagi CSR yang dilaksanakan Yayasan Bank Rakyat akan melibatkan 26 kawasan di negeri ini, melalui peruntukan dana berjumlah RM560 ribu yang akan memanfaatkan 5,600 pelajar dari keluarga B40 di seluruh Johor.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya MEDAC dan agensinya yang menganjurkan PUKKM.

17. Saya berharap segala inisiatif yang dilaksana ini akan memberikan manfaat kepada semua PMKS dalam membangunkan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini.

18. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia 2022 di Iskandar Puteri.

Sekian.

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan terima kasih.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.