Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur

TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-50 BANDAR RAYA KUALA LUMPUR

5 FEBRUARI 2022 (SABTU)

PANGGUNG ANNIVERSARI

TAMAN BOTANI PERDANA, KUALA LUMPUR

8.30 MALAM

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya, kita dapat berhimpun malam ini bagi meraikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diterajui oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim di atas penganjuran majlis yang sangat bermakna ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pada 1 Februari lalu, genap usia Kuala Lumpur 50 diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia. Dalam tempoh usia yang matang ini, sudah tentu Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia mengalami evolusi seiring dengan perubahan masa.

4. Jika pada era awal pertumbuhannya, persekitaran Kuala Lumpur dipenuhi dengan rumah-rumah atap nipah, kini ia meriah dengan bangunan-bangunan pencakar langit serta perkembangan pesat penempatan penduduk.

5. Dunia terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda- mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia. Begitu juga dengan Menara Kuala Lumpur yang merupakan menara tunggal ketujuh tertinggi di dunia.

6. Kini, Kuala Lumpur memiliki mercu tanda baharu iaitu Menara Merdeka 118 yang merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.

7. Mengimbau sejarah ibu kota kosmopolitan ini, Kuala Lumpur yang terletak di Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang bermula pada tahun 1857. Kuala Lumpur kemudiannya berkembang daripada sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi kepada sebuah bandar yang dikenali ramai.

8. Kepesatan ekonomi di kawasan perlombongan yang menjadi lubuk rezeki telah menarik minat masyarakat sekeliling untuk berhijrah ke sini. Jelas terbukti, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat tahun demi tahun.

9. Kuala Lumpur mengalami pertumbuhan pesat dalam pembangunannya. Kemakmuran sumber asli dan aktiviti ekonomi membantu menarik lebih ramai penduduk mendiaminya yang kini dianggar berjumlah 8 juta orang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Dalam meniti usia 50 tahun ini, Kuala Lumpur harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan. Sebagai pihak berkuasa tempatan yang mentadbir Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

11. Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip “tiada yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir bandaraya Kuala

Lumpur. Golongan B40 misalnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela.

12. Ekonomi adalah penggerak utama bandar raya. Tarikan sebenar kepada bandar raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

13. Pembentukan bandar raya yang mampan perlu mengambil kira keperluan ekonomi sesebuah bandar supaya ia benar- benar mewujudkan bandar raya yang mampan untuk semua.

14. Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Kewujudan media baharu lebih mendekatkan warga kota dengan pentadbir bandaraya. Ekspektasi warga kota kepada DBKL adalah tinggi. Justeru itu, keterlibatan warga kota dalam membangunkan Kuala Lumpur adalah penting.

16. Ini bagi memastikan suara mereka didengari dan diambil kira dalam segenap perkara. Warga kota merupakan tunjang keutuhan Kuala Lumpur. Suara dan pandangan mereka inilah yang akan menggerakkan usaha kerajaan.

17. Khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya sebagai Perdana Menteri.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Dalam menangani isu perubahan iklim dunia, saya menyokong penuh inisiatif Kuala Lumpur membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon. Ini kerana Malaysia disasar menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

19. Bagi mencapai hasrat ini, Kuala Lumpur perlu maju ke hadapan seiring dengan bandar raya–bandar raya besar yang lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani isu perubahan iklim.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-50 bandar raya Kuala Lumpur, saya ingin mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL).

21. Pertama, dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, pihak DBKL sedang dan akan melaksanakan perkara- perkara yang berikut:

i. Bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.

ii. Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaiktaraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.

iii. Selain itu, DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar.

iv. Bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan yang lebih selesa:

• DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.

• DBKL juga akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

v. Bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal oleh Kuala Lumpur Command & Control Centre.

22. Kedua, meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian untuk urusan berikut:

i. Kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.

ii. Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.

23. Sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10% sepanjang tahun 2022.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

24. Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur. Semoga Kuala Lumpur selaku ibu negara Malaysia akan terus kekal makmur dan sejahtera.

25. Akhir kata, kepada semua yang bertanggungjawab bersama-sama membangunkan bandar raya Kuala Lumpur, terima kasih atas sumbangan anda sepanjang 50 tahun ini.

26. Usaha kalian amat penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bandar raya ‘Kuala Lumpur sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya saing dan lestari’.

27. Teruskan komitmen anda. Bersama-sama kita memajukan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang kita cintai ini.

28. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.