Teks Ucapan Sempena Majlis Resepsi Tahun Baru Cina 2022

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS RESEPSI TAHUN BARU CINA 2022

PADA 18 FEBRUARI 2022 (JUMAAT) STADIUM TERTUTUP,
KOMPLEKS SUKAN EDUCITY, ISKANDAR PUTERI JOHOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Pada malam yang serba indah ini, terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa kesyukuran dan syabas kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Johor atas penganjuran Majlis Resepsi Tahun Baru Cina 2022.

2. Tidak terlambat untuk saya ucapkan Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le kepada seluruh masyarakat Tiong Hua yang meraikan perayaan Tahun Baru Cina pada 1 Februari yang lalu.

3. Sejarah sambutan Tahun Baru Cina berdasarkan kalendar ‘Qamari’ Cina sejak ribuan tahun dahulu adalah mengikut kitaran selama 12 tahun, yang merujuk kepada 12 jenis haiwan.

4. Setiap haiwan mempunyai personaliti dan tuah yang berbeza. Tahun Baru Cina 2022 ialah Tahun Harimau, iaitu haiwan ketiga dalam kitaran 12 haiwan Zodiak Cina. Dikenali sebagai raja segala binatang, zodiak ini dikaitkan dengan kekuatan, mengusir kejahatan dan keberanian.

5. Ia menjadi lambang atau bukti bahawa kita mampu menangani sebarang ancaman dan dugaan secara bersama. Kebersamaan inilah yang menguatkan kita ibarat “serumpun bak serai, sesusun bak sirih.”

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Adalah menjadi satu amalan bagi kita Keluarga Malaysia meraikan sambutan perayaan kaum lain secara bersama dalam suasana harmoni. Keharmonian masyarakat Keluarga Malaysia inilah yang menjadi kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

7. Nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada pula, menyemarakkan lagi keunikan masyarakat majmuk kita di persada antarabangsa yang sekali gus menyerlahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan warisan seni dan budaya.

8. Justeru, intipati Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2020- 2030 yang telah saya lancarkan pada Oktober tahun lalu, memberi penekanan kepada perspektif mengangkat kebudayaan yang seringkali dilihat dalam konteks pencapaian peradaban dan tamadun.

9. Inilah yang menjadi kebanggaan sebuah negara maju, yang telah berjaya menzahirkan khazanah tinggalan tamadun sebagai aset warisan negara, yang memberi pulangan kepada pendapatan negara sebagai produk-produk tarikan pelancong.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Kita seharusnya menjadikan perbezaan antara kita sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan dan bukan untuk memisahkan.

11. Di sebalik perbezaan ini, kita harus mengutamakan sikap toleransi dan saling memahami tentang agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lamanya di negara tercinta kita ini.

12. Kita dapat melakukan ini dan kita mampu untuk hidup aman dan harmoni, sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar, Keluarga Malaysia.

13. Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik Covid-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara.

14. Tidak kira apa jua bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

15. Saya yakin tahun 2022 akan membawa sinar baharu kepada kita semua sebagai negara yang berbilang bangsa dalam menghadapi cabaran dan dugaan mendatang demi melakar Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing.

16. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai kepada Keluarga Malaysia khususnya masyarakat Tiong Hua.

Berbilang kaum, hidup berpadu,

Bersopan santun budaya mesra,
Tak mengira bangsa kita bersatu,
Tahun Baru Cina diraikan bersama.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.