Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City (KRC)

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PROJEK STRATEGIK NCER – KEDAH RUBBER CITY

7 FEBRUARI 2022

Bismillahirrahmannirrahim;

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari yang bersejarah ini. Terima kasih NCIA kerana menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City (KRC).

2. Terima kasih dan tahniah juga diucapkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, terutamanya YAB Menteri Besar Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, atas pelancaran yang amat besar maknanya buat negeri ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pelancaran projek KRC yang merupakan salah satu projek strategik nasional di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini tepat pada masanya ketika negara sedang dalam menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi setelah terkesan oleh impak pandemik COVID-19. NCER kini sedang berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana ia diunjurkan akan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah sebanyak 6.5%-6.9% dalam Tempoh Pemulihan 2021-2022.

4. Sentimen pelabur juga sangat positif ketika ini dan pengutamaan projek dan program pemangkin serta insentif oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi di wilayah ini. Malah, NCER telah menyumbang majoriti pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga Suku Tahun Ketiga 2021, iaitu 61.4% daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

5. Kemasukan pelaburan swasta di NCER saling berkait rapat dengan pelaksanaan program-program Modal Insan berteraskan Keluarga Malaysia oleh NCIA, yang telah memberi manfaat kepada 67,935 orang dari 30 daerah di NCER sejak 2019 sehingga 2021. Program-program tersebut juga adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12) ke arah membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025. Ia juga melalui suntikan bantuan sara hidup yang diintegrasikan dengan pendidikan, latihan kemahiran untuk rakyat tempatan, serta penyediaan peluang pekerjaan bagi golongan sasaran.

6. Berdasarkan perkembangan-perkembangan positif tersebut, adalah penting bagi negeri Kedah khususnya, dan NCER amnya, untuk terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 agar mampu menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa. Langkah ini penting bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk Keluarga Malaysia.

7. Di bawah RMK-12, Kedah telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam negeri yang akan diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan negara. Justeru, KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek “game changer” yang dilaksanakan NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai negeri yang maju, sekaligus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. KRC dibangunkan dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai peneraju pembangunan industri getah negara serta hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global. Kewujudannya mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Kedah, yang akan dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

9. Jika sebelum ini, pembangunan berskala besar kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan bandar. Hari ini, Keluarga Malaysia di kawasan luar bandar termasuk di Padang Terap juga mampu menikmati limpahan kemakmuran yang dicipta hasil daripada projek-projek strategik nasional seperti KRC ini.

10. Berdasarkan lokasinya yang strategik di kawasan “Rubber Belt” sempadan Malaysia-Thailand, KRC juga akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta dijangka menjadi penggerak dalam menghubungkan pengeluar- pengeluar getah utama di rantau ini di bawah platfom Indonesia-Malaysia- Thailand Growth Triangle (IMT-GT). KRC juga akan menjadi pusat inovasi produk getah yang boleh membantu aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Selaras dengan visinya untuk menjadi sebagai sebuah taman perindustrian mesra alam bertaraf dunia, KRC menawarkan infrastruktur dan jaringan kesalinghubungan yang baik, serta kumpulan bakat dan ekosistem yang mesra pelabur.

12. KRC bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025. Projek ini bakal memberi pelbagai limpahan manfaat kepada masyarakat setempat. Walaupun baharu sahaja dilancarkan, KRC sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

13. Sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 billion untuk KRC. Kerjasama ini juga akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini. Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan
terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperolehi kepada negara.

14. Selain kerjasama strategik ini, kita bakal menyaksikan sembilan pertukaran dokumen perjanjian, surat niat dan memorandum persefahaman (MoU) di antara pelabur dengan NCIA serta agensi Kerajaan yang lain. Saya amat mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada pelabur yang memberikan sokongan untuk menjayakan projek nasional ini.

15. Pembangunan keseluruhan KRC meliputi kawasan seluas 1,244 ekar, yang merangkumi 496 ekar untuk Fasa 1 dan 748 ekar untuk Fasa 2. Kerja-kerja fizikal pembangunan projek KRC oleh pihak NCIA berjalan lancar seperti yang dijadualkan, yang mana Fasa 1 projek telah pun siap dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.

16. Sehubungan itu, saya berharap agar pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang ini untuk menempatkan operasi mereka di KRC. Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk Fasa 1 projek KRC. Berdasarkan kemajuan yang memberangsangkan di bawah Fasa 1, Fasa 2 projek KRC akan dilaksanakan pada tahun 2023.

17. Sebagai seorang anak penoreh getah, saya amat berbesar hati kerana projek KRC ini bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini. Walaupun Kedah merupakan salah satu kawasan penanaman getah yang penting di tanah air, namun industri getah di negeri ini kebanyakannya masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah dengan saluran pemasaran yang terhad. Ini mengakibatkan ramai pekebun kecil masih dibelenggu dengan pendapatan yang rendah dan kemiskinan.

18. Justeru, Projek KRC akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan memastikan permintaan yang berterusan untuk bekalan getah asli mereka, di samping menstabilkan harga getah melalui penggunaan getah asli secara optimum dengan penghasilan produk- produk hiliran yang bernilai tambah. Di samping itu juga, projek KRC ini akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat.

19. Sehubungan itu pihak NCIA akan bekerjasama dengan RISDA bagi memaju dan membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan, yang berpotensi memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah, termasuklah 11,190 pekebun kecil dari daerah Padang Terap. Kerjasama ini amat dialu-alukan agar agenda strategik NCER dapat dicapai demi kemakmuran rakyat di pelbagai peringkat.

20. Rakyat setempat akan turut berpeluang mengambil bahagian melalui program-program modal insan berteraskan Keluarga Malaysia untuk menangani kemiskinan seperti program peningkatan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan oleh NCIA seperti empowerNCER dan entrepreneurNCER. Mereka kini boleh mengambil bahagian dalam aktiviti rantaian bekalan penggiat industri yang bakal beroperasi di KRC khususnya, dan di negeri Kedah, amnya.

21. Kesemua ini adalah sejajar dengan sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025 seperti mana yang digariskan di dalam dokumen RMK-12. Ia juga adalah selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk seluruh rakyat.

22. Kerajaan turut menyedari akan kepentingan peranan institusi kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini. Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa Maybank dan Agrobank secara terkumpul telah memberikan pembiayaan sebanyak RM223.8 juta untuk 16,600 PMKS sejak 2019.

23. Dua buah bank iaitu CIMB dan AFFIN Bank akan turut bekerjasama dengan NCIA bagi program yang sama. Dengan penglibatan keempat- empat bank tersebut, lebih 22,500 PMKS lagi disasarkan akan mendapat manfaat daripada program ini sepanjang tempoh RMK-12.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi di atas usaha dan komitmen yang diberi dalam membangunkan negeri Kedah. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada pihak NCIA atas peranan yang dimainkan dalam menjayakan projek-projek strategik nasional berimpak tinggi di NCER, termasuklah di negeri Kedah.

25. Kepada para pelabur sekalian, KRC kini bersedia untuk menerima dan mengalu-alukan kedatangan anda. Kerajaan Persekutuan melalui NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan membantu memudahcara urusan pelaburan di KRC khususnya, dan NCER amnya.

26. Kementerian Kewangan turut menawarkan Pakej Insentif Khas untuk projek KRC dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke taman perindustrian ini. Kerjasama erat yang sedia terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan projek-projek berimpak tinggi seperti KRC ini pastinya berupaya meneruskan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri Kedah khususnya, dan NCER amnya, seiring dengan matlamat “Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.

Dengan lafaz “Bismillahhirrahmannirrahim”, saya dengan ini merasmikan Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum w.b.t.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.