Teks Ucapan Sempena Majlis Makan Malam & Mesyuarat Agung Tahunan MBFM, KAF dan PERSADA

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM & PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MBFM, KAF & PERSADA

12 FEBRUARI 2022 | 8.30 MALAM

GRAND BALLROOM, MENARA FELDA, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya, saya dapat bersama-sama anak-anak muda dari Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Kami Anak Felda (KAF) dan Sekretariat Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) pada majlis makan malam dan mesyuarat agung tahunan pada hari ini.

2. Sebagai anak Pahang dan Ahli Parlimen Bera, FELDA amat signifikan dan dekat di hati saya. Ini kerana terdapat 14 tanah rancangan dengan lebih 200,000 penduduk di Bera. Saya amat memahami apa yang dilalui oleh seluruh warga Felda.

3. Jika ditelusuri cita-cita awal penubuhan FELDA pada 1956, ia berkait rapat dengan hasrat pimpinan negara ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahu menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

4. Bermula sebagai sebuah agensi yang diberikan tanggungjawab mengurus dan menyalurkan bantuan kewangan kepada kerajaan negeri serta menyelaras pembangunan tanah, kini FELDA telah berjaya mengorak langkah sebagai entiti cemerlang bukan hanya di peringkat tempatan, serantau malahan global.

5. FELDA adalah projek pembasmian kemiskinan yang paling berjaya, sistematik dan transformatif kerana berjaya meningkatkan taraf sosial 112,638 keluarga generasi pertama dengan membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

6. Ini adalah hasil kebersamaan peneroka dan pihak pengurusan sehingga FELDA menjadi contoh kepada negara-negara lain dan diiktiraf sebagai organisasi pembangunan tanah paling berjaya di dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Keadaan pada masa sekarang amat berbeza. Kini, daripada 2.1 juta generasi baharu FELDA hanya 440 ribu sahaja yang tinggal di 317 tanah rancangan di seluruh negara manakala kira-kira 1.6 juta telah berhijrah.

8. Ini menyebabkan FELDA terpaksa menggunakan tenaga asing bagi menguruskan ladang-ladang kelapa sawit dan getah. Malah ada di antara rumah peneroka ditinggalkan tanpa penghuni kerana waris tidak berminat untuk meneruskan legasi ini.

9. Generasi baru khususnya golongan belia adalah penyambung warisan kepada peneroka awal bagi memastikan tanah rancangan tidak kosong.

10. Kerajaan menyedari perkara ini. Saya sentiasa mendengar dua perkara utama yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan FELDA iaitu perumahan dan peluang pekerjaan di kawasan FELDA.

11. Sepertimana yang telah saya umumkan dalam ucapan pembentangan RMKe-12 pada 27 September tahun lalu, model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah di kawasan FELDA.

12. Beberapa kawasan FELDA di negeri Johor telah mula melaksanakan program ini dengan kerjasama persatuan belia FELDA di kawasan berkenaan dan berharap pelaksanaannya dapat diperluaskan dengan segera di kawasan FELDA lain seluruh negara.

13. Projek perumahan generasi baharu FELDA menjadi aspek penting dalam meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti FELDA keseluruhannya.

14. Isu perumahan ini bukan soal tanah, tetapi soal pembiayaan. Bajet perumahan bagi FELDA, rumah-rumahnya tidak terjual disebabkan oleh masalah pembiayaan.

15. Generasi kedua yang bekerja di FELDA tak mampu dapat pembiayaan dari segi kerana tidak mempunyai slip gaji. Rumah dirancang tidak berjaya maka sebab itulah Kerajaan memperkenalkan konsep baru iaitu generasi boleh bina rumah sendiri di lot-lot yang ada, murah dan boleh dimiliki.

16. Tujuan kita membina perumahan untuk memastikan belia-belia, generasi muda di rancangan tanah itu mempunyai rumah sendiri kalau tidak sampai bila mereka tinggal di rumah ibu bapa.

17. Generasi baru tidak mampu untuk mendapatkan pembiayaan bank sebab tidak ada slip gaji. Oleh itu kerajaan memahami, dalam Bajet 2022 telah mengumumkan skim jaminan kredit perumahan dengan dana RM2 bilion untuk bantu generasi kedua yang tidak ada slip gaji tetapi boleh buat pinjaman dan dijamin kerajaan.

18. Bukan hanya tidak ada pendapatan tetap dan slip gaji boleh beli rumah. Dalam mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara kita telah beri arahan kepada Gabenor Bank Negara supaya buat peraturan mempermudahkan pinjaman perumahan kepada generasi kedua FELDA.

19. Saya telah mengumumkan baru-baru ini Satu Keluarga Satu Rumah, tapi kerana birokrasi yang ketat untuk pinjaman, hasrat kerajaan tidak akan berjaya kerana karenah birokrasi bank.

20. Saya juga berharap pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat dipercepatkan lagi kerana projek ini bukan sahaja akan menjana pendapatan tambahan kepada peneroka, malah secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga FELDA.

21. Peruntukan sebanyak RM1 bilion perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membolehkan warga FELDA terlibat di sepanjang rantaian nilai pengeluaran. Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

22. Sebagai contoh, projek tanaman nanas MD2 di FELDA Besout perlu diperluaskan bukan sahaja di peringkat tanaman, malah turut diwujudkan industri hiliran seperti pengetinan, jus minuman dan snek yang akan memberikan nilai tambah tinggi di pasaran termasuk untuk eksport.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. FELDA harus gemilang. Alhamdulillah saya melihat di bawah kepimpinan Dato’ Pa, Dato’ Idris dan pengurusan FELDA yang diketuai oleh Dato’ Amiruddin berjaya meletakkannya kembali kepada landasan yang betul dengan sokongan seluruh warga peneroka.

24. Biarpun proses pemulihan ini masih berjalan namun hala tuju untuk mencapai sasaran semakin jelas. Kerajaan akan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada FELDA.

25. Proses transformasi dapat dilihat, jika dahulu peneroka adalah penerima bantuan tetapi kini, sudah berubah, menjadi golongan pemberi. Tahniah, program sedekah dan Wakaf FELDA telah mengubah minda peneroka. Konsep “Berjaya dalam Keberkatan”.

26. Usaha ini perlu disambut oleh anak-anak muda yang berada di hadapan saya sekarang. Tenaga anda bukan hanya untuk membina FELDA tetapi juga diperlukan oleh negara.

27. Oleh itu, Kerajaan menyediakan dasar yang jelas bagi membina modal insan dan juga bakat masa depan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Penekanan diberikan kepada penggunaan digital dan teknologi tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Golongan belia menentukan masa depan negara. Oleh yang demikian, golongan belia perlu dipersiapkan dengan peribadi yang mantap dari segi rohani dan jasmani.

29. Belia sebagai aset negara bukan sekadar retorik. Jika kita percaya aset sebagai harta khazanah tak ternilai, maka seperti itulah kita harus memberi nilai tambah berkenaan kepada diri.

30. Saya amat berharap MBFM, KAF dan PERSADA memberikan contoh terbaik kepada golongan belia bukan sahaja di FELDA tetapi juga seluruh negara. Jadikan platform ini untuk mengasah bakat kepimpinan kerana anda semua adalah pemimpin masa hadapan.

31. Gunakan platform ini untuk menjadi rakan pembina (building partner) negara serta mampu berperanan sebagai pertubuhan belia yang memiliki model kemandiriannya sendiri seperti yang dicita- citakan dalam Dasar Belia Malaysia. Pertubuhan belia berdiri sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan.

32. Saya ingin mengumumkan dua perkara :

I – Bagi mengiktiraf belia FELDA, saya bersetuju supaya melantik belia FELDA sebagai ahli lembaga FELDA bagi membolehkan belia FELDA sama-sama bangunkan negara.

II – Meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk MBFM, RM200,000 KAF dan RM100,000 PERSADA.

33. Saya mengharapkan sumbangan kerajaan akan membantu MBFF, KAF dan PERSADA mengadakan program untuk membantu golongan belia.

34. Akhir kata, sekali lagi saya mengharapkan agar para belia terus bersama kerajaan untuk melayari bahtera keluarga Malaysia ini menuju ke arah suatu destinasi yang lebih baik.

35. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Makan Malam dan Mesyuarat Agung Tahunan MBFM, KAF dan PERSADA.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.