Teks Ucapan Sempena Karnival KPT Keluarga Malaysia

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
KARNIVAL KPT KELUARGA MALAYSIA

18 FEBRUARI 2022 | 10 PAGI
DEWAN SERI MAHKOTA MAKTAB RENDAH SAINS MARA, BATU PAHAT, JOHOR

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, atas limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini, dalam satu keluarga besar – Keluarga Malaysia – di Parit Sulong, Batu Pahat yang serba indah ini.

2. Beberapa minggu yang lepas, apabila Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini menjemput saya berkunjung ke sini, untuk merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulong, saya tidak teragak-agak untuk terus bersetuju. Pada saya, inilah peluang untuk saya bertemu dengan rakyat, khususnya di Kawasan Parlimen Parit Sulong ini.

3. Saya masih ingat lagi pada Disember tahun lepas, ketika program KELUARGA MALAYSIA @ IPT diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

4. Hari ini, di Parit Sulong, semangat yang sama turut terpancar dalam kalangan semua yang hadir. Melihat kepada sambutan yang diberikan, saya ingin mengesyorkan di sini agar program seumpama ini, diteruskan oleh KPT mengikut mengikut zon tetapi kena sentiasa ingat dan jaga SOP.

5. Majlis yang diadakan hari ini, boleh dikira sebagai zon selatan. Seterusnya, mungkin boleh dibuat di zon pantai timur, zon utara, zon tengah, termasuk juga zon Sabah dan Sarawak, supaya roh Keluarga Malaysia dapat disebar luas di peringkat IPT dan juga masyarakat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Suka saya kongsikan di sini bahawa kerajaan pada 7 Disember 2021 yang lalu telah mengumumkan berkenaan dengan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

7. Penubuhan yayasan ini ialah manifestasi kepada keprihatinan kerajaan terhadap nasib kanak-kanak atau remaja yang kehilangan ibu, bapa atau penjaga, atau kedua- duanya sekali akibat perkara-perkara seperti pandemik COVID-19, kemalangan dan bencana-bencana lain yang seumpamanya.

8. Sebagai Keluarga Malaysia yang memahami dan cakna akan keperluan anak-anak ini, sewajarnya kita memberikan sokongan dan tidak membiarkan mereka berseorangan melalui kegetiran hidup.

9. Justeru, kerajaan menjangkakan manfaat YKM ini akan berterusan sehingga anak-anak ini mencapai usia 18 tahun atau sehingga mereka menamatkan pengajian di IPT.

10. Dalam hubungan ini juga, KPT memainkan peranan yang sangat penting khususnya dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak ini.

11. Penekanan kepada aspek pendidikan, termasuklah pendidikan tinggi perlu menjadi keutamaan, selari dengan nilai Keluarga Malaysia, iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga.

12. Makanya, kredit harus diberikan kepada KPT atas inisiatif Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia atau SULUNG. Program yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Parit Sulung ini, iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, adalah julung kali diadakan.

13. SULUNG akan memfokuskan terhadap usaha untuk membantu pelajar B40 yang ahli keluarga mereka belum ada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

14. Program ini adalah unik kerana mereka akan dibantu, bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama, dan diberikan mentoring, sehinggalah mereka berjaya mendapat pekerjaan.

15. Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik, kelak akan membawa anak-anak ini keluar dari kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian.

16. Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti setempat.

17. Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengajak dan menyeru badan-badan korporat di luar sana untuk sama- sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program SULUNG ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan dalam konteks pengajian tinggi nilai ini diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk inisiatif. Ia bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan keluarga B40.

19. Selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

20. Ia dapat dilihat daripapa pelbagai bantuan yang diberikan Ia diterjemahkan seperti bantuan kewangan, bantuan pelan data dan peranti, pengurangan yuran, dan bantuan makanan dan sebagainya.

21. Bukan sahaja bantuan seperti kewangan, pelan data dan pengurangan yuran, malah kerajaan turut membantu memastikan para pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti.

22. Di bawah KPT misalnya, kita ada program peningkatan kerjaya seperti PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT- PACE, dan GetHired@KPT. KPT turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO melaksanakan program MYFutureJobs. Apa yang pasti, program-program ini adalah berbentuk touch point dan bertujuan untuk menyantuni keperluan denyut nadi rakyat.

23. Seperti program MYFutureJobs. Berdasarkan rekod yang kita ada, sebanyak 63,990 jawatan kosong di negeri Johor ditawarkan melalui Portal MYFutureJobs. Untuk tempoh karnival ini sahaja, saya difahamkan lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan.

24. Justeru, saya menyeru semua yang hadir, untuk mengambil peluang ini, dan menguar-uarkan juga kepada saudara- mara di luar sana yang memerlukan pekerjaan.

25. Kerajaan berharap dengan adanya inisiatif-inisiatif seperti ini, ia akan membantu mengurangkan lagi kadar pengangguran di Malaysia kepada paras di bawah 4.2 peratus.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Akhir kata saya berharap, Keluarga Malaysia yang hadir ke program selama tiga hari ini akan mendapat manfaat daripada penganjurannya.

27. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacita saya merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.