Teks Ucapan Majlis Perasmian Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk Dan Perumahan 2020

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN LAPORAN PENEMUAN UTAMA BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN 2020

14 FEBRUARI 2022 | 10.00 PAGI DEWAN CANSELOR,
MANAGEMENT & SCIENCE UNIVERSITY (MSU), SELANGOR

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana di atas limpah dan rahmat-Nya, kita semua dapat berkumpul pada hari ini dalam majlis perasmian Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

2. Saya juga amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana kesudian mengundang saya untuk menyempurnakan majlis pada pagi ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Landskap ekonomi Malaysia menelusuri evolusi yang ketara apabila sektor pembuatan menggantikan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian pada era 1980an.

4. Sejak tempoh tersebut, statistik membuktikan ekonomi negara terus berkembang pesat dan akhirnya beralih kepada negara berasaskan perkhidmatan pada era milenium.

5. Pergerakan evolusi ini sudah pastinya menuntut perancangan yang komprehensif dan didokong oleh fakta dan data yang menjadi asas kepada pembuatan pembentukan dasar yang efektif.

6. Keperluan data di era penguasaan maklumat sekarang menjadi lebih kritikal terutama dalam mengarus perdana pembangunan mampan di dalam negara mahupun untuk meningkatkan kekuatan daya saing di peringkat antarabangsa.

7. Justeru, dapatan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 ini merupakan wadah terbaik bagi perkara ini direalisasikan.

8. Bagi tujuan tersebut, sudah pastilah keperluan mengeluarkan pelbagai data dan indikator di peringkat terperinci dan mikro amat signifikan. Maklumat bukan lagi diperlukan di peringkat negeri mahupun daerah malah di peringkat mukim, lokaliti seperti taman mahupun kampung.

9. Perkara ini amat diperlukan supaya kerajaan dapat menggubal polisi bersasar dan pengagihan kesejahteraan kepada rakyat secara saksama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Bagi memastikan kelangsungan kejayaan ini terus dinikmati oleh segenap lapisan Keluarga Malaysia, Alhamdulillah rancangan pembangunan lima tahun iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah digariskan. Melalui rancangan ini, kerajaan dapat menggubal dan melaksanakan dasar fiskal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menguruskan pengagihan sumber kewangan dengan cekap dan berkesan.

11. RMKe-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 ini telah menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama.

12. Rancangan ini akan memangkin pertumbuhan, memastikan ekonomi dipulihkan dan membina semula ekonomi negara bagi mencapai kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan. Pertumbuhan ekonomi serta agihan kekayaan yang lebih

saksama akan mengurangkan jurang antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dan pada masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar.

13. RMKe-12 juga memberi tumpuan khusus kepada usaha- usaha menjamin keselamatan dan kedaulatan negara serta mengukuhkan perpaduan rakyat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Dalam konteks ini, banci akan digunakan sebagai input berasaskan evidence-based decision-making dalam penentuan geran per kapita, penggubalan dasar utama, penanda aras dalam pengukuran Sustainable Development Goals (SDGs) 2030, penanda aras terkini bagi indikator berasaskan penduduk dan penilaian pencapaian serta penghasilan small area statistics, yang juga menjurus kepada keperluan pengukuran pencapaian RMke-12 seterusnya meningkatkan taraf hidup yang wajar kepada Keluarga Malaysia bertepatan dengan prinsip SDG 2030 iaitu ‘Leave No One Behind’.

15. Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.

16. Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara.

17. Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan B40, termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir. Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

18. Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini.

19. Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam. Ia juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan per kapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan

perancangan sosial.

20. Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini. Data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dapat memberikan gambaran kepada kita, di mana kita berada.

21. Kerajaan juga dapat menyediakan input terbaik dalam meletakkan hala tuju negara pada masa akan datang. Sebagai negara upper middle income dengan jumlah komposisi generasi muda dan para pelajar yang besar dalam masyarakat, kerajaan akan turut memfokuskan kepada penyediaan generasi muda yang dapat mengharungi cabaran IR4.0 dengan memperkasa kurikulum pendidikan sekolah dan universiti dengan memperkukuhkan sistem pendidikan yang holistik, serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penilaian analitik berdasarkan data dan sains.

22. Di samping itu, pewujudan dan peluang pekerjaan sememangnya menjadi antara agenda penting negara dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Di sini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan beberapa penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 seperti berikut:

PENDUDUK DAN SAIZ ISI RUMAH
24. Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. Dari segi Tempat Kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci.

25. Terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

KEWARGANEGARAAN
26. Penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 91.7 peratus (29.8 juta) adalah warganegara, manakala 8.3 peratus (2.7 juta) adalah bukan warganegara.

PENDUDUK MENGIKUT JANTINA DAN ETNIK
27. Daripada 32.4 juta penduduk yang telah dibanci, 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus ialah perempuan. Nisbah Jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

28. Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah W.P. Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki. Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus diikuti oleh etnik Cina ( 23.2%), India ( 6.7%) dan Lain-lain ( 0.7%).

PENDUDUK MENGIKUT KUMPULAN UMUR
29. Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

30. Warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.5 peratus (3.4 juta). berbanding pada tahun 2010 ialah 8.0 peratus (2.2 juta). Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020.31. Begitulah antara penemuan Banci 2020 yang akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 ini, kolaborasi dan kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, dan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta dan masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan.

33. Setinggi-tinggi penghargaan juga saya zahirkan kepada kementerian, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, pihak swasta serta seluruh Keluarga Malaysia yang turut serta dalam menjayakan pelaksanaan banci ini bagi menghasilkan outcome yang bermanfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga bagi generasi akan datang. Data Banci yang komprehensif menjadi bukti kebersamaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang dinamik dan harmoni.

34. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan sekalung tahniah dan syabas kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan semua agensi serta pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis pada hari ini.

35. Semoga usaha, semangat dan iltizam yang telah ditunjukkan tidak terhenti di sini tetapi harus diperkemaskan seiring dengan keperluan semasa rakyat.

36. Saya menyeru agar rakyat negara ini terus membudayakan data dan maklumat dalam pengurusan kehidupan agar negara dapat membentuk tamadun bangsa yang berfikiran kritis dan analitik berpaksikan data.

37. Statistik dan data ini amat berkait rapat dengan pola berfikir dan seterusnya diolah kepada keputusan dan keberhasilan. Natijahnya, negara bakal melahirkan rakyat yang berminda kelas pertama selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah mencapai negara maju pada tahun 2030.

38. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.