Sidang Media Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Thailand

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE THAILAND

26 FEBRUARI 2022

SIDANG MEDIA

1. Malaysia dan Thailand mempunyai jalinan hubungan dua hala yang rapat dengan ikatan hubungan diplomatik yang terjalin selama lebih 65 tahun.

2. Sebagai dua negara jiran yang dekat, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand sentiasa memastikan hubungan kerjasama yang erat dan utuh ini dapat dikekalkan bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.

3. Lawatan Rasmi pertama saya selama dua (2) hari ke Thailand ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama di dalam pelbagai bidang terutamanya dalam fasa pemulihan pasca- COVID19.

4. Petang semalam, saya telah mengadakan kunjung hormat dengan Jeneral Prayut Chan-o- cha, Perdana Menteri Thailand di Rumah Kerajaan (Government House). Antara perkara penting yang telah dibincangkan ialah mengenai peningkatan perdagangan dua hala dan cadangan pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Thailand dapat disegerakan.

5. Kami bersependapat bahawa ini adalah satu langkah penting dalam usaha mengaktifkan semula aktiviti ekonomi rentas sempadan untuk kebaikan bersama rakyat di kedua-dua negara.

KERJASAMA PERDAGANGAN DAN PELABURAN

6. Jumlah dagangan Malaysia- Thailand pada 2021 dicatat bernilai USD23.64 bilion (RM97.97 bilion), peningkatan 23% dari tahun 2020.

7. Thailand merupakan rakan dagangan ke-6 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-2 terbesar di kalangan negara ASEAN.

8. Kami bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada USD30 bilion menjelang tahun 2025.

9. Hubungan dagang di sempadan menyumbang hampir 50% dari jumlah dagangan Malaysia-Thailand, berjumlah USD10.5 bilion, sebab itulah pembukaan sempadan amat penting bagi merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara.

PERJALANAN LENGKAP VAKSIN (VTL)

10. Berkaitan pembukaan semula sempadan, saya dan Perdana Menteri Prayut telah berbincang mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan di antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, kami telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand. Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang.

11. Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan 9 sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua CIQ di utara semenanjung dan Selatan Thailand, dan VTL-Laut di antara Langkawi-Satun. Ini sudah tentu akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan.

PENGIKTIRAFAN SIJIL VAKSINASI COVID-19, MYSEJAHTERA (MALAYSIA) DAN MORPROM (THAILAND)

12. Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing- masing. Ini amat penting untuk menyokong usaha-usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

13. Kita juga akan susuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera Malaysia dan MorProm Thailand bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

PEMBANGUNAN (R&D) VAKSIN BERSAMA

14. Malaysia dan Thailand akan meneroka peluang kerjasama dalam kajian serta penyelidikan vaksin COVID-19 dan juga vaksin-vaksin lain.

15. Memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan openjenamaan semula Institut Genom dan Vaksin Malaysia (IGVM) pada 1 November 2021.

16. Kedua-dua inisiatif ini bertujuan untuk memantapkan ekosistem pembangunan vaksin untuk memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa hadapan.

PROJEK KESALINGHUBUNGAN MALAYSIA-THAILAND

17. Kami juga telah berbincang tentang projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand iaitu; pembinaan Jajaran Jalan Menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

18. Kami bersetuju supaya kumpulan kerja pakar serta jawatankuasa teknikal menyegerakan rundingan mengenai jajaran tersebut.

19. Seterusnya, kami bersetuju untuk menyambung rundingan berkaitan pelaksanaan dua (2) projek jambatan persahabatan merentasi Sungai Golok di Kelantan, iaitu Jambatan ke-2 Rantau Panjang-Sungai Golok dan Jambatan Baharu Pengkalan Kubor-Tak Bai.

DIALOG PERDAMAIAN (PEACE DIALOG)

20. Thailand melalui Perdana Menteri Thailand menghargai kerjasama berterusan dalam mengukuhkan keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara, termasuk membantu menangani dialog damai di Selatan Thailand.

21. Kerajaan Thailand bersetuju agar Malaysia meneruskan peranan sebagai fasilitator di dalam dialog damai di Selatan Thailand. Saya memberi komitmen untuk menyambung semula dialog damai yang terhenti akibat COVID-19 sebelum ini.

CADANGAN MENYAMBUNGKAN LALUAN KERETA API BERKELAJUAN TINGGI (HIGH SPEED RAIL – HSR) ANTARA KUALA LUMPUR DAN BANGKOK

22. Malaysia sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di antara Kuala Lumpur – Bangkok, dan kebolehlaksanaan perkhidmatan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

23. Kami berbincang mengenai keperluan masa akan datang untuk membina keretapi laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

24. Dalam hal ini, Malaysia dan Thailand bersetuju akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan kita akan meminta kementerian dan jabatan yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

KESELAMATAN SEMPADAN (BORDER SECURITY)

25. Saya juga menyatakan bahawa Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Thailand dalam memastikan keselamatan di sempadan kedua-dua negara kekal terjamin dan terpelihara.

26. Bagi maksud ini, Malaysia komited untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan Thailand, termasuk dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

KERJASAMA IMT-GT

27. Kedua-dua negara juga menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam IMT-GT, terutamanya melalui pelaksanaan Kesalinghubungan Projek Fizikal (PCP). Adalah penting untuk Malaysia dan Thailand memberi fokus kepada tiga (3) bidang tumpuan utama, iaitu: Pertanian dan Industri Asas Tani; Pelancongan serta Produk dan Perkhidmatan Halal; dan merealisasikan Wawasan IMT- GT 2036 yang bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan.

KEANGGOTAAN MALAYSIA, INDONESIA DAN THAILAND DALAM INTERNATIONAL RUBBER COUNCIL (ITRC)

28. Mengenai keanggotaan Malaysia, Indonesia dan Thailand dalam International Rubber Council (ITRC) saya turut membangkitkan cadangan penawaran (supply) getah dalam negara masing-masing dikawal agar ia dapat memberi manfaat kepada negara anggota dan manfaat yang sama buat pekebun-pekebun kecil getah.

MYANMAR

29. Berkenaan isu serantau, saya dan PM Prayut telah berbincang mengenai situasi di Myanmar. Saya memaklumkan kepada PM Prayut bahawa Malaysia terus komited menyokong tugas Utusan Khas ASEAN (ASEAN Special Envoy) untuk mencari jalan penyelesaian yang baik dan komprehensif bagi kebaikan rakyat Myanmar.

30. Saya juga menyatakan pendirian Malaysia yang menyokong pelaksanaan the Five-Point Consensus yang telah dipersetujui oleh pemimpin- pemimpin ASEAN sebelum ini.

31. Kami berharap ASEAN di bawah kepimpinan Negara Kemboja akan berupaya membawa perubahan positif dalam menangani krisis di Myanmar.

32. Perbincangan saya dan PM Prayut turut menyentuh kerjasama Malaysia dan Thailand dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan buruh, selain terus ingin meneroka bidang kerjasama baharu.

33. Secara amnya saya amat berpuas hati dengan hasil lawatan pertama saya ke Thailand ini. Saya percaya perkara-perkara yang dibincangkan akan membawa manfaat kepada rakyat kedua- dua negara dan seterusnya menyumbang ke arah pemantapan hubungan dua hala dan kerjasama di antara Malaysia dan Thailand.

Bangkok, Thailand
26 Februari 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.