Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA


1. Banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat memberi kesan kepada rakyat. Ia bukan merupakan satu isu baharu, malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.

2. Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

3. Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

4. Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

5. Sehubungan itu saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang semalam bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

6. Perbincangan menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.

7. Mesyuarat turut dihadiri YAB Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas- tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi-agensi yang berkaitan.

8. Dalam mesyuarat ini, persetujuan telah dicapai untuk menggariskan lapan langkah strategik menambahbaikan pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan NADMA iaitu:

i. Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR)
ii. Penekanan Terhadap Inisiatif DRR
iii. Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR
iv. Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana
v. Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR
vi. Pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan
vii. Peningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik
viii. Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.

9. Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik.

10. Kementerian dan Agensi juga turut disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang. Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

11. Kerajaan sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini. Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu.

12. Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).

13. Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal.

14. Selain itu, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya:

i. Mengenalpasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah,
ii. Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
iii. Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.
iv. Menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama.
v. Meninggikan benteng dan ban sungai serta parit.
vi. Membina lebih banyak tebatan banjir.
vii. Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
viii. Membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.
ix. Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China.
x. Mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.
xi. Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.
xii. Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.
xiii. Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
xiv. Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.
xv. Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang.
xvi. Mengawal penebangan hutan.
xvii. Kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir.

15. Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
4 FEBRUARI 2022

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.