Teks Ucapan Sempena Perasmian Hari Kastam Sedunia Kali Ke-40 Tahun 2022

TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PERASMIAN HARI KASTAM SEDUNIA KALI KE-40 TAHUN 2022

26 JANUARI 2022 | 3 PETANG KOMPLEKS KASTAM WP. KUALA LUMPUR
KELANA JAYA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama hadir ke Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 (HKS40) tahun 2022.

2. Pertamanya, saya dengan penuh rasa takzim merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), di bawah kepimpinan YBhg. Dato’ Sri Abdul Latif bin Abdul Kadir, Ketua Pengarah Kastam, atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini.

3. Saya berasa gembira kerana dapat bersama-sama seluruh warga Kastam petang ini, bagi meraikan hari yang penuh makna dan bersejarah buat JKDM, yang secara tidak langsung turut meraikan aspirasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sejarah telah membuktikan bahawa sistem percukaian merupakan antara medium ekonomi yang terpenting dalam menjana kelangsungan pendapatan sesebuah negara.

5. Ia bukanlah sebuah amalan baharu bagi negara kita. Sistem sistem percukaian ini telah lama wujud semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun yang ke-15 lagi.

6. Pada ketika itu, telah wujud perundangan yang berkait dengan struktur percukaian dan ditadbir oleh Penghulu Bendahari dibantu oleh Shahbandar yang berfungsi menguatkuasakan peraturan bagi perihal perkastaman dan percukaian, khususnya di kawasan pelabuhan.

7. Merentasi zaman, fungsi dan peranan Shahbandar kini telah dimainkan secara signifikan oleh JKDM yang bertindak selaku agensi pemungut cukai, sekali gus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara.

8. Alhamdulillah, sukacita saya umumkan di sini bahawa kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tahun 2021 adalah mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

9. Selain kejayaan kutipan hasil, tahun 2021 juga telah menyerlahkan keunggulan sektor Penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

10. Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam.

11. Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin JKDM akan terus bergerak maju sebagai Economic Frontliners atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 bagi tahun 2022 ini membawa tema “Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data”.

13. Tema ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

14. Perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat, merupakan platform yang penting dan telah diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutamanya dalam mendepani dampak pandemik COVID- 19 yang melanda.

15. Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data.

16. Anjakan ini adalah selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah dianjurkan oleh kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

17. Hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing, malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

18. Ia juga telah termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta halatuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah saya lancarkan pada September lepas.

19. Justeru, usaha World Customs Organization (WCO) melalui JKDM dalam menghidupkan tema sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini wajar dipuji dan terus

dilaksana kerana inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking “Ease of Doing Business” bagi Malaysia, yang seterusnya dapat memangkin pelaburan asing.

20. Saya percaya bahawa suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing.

21. Kerajaan juga sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudahcara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

22. Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Adalah menjadi harapan saya supaya seluruh warga JKDM dapat menghayati maksud dan tema dalam sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini. Ia perlu diterjemah dalam pelaksanaan tugas harian ke arah kecemerlangan perkhidmatan JKDM.

24. Justeru pada 2022 ini, saya berharap agensi ini dapat meningkatkan sasaran pungutan hasil. Ini dapat dihasilkan dengan usaha gigih seluruh warga JKDM dengan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam.

25. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan “Hari Kastam Sedunia kali ke-40 tahun 2022”.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.